CyberSecurity Malaysia –“CyberNEWS”
Bahasa | English Isu 8 | Suku Pertama - 2015
MAJLIS PENGHARGAAN CYBERSECURITY MALAYSIA 2014
  15 JANUARI 2015
 

Pada 15 Januari 2015, CyberSecurity Malaysia telah menganjurkan satu Majlis Penghargaan. Majlis tersebut telah dirasmikan oleh YB. Datuk Dr. Abu Bakar Mohamad Diah, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Pada majlis tersebut, CyberSecurity Malaysia meraikan pelbagai organisasi yang berjaya memperolehi sijil-sijil keselamatan maklumat dikeluarkan oleh Badan Pensijilan Keselamatan Maklumat (ISCB), CyberSecurity Malaysia yang merupakan badan pensijilan nasional untuk pelbagai Pensijilan Keselamatan Maklumat seperti Kriteria Bersama ISO/IEC 15408, Sistem Pengurusan Keselamatan Maklumat (ISMS) ISO/IEC 27001, dan Perkhidmatan Malaysia Trustmark. Perkhidmatan pensijilan ini juga menyokong dua tonggak Program Transformasi Ekonomi, iaitu 'Keselamatan Negara Dan Rakyat' dan 'Pemangkin Pertumbuhan Industri', dengan membina daya pulih pada Prasarana Maklumat Kritikal Negara (CNII) dan kepada industri.

Pada tahun 2014, sebanyak 41 produk ICT di bawah Skim MyCC, 22 Prasarana Maklumat Negara Kritikal (CNII) organisasi di bawah Skim CSM27001, manakala 29 laman web e-Perniagaan telah disahkan di bawah Perkhidmatan Malaysia Trustmark.

Pada majlis yang sama, CyberSecurity Malaysia turut meraikan sumbangan media tempatan di atas sokongan berterusan mereka dalam membuat liputan dan menyiarkan berita serta informasi mengenai keselamatan siber di Malaysia. Penghargaan media tersebut dibuat berdasarkan beberapa kategori utama, antaranya:-

  1. Organisasi Media - Kumpulan Media Prima.
  2. Media Cetak (Akhbar) - Harian Metro
  3. Media Cetak (Majalah/Terbitan Berkala) - Computerworld Malaysia.
  4. Media Atas Talian - New Straits Times Online.
  5. Media Penyiaran (TV) - TV 1 (RTM)
  6. Media Penyiaran (Radio) - BERNAMA Radio 24.


 
 
MESYUARAT KALI KE-DUA KUMPULAN KERJA JENAYAH RENTAS-NEGARA UK-MALAYSIA DAN MESYUARAT BERSAMA INFORMATION SECURITY GROUP (ISG), ROYAL HOLLOWAY, UNVERSITY OF LONDON (RHUL)
  27 – 30 JANUARI 2015
 

CyberSecurity Malaysia telah menyertai rombongan delegasi Malaysia menghadiri Mesyuarat Kali Ke-dua Kumpulan Kerja Jenayah Rentas-Negara UK – Malaysia anjuran Suruhanjaya Tinggi United Kingdom di Malaysia dan Mesyuarat bersama Information Security Group (ISG) di London dari 27 hingga 30 Januari 2015.

Mesyuarat selama dua hari tersebut telah diadakan di Foreign and Commonwealth Office, King Charles Street London, United Kingdom dan turut disertai oleh Suruhanjaya Tinggi United Kingdom dan juga beberapa delegasi dari Malaysia yang terdiri dari pelbagai Agensi. CyberSecurity Malaysia telah diwakili oleh Lt. Kol Sazali Sukardi (Bersara), Naib Presiden Bahagian Kajian Strategik CyberSecurity Malaysia.

Antara perkara yang dibincangkan semasa mesyuarat adalah isu-isu berkaitan jenayah siber rentas sempadan dan juga ancaman siber.

CyberSecurity Malaysia juga turut menghadiri Mesyuarat bersama Information Security Group (ISG) yang telah diadakan di Royal Holloway, Universiti of London bagi membincangkan peluang mengadakan penyelidikan bersama keselamatan siber berkaitan bidang-bidang strategik.

Penyertaan CyberSecurity Malaysia di dalam kedua-dua mesyuarat ini merupakan satu penghargaan dan pengiktirafan di atas kepimpinan, komitmen serta kepakaran CyberSecurity Malaysia dalam bidang keselamatan siber.

 
 
BENGKEL PELAN INDUK KESEDARAN KESELAMATAN SIBER NASIONAL
  28 – 29 JANUARI 2015
 

Pada 28 dan 29 Januari 2015, satu bengkel telah dianjurkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dengan kerjasama CyberSecurity Malaysia bagi membincangkan pembangunan Pelan Induk Kesedaran Keselamatan Siber Nasional.

Bengkel selama dua hari ini telah disertai oleh 19 buah organisasi yang terdiri dari beberapa Kementerian, Agensi-agensi Kerajaan, NGO serta wakil dari syarikat swasta yang terlibat secara langsung dalam inisiatif memperkasakan kesedaran keselamatan siber di Malaysia.

Bengkel ini diadakan untuk:-

  1. membentangkan analisa serta menggulung hasil dapatan daripada penyelidikan yang telah dilakukan pada bengkel yang pertama;
  2. menyelaras serta mengemaskini maklumat yang diperolehi hasil daripada maklum balas yang diterima dari organisasi yang terlibat;
  3. membentangkan deraf laporan, pendekatan serta struktur pelan induk;
  4. mendapatkan maklum balas dari organisasi yang terlibat dalam menghasilkan laporan akhir pelan induk;

Dengan adanya Pelan Induk Kesedaran Keselamatan Siber Nasional, ia akan meletakkan Malaysia sebagai negara peneraju untuk kempen kesedaran keselamatan siber di Malaysia, menjadikan ia yang pertama di dunia.