CyberSecurity Malaysia –“CyberNEWS”
Bahasa | English Isu 8 | Suku Pertama - 2015
PERSIDANGAN ASIA PACIFIC NETWORK INFORMATION CENTRE (APNIC) KALI KE-39 DAN APCERT CYBER SECURITY DAY 2015
  2 – 5 MAC 2015
 

Persidangan APNIC Kali ke-39 anjuran Asia Pacific Network Information Centre (APNIC) dan Pasukan Tindakbalas Kecemasan Komputer Asia Pacific (APCERT) telah diadakan pada 2 hingga 5 Mac 2015 di Fukuoka, Jepun.

Persidangan ini diadakan bertujuan untuk mendekatkan lagi komuniti network operators dan komuniti pengamal keselamatan siber (CERT) di rantau Asia Pasifik.

CyberSecurity Malaysia yang merupakan ahli Jawatankuasa Pemandu bagi APCERT telah terlibat secara aktif di dalam persidangan ini, di samping turut menghadiri beberapa mesyuarat bagi membincangkan perkara serta isu berkaitan keselamatan siber.

Pada persidangan tersebut juga, CyberSecurity Malaysia telah mengambil bahagian dalam Hari Keselamatan Siber APCERT yang berlangsung pada 4 Mac 2015. Selaku peneraju 'Liaison Initiative' bagi APCERT, CyberSecurity Malaysia telah diberi peranan untuk mengkoordinasi penganjuran acara Hari Keselamatan Siber 2015.

Seramai 120 orang peserta telah menghadiri sesi berkenaan, di mana Dr. Aswami Fadillah Ariffin, Naib Presiden Bahagian Perkhidmatan Responsif Keselamatan Siber, CyberSecurity Malaysia telah membuat pembentangan bertajuk Coordinated Malware Eradication (CME).

Penglibatan CyberSecurity Malaysia di dalam acara ini telah mengukuhkan lagi kedudukan, meningkatkan visibility serta daya kepimpinan negara di peringkat antarabangsa dalam bidang keselamatan siber.

 
 
7TH EAST ASIA SECURITY OUTLOOK SEMINAR 2015
  3 - 6 MAC 2015
 

7th East Asia Security Outlook Seminar 2015 telah dianjurkan oleh Sultan Haji Hassanal Bolkiah Institute of Defence and Strategic Studies, Kementerian Pertahanan, Negara Brunei Darussalam di Bandar Seri Begawan.

Seminar selama sehari ini telah membincangkan banyak isu berkaitan cabaran dalam bidang keselamatan siber serta kesan terhadap teknologi baru masa kini. Antara negara yang terlibat di dalam seminar ini adalah Indonesia, Singapura, Malaysia dan juga Amerika Syarikat.

CyberSecurity Malaysia telah diwakili oleh Lt. Kol. Sazali Sukardi (Bersara), Naib Presiden Bahagian Kajian Strategik. Beliau telah membuat pembentangan bertajuk Challenges and Responses in Cyber Security.

Penglibatan CyberSecurity Malaysia di dalam Seminar ini telah memberi peluang kepada CyberSecurity Malaysia untuk berkongsi kepakaran dan pengetahuan, di samping dapat memperkukuhkan lagi kedudukan di dalam industri keselamatan siber di rantau Asia Tenggara.

 
 
SEMINAR ISU KESELAMATAN SIBER
  4 MAC 2015
 

Seminar Isu Keselamatan Siber 2015 telah diadakan pada 4 Mac 2015 dan dianjurkan oleh PricewaterhouseCoopers (PwC) di Kuala Lumpur.

Pada sesi pembentangan di Seminar tersebut, Dr. Solahuddin Shamsuddin, Ketua Pegawai Teknologi, CyberSecurity Malaysia telah membuat ucapan mengenai Cyber Security Situation in Malaysia.

Seminar tersebut telah mengupas pelbagai isu berkaitan keselamatan siber. Penglibatan CyberSecurity Malaysia pada Seminar ini telah dapat menerangkan senario keselamatan siber dalam Negara kepada para peserta seminar.

 
 
KURSUS AUDIT DALAMAN ISO/IEC 27001:2013
  10 – 12 MAC 2015
 

Pada 10 hingga 12 Mac 2015, CyberSecurity Malaysia telah menganjurkan satu kursus Audit Dalaman ISO/IEC 27001:2013 bertempat di Putrajaya. Kursus selama tiga hari ini telah dihadiri oleh 23 orang peserta daripada pelbagai organisasi. Kursus ini diadakan khusus kepada organisasi yang telah berjaya mendapat persijilan skim CSM27001.

Kursus ini memberi panduan mengenai pelaksanaan audit dalaman, kepatuhan kepada standard yang ditetapkan serta membentuk keseragaman kefahaman dalam kalangan organisasi yang mendapat persijilan di bawah CSM27001.

 
 
OPS JELAJAH CYBER – ZON 1 KELANTAN & ZON 2 PAHANG
  13 – 18 MAC 2015
 

CyberSecurity Malaysia dengan sokongan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah melaksanakan satu program CSR (Corporate Social Responsibility) yang dikenali sebagai "Ops Jelajah Cyber" di negeri-negeri terjejas banjir di Pantai Timur Semenanjung Malaysia iaitu Kelantan, Pahang dan Terengganu.

Satu Majlis Flag Off telah diadakan pada 12 Mac 2015 dan disempurnakan oleh YB. Datuk Dr. Abu Bakar Mohamad Diah, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.

Selain menyediakan bantuan pemulihan data, pasukan konvoi turut mengadakan khidmat runding cara mengenai penyaringan data, berkongsi maklumat mengenai amalan terbaik pengurusan data, membuat penerangan mengenai jenis-jenis insiden dan ancaman keselamatan siber serta memaklumkan kepada Komuniti setempat cara pelaporan insiden keselamatan siber kepada CyberSecurity Malaysia melalui pusat bantuan Cyber999 menerusi pelbagai saluran pelaporan.

Program Ops Jelajah Cyber turut mendapat kerjasama padu dari Pejabat-pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri serta Pejabat-pejabat Daerah/Jajahan dan Tanah di setiap daerah/jajahan yang dikunjungi. Selain itu, program ini juga mendapat sokongan dari industri seperti Myung Inovasi Terkini Sdn Bhd, Huawei, Prisma Khas Sdn Bhd, WS Mentari Sdn Bhd dan Trends Integrated.

 
 
7TH ANNUAL BANK TECH ASIA 2015
  17 - 18 MAC 2015
 

7th Annual Bank Tech Asia 2015 ini telah diadakan oleh Knowledge Group of Companies di Grand Millennium Hotel, Kuala Lumpur. Seminar selama dua hari ini telah membincangkan isu-isu yang memberi kesan kepada teknologi perbankan dan maklumat sejajar dengan arus perkembangan ICT masa kini.

Pada seminar ini juga, aspek keselamatan siber turut dibincangkan. Lt. Kol. Sazali Sukardi, Naib Presiden Bahagian Kajian Strategik CyberSecurity Malaysia telah membuat pembentangan bertajuk Addressing Cyber Threats in the Banking Sector, di mana beliau telah berkongsi maklumat mengenai trend semasa ancaman siber dan risiko serangan siber ke atas sektor perbankan.

Industri perbankan telah menunjukkan betapa penting keselamatan siber dalam industri perbankan masa kini dan turut mengiktiraf CyberSecurity Malaysia di atas kepakaran berkaitan keselamatan siber.

 
 
FORUM MEDIA SOSIAL SEKTOR AWAM
  19 MAC 2015
 

Forum Media Sosial Sektor Awam telah diadakan pada 19 Mac 2015 di Putrajaya dan telah dirasmikan oleh YB. Datuk Joseph Entulu Belaun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri

Lebih 1,000 orang hadir di forum ini yang terdiri dari kalangan Ketua-ketua Jabatan, Ketua-ketua Pegawai Maklumat (CIO) dan pegawai- pegawai bertanggungjawab dalam penerapan media sosial dalam sektor awam.

Forum sehari ini diadakan untuk memaklum dan membincangkan isu mengenai pelaksanaan dan halatuju media sosial di sektor awam.

Dr. Solahuddin Shamsuddin, Ketua Pegawai Teknologi CyberSecurity Malaysia telah dijemput sebagai ahli panel untuk sesi Diskusi Ilmu di Forum Media Sosial Sektor Awam ini.

 
 
AUDIT COMMITTEE CONFERENCE
  24 MAC 2015
 

CyberSecurity Malaysia telah mengambil bahagian di dalam Audit Committee Conference anjuran Majlis Akauntan Malaysia pada 24 Mac 2015 di Kuala Lumpur.

Persidangan ini diadakan dengan tujuan berkongsi pengetahuan dan pengalaman dalam mengharungi cabaran dan tekanan proses pengauditan serta penyediaan laporan kewangan yang semakin kompleks.

Pada persidangan ini juga, isu keselamatan maklumat turut dibincangkan, di mana Dr. Solahuddin Shamsuddin, Ketua Pegawai Teknologi CyberSecurity Malaysia telah berkongsi maklumat dan informasi mengenai kepentingan keselamatan siber dengan para peserta persidangan.

 
 
ASEAN REGIONAL FORUM – WORKSHOP ON COUNTER RADICALISATION AND THE INTERNET
  25 - 26 MAC 2015
 

CyberSecurity Malaysia telah dijemput untuk membuat pembentangan di Asean Regional Forum anjuran Pusat Serantau Asia Tenggara Bagi Mencegah Keganasan (SEARCCT) yang berlangsung pada 25 dan 26 Mac 2015 di Kuala Lumpur.

Dr. Zahri Hj Yunos, Ketua Pegawai Operasi CyberSecurity Malaysia telah membuat pembentangan bertajuk Internet Radicalization & Cyber Terrorism. Persidangan telah dihadiri oleh pengubal dasar serta pegawai penguatkuasa undang-undang dari pelbagai Negara di rantau Asia Pasifik.

Penglibatan CyberSecurity Malaysia dalam persidangan ini telah dapat berkongsi pengalaman dan maklumat berkaitan trend serta ancaman siber masa kini. Di samping itu, ia turut menunjukkan komitmen pelbagai Negara terhadap bidang keselamatan siber.

 
 
PAMERAN & AKTIVITI SEMPENA PROGRAM MAJLIS GRADUASI DAN INOVASI TAHUN 2015 DI SMK GHAFAR BABA, MELAKA
  28 MAC 2015
 

Pada 28 Mac 2015, CyberSecurity Malaysia telah mengambil bahagian di dalam Program InnoSpace anjuran Bahagian Inovasi & Pengkomersilan, Kementerian Sains, Teknoogi dan Inovasi (MOSTI) bertempat di Sekolah Menengah Kebangsaan Ghafar Baba (SMKGB), Melaka. Majlis Perasmian telah disempurnakan oleh YB. Datuk Dr.. Abu Bakar Mohamed Diah, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.

Program ini bertujuan untuk memberi penghargaan dan dorongan kepada para pelajar SMKGB, khususnya pelajar Tingkatan Lima dan Pra Universiti. Di samping itu, program ini juga memberi pendedahan kepada para pelajar mengenai inovasi-inovasi terkini dan keperluannya untuk pembangunan negara serta dapat melahirkan pelajar yang kreatif dalam merencana idea-idea baru.

Pelbagai aktiviti interaktif di atas talian dan taklimat diadakan sepanjang program oleh CyberSecurity Malaysia dan juga agensi MOSTI yang lain, antaranya Jabatan Kimia, Jabatan Nuklear, Sirim dan Jabatan Meteorologi.

Program ini telah menepati sasaran kempen kesedaran keselamatan siber - CyberSAFE, di mana penglibatan para pelajar dan masyarakat setempat seramai lebih 1,000 orang telah membantu CyberSecurity Malaysia menyebarkan maklumat mengenai kesedaran keselamatan siber.

 
 
PROGRAM KESEDARAN KESELAMATAN BERSAMA INDUSTRI
  31 MARCH 2015
 

Pada 31 Mac 2015, CyberSecurity Malaysia telah dijemput untuk memberi taklimat keselamatan siber berkaitan Industrial Control System (ICS) kepada kakitangan dan pengurusan Yokogawa Kontrol (M) Sdn Bhd.

Program ini diadakan bertujuan memberi penerangan dan panduan kepada industri mengenai ancaman siber ICS dan langkah-langkah penambahbaikan yang boleh dilakukan oleh industri ini untuk mengurangkan risiko pencerobohan dan godaman yang mungkin menggugat keselamatan, mengakibatkan kemusnahan fizikal dan mengganggu kesinambungan perkhidmatan.

CyberSecurity Malaysia telah diwakili oleh Ruhama Bin Mohammed Zain. Pembentangan berkisarkan kepada sumber ancaman, mangsa serangan, langkah-langkah pencegahan dan rekabentuk rangkaian yang selamat.