CyberSecurity Malaysia –“CyberNEWS”
Bahasa | English Isu 6 | Suku Ketiga - 2014
PRA-PELANCARAN ACARA CSM-ACE 2014 DAN PERSIDANGAN MEDIA
  8 SEPTEMBER 2014
 

Sebagai persediaan bagi penganjuran CSM-ACE 2014 atau Cyber Security Malaysia – Awards, Conference & Exhibition 2014, satu majlis Pra-Pelancaran CSM-ACE 2014 dan Sidang Media telah diadakan di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur.

Majlis telah disempurnakan oleh YAB Dato' Seri DiRaja Dr. Zambry bin Abd. Kadir - Menteri Besar Perak Darul Ridzuan. Turut hadir ialah YBhg. Dato' Seri Dr. Noorul Ainur Mohd Nur - Ketua Setiausaha, Kementerian Sains, Teknologi & Inovasi (MOSTI), YABhg. Jeneral Tan Sri Dato' Seri Panglima Mohd Azumi Mohamad (Bersara), Pengerusi - Lembaga Pengarah CyberSecurity Malaysia, Dr. Amirudin Abdul Wahab - Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia serta beberapa tetamu kehormat dari Negeri Perak.

Buat julung kali CSM-ACE akan diadakan di Ipoh, Perak dari 11 hingga 15 November 2014. Acara pada tahun ini dianjur bersama Kerajaan Negeri Perak dan diperakui oleh Kementerian, Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

CSM-ACE merupakan acara yang melibatkan tiga komponen utama, iaitu Persidangan, Pameran dan Penganugerahan Keselamatan Siber Malaysia. Pada tahun ini, pengisian CSM-ACE lebih menumpu kepada program latihan keselamatan siber, di mana pelbagai program latihan ditawarkan sepanjang acara ini berlangsung. Selain itu, CSM-ACE akan turut menyaksi beberapa acara satelit seperti WTA Annual Summit 2014, National ICT Security Discourse (NICTSeD) 2014 dan juga UTP-HAX 2014.

 
 
INTERNATIONAL CONFERENCE ON INFORMATION: EXPLORING THE FUTURE
  9 - 10 SEPTEMBER 2014
 

CyberSecurity Malaysia telah dijemput untuk memberi ucaptama di "International Conference On Information Conference: Exploring The Future" anjuran Fakulti Pengurusan Maklumat Universiti Teknologi Mara (UiTM) Johor dan Persatuan Pustakawan Malaysia (PPM).

Lt. Kol. Sazali Sukardi (Bersara), Naib Presiden Kajian Strategik telah mewakili CyberSecurity Malaysia dan membuat pembentangan bertajuk "Information Revolution and Evaluating Landscape". Beliau menekankan kepentingan keselamatan siber dengan menjelaskan kesan-kesan jika keselamatan tidak dititikberatkan. Beliau juga menekankan kepentingan menwujudkan sistem pengurusan maklumat bagi mengelak dari ancaman siber di era ini.

Penglibatan CyberSecurity Malaysia dalam seminar ini telah memberi peluang kepada CyberSecurity Malaysia untuk mengetengahkan diri dalam aspek kepimpinan, komitmen, dan pengiktirafan dalam industri, terutamanya dengan jemputan kepada Lt. Kol. Sazali sebagai pengucaptama dalam seminar ini.

 
 
TAKLIMAT KESELAMATAN SIBER - TINJAUAN DAN ANALISA SETENGAH TAHUN PERTAMA 2014
  10 SEPTEMBER 2014
 

Satu sesi taklimat mengenai senario keselamatan siber di Malaysia telah diadakan di Wisma BERNAMA bersama wakil-wakil media BERNAMA. Taklimat ini diadakan bertujuan menerangkan dan berkongsi maklumat mengenai ancaman dan insiden keselamatan siber yang berlaku di Malaysia sepanjang enam bulan pertama tahun 2014.

Taklimat disampaikan oleh Dr. Amirudin Abdul Wahab, Ketua Pegawai Eksekutif, CyberSecurity Malaysia. Pada sesi taklimat tersebut, Dr. Amirudin menerangkan statistik insiden keselamatan siber yang dilapor oleh pengguna Internet ke Pusat Bantuan Cyber999. Beliau turut memaklumkan punca-punca insiden keselamatan siber tersebut berlaku serta berkongsi pendapat serta amalan terbaik keselamatan siber.

Turut diadakan pada sesi taklimat tersebut adalah pelancaran Applikasi Cyber999 (Cyber999 App) melalui telefon pintar. Kini, pengguna Internet boleh memuat turun Cyber999 App melalui iOS dan juga Andriod pada telefon pintar mereka. Tujuan Cyber999 App diadakan adalah untuk memberi kemudahan kepada pengguna Internet membuat laporan mengenai insiden dan ancaman keselamatan siber.

Taklimat ini juga merupakan sebahagian dari inisiatif CyberSecurity Malaysia dalam usaha mengukuh dan mengeratkan lagi hubungan baik yang sedia terjalin bersama BERNAMA.

 
 
1. MESYUARAT JAWATANKUASA PEMANDU ASIA PACIFIC COMPUTER EMERGENCY RESPONSE TEAM (APCERT)
2. PERSIDANGAN ASIA PACIFIC NETWORK INFORMATION CENTER 38 (APNIC 38)
  15 - 18 SEPTEMBER 2014
 

Sebagai salah satu pengasas Pasukan Tindak Balas Kecemasan Komputer Asia Pacific (APCERT), CyberSecurity Malaysia telah menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu APCERT 2014 yang diadakan bersama Persidangan Asia Pacific Network Information Centre Kali ke-38 (APNIC 38) di Brisbane, Australia.

Usaha dan komitment CyberSecurity Malaysia dalam menangani insiden keselamatan siber telah mendapat perhatian apabila cadangan untuk mengadakan persidangan tahunan APCERT bersama Pasukan Kecemasan Tindak Balas Komputer – Pertubuhan Negara Islam (Organisation of Islamic Cooperation – Computer Emergency Response Team) OIC-CERT pada 2015 di Malaysia telah mendapat persetujuan daripada perwakilan antarabangsa. Antara negara yang terlibat termasuk Jepun, Korea, China, Australia, Macau dan Taiwan.

Pada persidangan APNIC 38, CyberSecurity Malaysia telah membentangkan kertas kerja bertajuk "Coordinated Malware Eradication Framework" oleh Dr. Aswami Mohd Ariffin, Naib Presiden, Cyber Security Responsive Services pada sesi "Birds of a Feather" dan "Heartbleed from Malaysia's Perspectiv" oleh Megat Muazzam Abdul Mutalib, Ketua Pasukan Tindak Balas Kecemasan Komputer Malaysia (MyCERT) pada sesi "SecurityTrack".

CyberSecurity Malaysia juga bercadang untuk mengadakan kerjasama dengan APNIC dalam program latihan keselamatan siber bagi para profesional keselamatan maklumat. Sebagai pemegang portfolio 'APCERT Liaison', laporan aktiviti serta kemajuan serta kertas kerja "Coordinated Malware Eradication" untuk APCERT yang diterajui oleh CyberSecurity Malaysia telah pun dibentangkan dalam mesyuarat dengan Asia Pacific Top Level Domain (APTLD) dan APNIC bagi mengenalpasti bidang kerjasama yang boleh diterokai.

 
 
IMPLEMENTING ISO 22301, BUSINESS CONTINUTY MANAGEMENT SYSTEM TRAINING
  17 - 18 SEPTEMBER 2014
 

Sejajar dengan pelaksanaan Business Continuity Management System (BCMS), CyberSecurity Malaysia telah berusaha untuk meningkatkan kepakaran dan pengetahuan kakitangan dengan menyertai latihan bagi melaksanakan ISO 22301. Melalui pelaksanaan ISO 22301 ini, perkhidmatan yang lebih bermutu dan efektif dapat diberikan kepada pelanggan serta dalam masa yang sama menambah keyakinan kakitangan untuk memastikan keupayaan menyediakan perkhidmatan secara berterusan dapat diberikan walaupun ketika berlaku gangguan perniagaan atau krisis.

Kursus ini dihadiri oleh dua (2) kakitangan MySEF, iaitu Zarina Musa dan Noor Asyikin Zulkifli.

Antara objektif latihan termasuk:

  1. Melindungi organisasi dari gangguan yang tidak dijangka;
  2. Meningkatkan keyakinan pelanggan terhadap organisasi;
  3. Meningkatkan kepakaran Kesinambungan Perniagaan dan ISO 22301;
  4. Memberi keyakinan untuk melaksanakan BCMS;
  5. Menyokong pelaksanaan BCM di CyberSecurity Malaysia dengan membiasakan kakitangan jabatan dengan keperluan ISO 22301.
 
 
LAWATAN KERJA KE PUSAT KECEMERLANGAN AKADEMI, AGENSI KERAJAAN DAN INDUSTRI DI UNITED KINGDOM
  26 – 29 SEPTEMBER 2014
 

Membuat penyelidikan serta mengukuhkan perhubungan antarabangsa merupakan salah satu teras di dalam Dasar Keselamatan Siber Negara. Berdasarkan keperluan ini, CyberSecurity Malaysia telah melakukan lawatan kerja ke beberapa buah organisasi di United Kingdom (UK) bagi menjalin hubungan kerjasama strategik dalam bidang keselamatan siber dan dalam masa yang sama memperkasakan keupayaan penyelidikan, khususnya dalam bidang forensik digital. Antara organisasi yang dilawati ialah Pusat Kecermerlangan Akademi seperti University of Oxford, Imperial College London dan University of Surrey, Kinesense Limited serta CERT-UK

Antara objektif lawatan kerja ini dilakukan adalah untuk:

  1. Meninjau bidang kerjasama bagi meningkatkan keupayaan forensik digital CyberSecurity Malaysia melalui kerjasama penyelidikan dengan universiti di UK;
  2. Memperkenalkan CyberSecurity Malaysia dan mengenal pasti peluang kerjasama dua hala yang boleh diadakan di antara CyberSecurity Malaysia dan CERT-UK.
  3. Menjemput CERT-UK menjadi ahli OIC-CERT and APCERT dan seterusnya menghadiri persidangan tahunan OIC-CERT & APCERT pada tahun 2015.

Hasil dari lawatan kerja ini, CyberSecurity Malaysia akan menandatangani Letter of Intent untuk membangunkan kerjasama dalam bidang penyelidikan forensik digital bersama Oxford e-Research Center dan University of Surrey. Sementara itu, langkah susulan akan diambil untuk meneruskan jalinan kerjasama dengan Kinesense Limited dan Imperial College London. Manakala, CERT-UK pula telah bersetuju untuk mengadakan hubungan bilateral dengan CyberSecurity Malaysia dalam bidang keselamatan siber.

 
 
SPRINGER AND IEEE TECHNICALLY CO-SPONSORED SCIENCE AND INFORMATION CONFERENCE 2014
  27 SEPTEMBER 2014
 

Persidangan antarabangsa "The Springer and IEEE Technically Co-Sponsored Science and Information Conference 2014" yang diadakan di London merupakan satu persidangan di mana para penyelidik dan industri membentangkan hasil penyelidikan dan pengalaman mereka dalam bidang keselamatan siber, e-pembelajaran, sistem pintar dan gaya teknologi terkini. Selain daripada pembentangan kertas kerja, persidangan ini juga meliputi demonstrasi projek, sesi tutorial, bengkel industri dan ucaptama serta perbincangan dengan pakar dan penyelidik dalam bidang-bidang berkaitan.

Persidangan dianjurkan oleh The Science and Information Organisation dan ditaja oleh IEEE, Springer, Microsoft, dan RK Trans2Cloud. Pada persidangan ini, Encik Zahri Yunos, Ketua Pegawai Operasi CyberSecurity Malaysia telah membuat pembentangan penyelidikan bertajuk "Grounding the Component of Cyber Terrorism Framework Using the Grounded Theory". Beliau turut berinteraksi dengan pakar-pakar akademi dan industri ICT untuk bertukar-tukar pendapat, pandangan dan pengalaman dalam bidang keselamatan siber.

Persidangan telah dihadiri lebih 100 penyelidik dari seluruh dunia. Selain CyberSecurity Malaysia, penyelidik Malaysia yang turut hadir di persidangan ini adalah seperti MIMOS Berhad, Universiti Putra Malaysia, Universiti Multimedia, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Malaya dan Akademi Seni Budaya & Warisan Kebangsaan (di bawah Kementerian Pelancongan & Kebudayaan).

Persidangan ini telah memberi peluang kepada CyberSecurity Malaysia untuk berkongsi maklumat berkaitan penyelidikan yang dilaksanakan mengenai keganasan siber kepada masyarakat dunia. Persidangan ini juga membantu membangunkan aplikasi Don'tPhishMe melalui penggunaan kaedah yang lebih baik.