CyberSecurity Malaysia –“CyberNEWS”
Bahasa | English Isu 8 | Suku Pertama - 2015
LATIHAN PENSIJILAN ANALIS KESELAMATAN (ECSA)
  9 - 13 FEBRUARI 2015
 

CyberSecurity Malaysia telah mengikuti Latihan Pensijilan Analis Keselamatan pada 9 hingga 13 Februari 2015 anjuran EC-Council Academy Sdn. Bhd

Kursus yang dihadiri oleh seramai 12 orang peserta termasuk empat dari CyberSecurity Malaysia ini telah membantu para peserta untuk memahami dengan lebih lanjut mengenai ujian penembusan (penetration testing). Kursus ini juga berupaya meningkatkan kemahiran para peserta membuat penilaian dan analisa untuk mempertahankan sistem keselamatan maklumat.

Di akhir kursus, setiap peserta telah menduduki peperiksaan teknikal ECSA. Ke semua kakitangan CyberSecurity Malaysia yang menduduki peperiksaan ini telah berjaya memperoleh markah melebihi mata yang ditetapkan. Antara kakitangan CyberSecurity Malaysia yang mengikuti program ini ialah Ahmad Dahari Jarno, Kamarul Baharin Khalid, Nor Safwan Amirul Salleh dan Noor Asyikin Zulkifli

 
 
SEMINAR OPENSYS 2015
  10 FEBRUARI 2015
 

Pada 10 Februari 2015, CyberSecurity Malaysia telah menyertai Seminar OpenSYs 2015 yang dianjurkan oleh OpenSYs (M) Bhd. Seminar sehari ini telah berkongsi pelbagai informasi mengenai cara memerangi dan menangani serangan siber ke atas akaun peribadi melalui mesin ATM.

Lt. Kol Sazali Sukardi (Bersara), Naib Presiden Bahagian Kajian Strategik CyberSecurity Malaysia telah menyampaikan ucaptama bertajuk Evolving Cyber Threats on Banking and Financial Sector. Dalam ucaptama beliau, Kol Sazali telah menyentuh kepentingan keselamatan siber terutamanya dalam sektor perbankan dan kewangan, faktor-faktor yang boleh mengancam sistem pengurusan kewangan dan juga perbankan di era teknologi.

Penglibatan CyberSecurity Malaysia di dalam OpenSys Seminar 2015 telah memberi peluang kepada CyberSecurity Malaysia untuk mengukuhkan lagi kedudukan organisasi sebagai pusat pakar keselamatan siber yang dapat menjadi rujukan ramai.

 
 
SEMINAR KESELAMATAN SIBER – PERLINDUNGAN SEKTOR KRITIKAL
  10 - 11 FEBRUARI 2015
 

Southeast Asia Regional Centre for Counter-Terrorism (SEARCCT) dengan kerjasama CyberSecurity Malaysia telah menganjurkan Seminar Keselamatan Siber – Perlindungan Sektor Kritikal. Seminar telah diadakan pada 10 dan 11 Februari 2015 dan disokong oleh Kementerian Luar Negeri dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Seminar selama dua hari ini diadakan di CyberSecurity Malaysia. Lebih 30 peserta dari pelbagai agensi Kerajaan serta organisasi swasta dalam sektor Infrastruktur Maklumat Kritikal Negara (CNII) telah menghadiri Seminar ini.

Melalui Seminar ini, CyberSecurity Malaysia telah dapat mengukuhkan hubungan dengan pelbagai Agensi serta Organisasi CNII. Di samping itu, ia juga merupakan platform bagi Agensi serta Organisasi CNII berkongsi pengalaman dan pengetahuan tentang ancaman siber masa kini.

 
 
LAWATAN RASMI YBHG. DATO' SRI DR. NOORUL AINUR MOHD NUR, KETUA SETIAUSAHA, KEMENTERIAN SAINS, TEKNOLOGI DAN INOVASI (MOSTI) DAN PELANCARAN MAKMAL FORENSIK SIBER X
  17 FEBRUARI 2015
 

Pada 17 Februari 2015, YBhg. Dato' Sri Dr. Noorul Ainur Mohd Nur, Ketua Setiausaha, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah mengadakan lawatan kerja rasmi ke CyberSecurity Malaysia.

Pada lawatan tersebut, Dato' Sri Dr. Noorul telah merasmikan Makmal Forensik Siber X CyberSecurity Malaysia. Ini merupakan kunjungan pertama Dato' Sri Dr. Noorul ke CyberSecurity Malaysia setelah dilantik sebagai Ketua Setiausaha MOSTI.

Antara disiplin Forensik Digital yang disediakan oleh Makmal Forensik Siber X adalah Forensik Biometrik, Forensik Peranti Terbenam, Forensik Pengkomputeran Awan dan Data Besar. Makmal ini dilengkapi dengan peralatan dan perisian forensik digital terkini yang memberi fokus kepada kecanggihan dan perkembangan teknologi.

Makmal Forensik Siber X ini adalah platfom untuk perkembangan Penyelidikan, Pembangunan dan Penkormesilan (R&D&C) bidang forensik digital oleh CyberSecurity Malaysia. Dengan adanya Makmal Forensik Siber X, CyberSecurity Malaysia kini dapat menyediakan perkhidmatan forensik digital dengan lebih efektif dan proaktif di Malaysia serta membangunkan sains forensik digital dengan menggunakan teknologi tercanggih.

 
 
SAFER INTERNET DAY 2015
  23 FEBRUARI 2015
 

Pada 23 Februari 2015, CyberSecurity Malaysia dengan sokongan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) mengadakan sambutan Safer Internet Day atau SID 2015 di Maktab Tentera DiRaja (MTD) Sg. Besi, Kuala Lumpur. Acara sambutan telah dirasmikan oleh YB. Datuk Dr. Abu Bakar Mohamad Diah, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Sambutan SID diadakan pada bulan Februari setiap tahun bagi mempromosi keselamatan Internet, memupuk serta meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kepentingan keselamatan siber. Tema rasmi sambutan SID 2015 ialah 'Let's Create a Better Internet Together'. CyberSecurity Malaysia mengadakan pelbagai aktiviti berkaitan keselamatan siber dan Internet. Antara aktiviti yang diadakan adalah ceramah serta bengkel keselamatan siber, treasure hunt serta hebahan mesej-mesej keselamatan siber melalui media tempatan.

Pada upacara rasmi tersebut, satu lintas langsung menggunakan aplikasi Skype telah diadakan di antara YB Timbalan Menteri MOSTI bersama Pengerusi IDSIRTII di Jakarta, Indonesia. Sambutan SID 2015 turut disambut di Indonesia melalui inisiatif salah satu rakan kerjasama CyberSecurity Malaysia iaitu, IDSIRTII.

Sempena sambutan SID 2015, satu buku bertajuk "Cyber Terrorism - Policy & Technical Perspective" telah dilancarkan. Penerbitan buku tersebut merupakan satu projek kolaborasi di antara CyberSecurity Malaysia dan Universiti Teknologi Malaysia Melaka (UTeM). Buku yang mengandungi enam (6) bab ini merupakan satu siri kompilasi penyelidikan berkaitan keganasan siber, di mana penyelidikan yang dijalankan adalah dari sudut polisi dan teknologi yang memberi impak dalam usaha menangani isu dan permasalahan keganasan di alam siber.