CyberSecurity Malaysia –“CyberNEWS”
Bahasa | English Isu 11 | Suku Keempat - 2015
BENGKEL MEMPERKASA TEKNOLOGI BARU DALAM MENYUMBANG KEPADA PEMBANGUNAN KEJURUTERAAN PERIKANAN, MORIB, SELANGOR
  4 OKTOBER 2015
 

Pada 4 Oktober 2015 telah berlangsung Bengkel Memperkasa Teknologi Baru Dalam Menyumbang Kepada Pembangunan Kejuruteraan Perikanan anjuran Bahagian Kejuruteraan, Jabatan Perikanan Malaysia bertempat di Morib, Selangor.

Bengkel ini diadakan bertujuan untuk memberi kesedaran tentang kepentingan keselamatan siber kepada pembangunan kejuruteraan perikanan. CyberSecurity Malaysia telah diwakili oleh Lt. Kol. Sazali Sukardi (Bersara), Naib Presiden Bahagian Penyelidikan Strategik. Beliau telah menyampaikan ceramah bertajuk "Current Cyber Security Issues and Challenges".

Bengkel ini telah memberi peluang kepada CyberSecurity Malaysia untuk berkongsi maklumat mengenai bidang keselamatan siber. Ianya juga merupakan satu penghargaan dan pengiktirafan kepada CyberSecurity Malaysia sebagai sebuah agensi teknikal dalam bidang keselamatan siber di Malaysia.

 
 
LAWATAN KERJA THE NATIONAL COMMISSION ON RESEARCH, SCIENCE AND TECHNOLOGY (NCRST), NAMIBIA
  4 OKTOBER 2015
 

Pada 4 Oktober 2015, CyberSecurity Malaysia telah menerima kunjungan dari The National Commission of Research, Science and Technology, Namibia. Delegasi diketuai oleh Ebenhezer Kauhonina, Pegawai Kanan Program, Jabatan Penyelidikan, Sains, Teknologi, Penyelarasan Inovasi dan Infrastruktur, Namibia.

Ketibaan delegasi telah disambut oleh Dr. Amirudin Abdul Wahab, Ketua Pegawai Eksekutif, manakala taklimat mengenai fungsi, peranan serta perkhidmatan yang ditawarkan oleh CyberSecurity Malaysia kepada pihak kerajaan dan orang awam telah disampaikan oleh Mohd Shamir Hashim, Naib Presiden Kanan Bahagian Perhubungan Kerajaan Dan Antarabangsa CyberSecurity Malaysia.

Pada akhir lawatan, delegasi telah dibawa melawat bahagian Pasukan Tindak balas Kecemasan Komputer (MyCERT) dan juga makmal Forensik Digital. Lawatan ini dijangka dapat menjalin hubungan baik dalam bidang keselamatan siber di antara Malaysia dan Namibia.

 
 
BENGKEL MULTIMEDIA FORENSICS ANALYSIS TECHNIQUE DAN ETDA SECURITY HEALTH CHECK DAY 2015, BANGKOK, THAILAND
  6 OKTOBER 2015
 

CyberSecurity Malaysia telah menyertai Bengkel Teknikal Multimedia Forensics Analysis Technique dan Seminar Security Health Check Day 2015 di Bangkok, Thailand pada 6 Oktober 2015. Bengkel serta Seminar ini merupakan inisiatif Electronic Transactions Development Agency (ETDA), Ministry of Information and Communication Technology (ICT), Thailand dan diadakan serentak dengan acara Thailand CTF Competition 2015.

Bengkel teknikal forensik multimedia diadakan untuk memberi pendedahan dan perkongsian maklumat mengenai cara menjalankan pemeriksaan dan analisa forensik multimedia. Manakala, Seminar Security Health Check Day pula diadakan bertujuan untuk meningkatkan kesedaran terhadap ancaman serangan siber terhadap kerajaan dan organisasi awam di Thailand.

CyberSecurity Malaysia telah diwakili oleh Mohd Zabri Adil Talib, Ketua Jabatan Forensik Digital dan Mohammad Zaharudin Ahmad Darus, Saintis Kanan, Jabatan Forensik Digital. Mereka telah membuat pembentangan bertajuk "Multimedia Forensics Analysis Technique" pada bengkel teknikal forensik multimedia dan "National Point of View of Cyber Security Management" pada Security Health Check Day.

Penglibatan CyberSecurity Malaysia di dalam bengkel ini merupakan satu pengiktirafan sebagai pusat rujukan agensi teknikal dalam bidang forensik digital di rantau ini. CyberSecurity Malaysia juga telah berkongsi pengalaman mengenai cara pengendalian keterangan elektronik dalam pembuktian kes di mahkamah.

 
 
3RD BIG DATA WORLD SHOW MALAYSIA 2015, KUALA LUMPUR
  6 – 7 OKTOBER 2015
 

CyberSecurity Malaysia telah mengambil bahagian pada persidangan 3rd Big Data Show Malaysia 2015 yang berlangsung di Kuala Lumpur pada 6 dan 7 Oktober 2015.

Persidangan ini diadakan bertujuan untuk mempertingkatkan kefahaman dan pengetahuan mengenai Data Besar (Big Data) dalam membentuk rangkaian perniagaan yang positif. Selain itu, persidangan ini turut membincangkan cabaran serta cara meningkatkan kecekapan pengurusan data bagi memaksimumkan pendapatan perniagaan.

CyberSecurity Malaysia telah diwakili oleh Dr. Solahuddin Shamsuddin, Ketua Pegawai Teknologi yang telah membuat pembentangan bertajuk "Investing in Big Data Facility: Are We Ready?"

 
 
KURSUS PENGURUSAN PENOLONG PEGAWAI GRED 27-38 PEJABAT KETUA PEGAWAI KESELAMATAN KERAJAAN MALAYSIA, JABATAN PERDANA MENTERI, PORT DICKSON, NEGERI SEMBILAN
  7 OKTOBER 2015
 

Kursus anjuran Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia, Jabatan Perdana Menteri ini telah diadakan pada 7 Oktober 2015 bertempat di Port Dickson, Negeri Sembilan.

Kursus ini memberi pendedahan mengenai ancaman keselamatan siber terutamanya ancaman terhadap Infrastruktur Maklumat Kritikal Negara (Critical National Information Infrastructure). Di samping itu, kursus ini juga turut menerangkan mengenai Dasar Keselamatan Siber Negara (National Cyber Security Policy) yang dirangka untuk menangani ancaman siber serta menerangkan bagaimana peserta kursus berperanan bagi melindungi keselamatan siber di agensi masing-masing.

Seramai 80 peserta dari seluruh Malaysia hadir pada kursus ini. Penglibatan CyberSecurity Malaysia telah dapat mengukuhkan lagi jalinan kerjasama di antara CyberSecurity Malaysia dan Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia. Di samping itu, ia juga dapat memberi kesedaran mengenai kepentingan keselamatan siber kepada para peserta.

 
 
SEMINAR KESEDARAN SIBER, POLITEKNIK MUADZAM SHAH, KUANTAN, PAHANG
  7 OKTOBER 2015
 

Pada 7 Oktober 2015, CyberSecurity Malaysia telah menyertai Seminar Kesedaran Siber anjuran Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Politeknik Muadzam Shah, Kuantan, Pahang.

Lt. Kol. Sazali Sukardi (Bersara), Naib Presiden Bahagian Penyelidikan Strategik, CyberSecurity Malaysia telah menyampaikan ceramah bertajuk "Current Cyber Security Landscape".

Seminar ini diadakan untuk berkongsi ilmu dan bertukar pandangan di antara pelajar dan industri mengenai pelbagai isu semasa berkaitan keselamatan siber.

 
 
CLOUD SOUTH EAST ASIA CONFERENCE 2015, KUALA LUMPUR
  7 - 8 OKTOBER 2015
 

CyberSecurity Malaysia telah mengambil bahagian dalam persidangan Could South East Asia 2015 yang berlangsung di Kuala Lumpur pada 7 dan 8 Oktober 2015.

Persidangan dihoskan oleh Multimedia Development Corporation (MDEC). Ia merupakan medan pembentangan, perkongsian ilmu dan perbincangan antara pakar–pakar dari industri cloud computing mengenai isu–isu yang dihadapi berkenaan pelaksanaan cloud computing di Negara-negara Asia tenggara.

Ia juga diadakan untuk mempromosi serta menggalakkan piawaian teknologi cloud dan operasi antara negara-negara Asia. Selain itu, ia juga bertujuan untuk mewujudkan satu platform rangkaian yang berkesan untuk mengukuhkan kerjasama di kalangan industri cloud di seluruh Asia Tenggara dan juga dengan benua lain. Seramai 400 peserta hadir di persidangan ini.

 
 
FORUM DAN WADAH PERKHIDMATAN DIGITAL KERAJAAN 2015, PUTRAJAYA
  8 OKTOBER 2015
 

Pada 8 Oktober 2015 telah berlangsung Forum dan Wadah Perkhidmatan Digital Kerajaan 2015 anjuran Unit Pemodenan Tadbiran Dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) di Putrajaya.

Forum sehari ini telah dirasmikan oleh YBhg. Tan Sri Dr. Ali Hamsa, Ketua Setiausaha Negara dan dihadiri lebih 1,000 pengunjung yang terdiri dari Ketua-Ketua Jabatan, Ketua-Ketua Pegawai Maklumat, Pengurus Teknologi Maklumat serta pegawai-pegawai Sektor Awam daripada pelbagai Kementerian, Agensi dan Kerajaan Negeri.

Forum ini diadakan untuk mewacanakan perkembangan terkini berhubung pelaksanaan perkhidmatan digital yang meliputi perkembangan global IoT (Internet of Things) yang boleh memberi impak kepada perkhidmatan kerajaan.

Dr. Solahuddin Shamsuddin, Ketua Pegawai Teknologi, CyberSecurity Malaysia telah membuat pembentangan bertajuk "Investing in Big Data Facility: Are We Ready?" pada Forum ini. Sementara itu, CyberSecurity Malaysia juga turut terlibat di dalam sesi pameran sepanjang program berlangsung, di mana maklumat mengenai perkhidmatan yang ditawarkan oleh CyberSecurity Malaysia telah dipamerkan.

 
 
PERJANJIAN PERSEFAHAMAN (MOU) DI ANTARA CYBERSECURITY MALAYSIA DAN INFORMATION TECHNOLOGY AUTHORITY (ITA), OMAN
  11 OKTOBER 2015
 

Pada 11 Oktober 2015 telah berlangsung satu Majlis Menandatangi Perjanjian Persefahaman (MOU) di antara CyberSecurity Malaysia dan Information Technology Authority (ITA), Oman.

Majlis ini telah dihadiri oleh Dr. Amirudin Abdul Wahab, Ketua Pegawai Eksekutif, CyberSecurity Malaysia manakala Dr. Salim Sultan Al Ruzaiqi, Ketua Pegawai Eksekutif, Information Technology Authority (ITA) mewakili Oman.

MOU yang ditandatangani ini adalah bagi melestarikan hasrat kedua-dua organisasi dalam menangani ancaman dan serangan siber. Ia juga turut menyentuh program latihan dan konsultansi dalam pembangunan makmal pengujian keselamatan di Oman.

 
 
3RD INTERNATIONAL CONFERENCE ON ARTIFICIAL INTELLIGENCE AND COMPUTER SCIENCE (AICS 2015), PULAU PINANG
  12 – 13 OKTOBER 2015
 

Pada 12 dan 13 Oktober 2015 telah berlangsung persidangan 3rd International Conference on Artificial Intelligence and Computer Science (AICS 2015).

Forum anjuran Universiti Islam Antarabangsa Selangor ini diadakan bagi tujuan mengumpul ahli-ahli akademik, penyelidik dan sarjana untuk bertukar-tukar pendapat dan berkongsi pengalaman serta hasil penyelidikan berkaitan inovasi dalam Kejuruteraan dan Teknologi.

CyberSecurity Malaysia telah diwakili oleh Zanoramy Ansiry bin Zakaria dari Jabatan MyCERT, di mana beliau telah menyampaikan kertas penyelidikan bertajuk "Application of Case Based Reasoning in IT Security Incident Response".

 
 
FIREEYE SPECIAL CUSTOMER APPRECIATION & AWARDS SEMPENA CYBER DEFENSE SUMMIT 2015, WASHINGTON D.C, AMERIKA SYARIKAT
  12 – 16 OKTOBER 2015
 

CyberSecurity Malaysia telah dikurniakan dengan Anugerah Inovasi Keselamatan Siber Terbaik (Best Cyber Security Innovation Award) oleh FireEye Inc, sebuah organisasi peneraju penyelidikan teknologi keselamatan siber antarabangsa yang berpengkalan di Amerika Syarikat. Anugerah disampaikan pada satu majlis Customer Appreciation and Awards Event bersempena Cyber Defense Summit 2015 yang berlangsung di Washington DC, Amerika Syarikat.

Anugerah Inovasi Keselamatan Siber diperolehi berdasarkan kejayaan CyberSecurity Malaysia menghasilkan produk inovatif, CyberDEF yang dibangunkan khusus bagi menangani isu-isu berkaitan serangan malware dan forensik digital. CyberSecurity Malaysia juga turut menghadiri persidangan yang disertai lebih 1,700 peserta dari lebih 40 buah negara di seluruh dunia.

Penyertaan CyberSecurity Malaysia pada persidangan anjuran FireEye ini juga turut memberi peluang kepada CyberSecurity Malaysia untuk menjalin kerjasama strategik dalam bidang keselamatan siber dengan pemain industri di Amerika Syarikat. CyberSecurity Malaysia juga telah melakukan lawatan kerja serta mengadakan perbincangan dengan beberapa organisasi yang berpengkalan di Amerika Syarikat seperti US-CERT, Kroll Ontrack, CSIRT Gadgets Foundation and CyberGreen, dan Lastline.

 
 
KARNIVAL FALAK SEMPENA MAAL HIJRAH 1437H PERINGKAT NEGERI MELAKA
  14 - 18 OKTOBER 2015
 

Pada 14 hingga 18 Oktober 2015, CyberSecurity Malaysia telah menyertai Karnival Falak sempena sambutan Maal Hijrah tahun 1437H peringkat Negeri Melaka.

Karnival ini diadakan di Dataran Pusat Islam, Bukit Palah, Melaka dan dianjur bersama antara Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).

Tujuan karnival ini diadakan adalah bagi mengetengah dan membudayakan bidang sains, teknologi dan inovasi kepada masyarakat umum, khususnya penduduk Negeri Melaka. Karnival telah dirasmikan oleh Tuan Yang Terutama Yang DiPertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob.

Selain pengisian berbentuk keagamaan, Karnival ini turut menyaksi pameran dari agensi dan Jabatan di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.

 
 
ASEAN REGIONAL FORUM SEMINAR ON OPERATIONALIZING CYBER CONFIDENCE-BUILDING MEASURES, SINGAPURA
  21 – 22 OKTOBER 2015
 

Pada 21 dan 22 Oktober 2015 telah berlangsung ASEAN Regional Forum Seminar on Operationalizing Cyber Confidence-Building Measures anjuran Department of Homeland Security Amerika Syarikat di Singapura.

Seminar ini diadakan bagi membincangkan ancaman siber yang boleh menggugat pertumbuhan ekonomi negara-negara membangun. Ia juga turut meningkatkan hubungan kerjasama rentas sempadan di antara negara-negara membangun serta ahli-ahli ASEAN Regional Forum dalam menangani isu dan membenteras insiden ancaman siber.

Peluang diambil untuk memperkenalkan CyberSecurity Malaysia sebagai peneraju keselamatan siber di peringkat antarabangsa menerusi penglibatan agensi ini di dalam Asia Pacific Computer Emergency Response Team (APCERT).

 
 
IEC/ISO PRE-PLENARY WORKSHOP FOR DEVELOPING COUNTRIES & 30th MEETING OF ISO/IEC JOINT TECHNICAL COMMITTEE (JTC) 1, BEIJING, CHINA
  25 - 31 OKTOBER 2015
 

CyberSecurity Malaysia telah dijemput untuk menghadiri bengkel dan mesyuarat strategik di peringkat antarabangsa mengenai standardisation bagi perkara-perkara yang berkaitan dengan Information Communications Technology (ICT). Program yang berlangsung dari 25 hingga 31 Oktober 2015 ini telah diwakili oleh Maslina Daud, Naib Presiden Bahagian Perkhidmatan Proaktif Keselamatan Siber, CyberSecurity Malaysia.

Seramai 200 peserta Standard National Body (NB) dari pelbagai negara telah hadir ke program berkenaan.

Bengkel serta mesyuarat ini telah berupaya membantu Malaysia dalam menyediakan petunjuk bagi hala tuju strategik dalam pembangunan dan pelaksanaan ICT di Malaysia terutama projek-projek yang berkaitan dengan Smart Cities, IoT dan Big Data. Selain itu, ia turut menjadi platform dalam mengenalpasti arah tuju teknologi global dan membantu negara dalam membangun strategi, pendekatan dan peluang ICT melalui rangkaian pakar-pakar ICT di peringkat global.

 
 
FIRST TECHNICAL COLLOQUIUM: PEMBENTANGAN KERTAS KERJA & PERBINCANGAN PANEL: BUILDING AN EFFECTIVE NATIONAL CERT TEAM, ISTANBUL, TURKI
  26 – 27 OKTOBER 2015
 

Pada 26 dan 27 Oktober 2015, CyberSecurity Malaysia telah menyertai Pembentangan Kertas Kerja dan Perbincangan Panel di FIRST Technical Colloquium yang diadakan di Istanbul, Turki.

Program anjuran United Nation Development Program (UNDP) ini merupakan platform bagi pembelajaran, perkongsian dan perbincangan mengenai isu serta cabaran yang dihadapi oleh masyarakat global dalam menangani ancaman keselamatan siber. CyberSecurity Malaysia diwakili oleh Sharifah Roziah Mohd Kassim, Pakar Keselamatan Siber dari Jabatan MyCERT

Penyertaan CyberSecurity Malaysia telah memberi impak dari segi visibiliti di arena antarabangsa dalam aspek keselamatan siber. Masyarakat global juga menyedari dan melihat kemajuan serta pembangunan Malaysia dari segi keselamatan siber. Di samping itu, ia turut memberi peluang untuk menjalin rangkaian dengan pakar-pakar keselamatan yang mana akhirnya dapat membantu dalam resolusi insiden keselamatan yang dilaporkan ke MyCERT.

 
 
TECHNOLOGY AND APPLICATIONS FOR DISASTER MANAGEMENT INTERNATIONAL CONFERENCE 2015 (TADMIC 2015), KUALA LUMPUR
  28 OKTOBER 2015
 

Pada 28 Oktober 2015, CyberSecurity Malaysia telah mengambil bahagian di dalam Technology and Applications for Disaster Management International Conference 2015 (TADMIC 2015) yang diadakan di Kuala Lumpur.

Persidangan anjuran Astronautic Technology (M) Sdn. Bhd. (ATSB) ini dilaksanakan untuk memberi pendedahan serta kesedaran tentang bencana (disaster) yang berlaku di Malaysia. Ia juga platform untuk perkongsian pengetahuan berkenaan teknologi kejuruteraan dan aplikasi dalam pengurusan bencana. Pengurusan bencana ini juga memberi fokus tentang langkah pencegahan, peringatan awal, penyelamatan dan pemulihan.

Pada seminar ini, wakil CyberSecurity Malaysia iaitu Tajul Josalmin Tajul Ariffin dari Jabatan Forensik Digital telah membuat pembentangan bertajuk "Disaster Management : CyberSecurity Malaysia's Perspective".

Melalui seminar ini, CyberSecurity Malaysia telah dapat memberi pendedahan kepada umum tentang cara persediaan bencana dalam konteks penyimpanan dan penjagaan data-data digital.

 
 
ASEAN CERT INCIDENT DRILL 2015 (ACID DRILL)
  28 OKTOBER 2015
 

Pada 28 Oktober 2015, CyberSecurity Malaysia telah mengambil bahagian dalam ASEAN CERT Incident Drill 2015 atau ACID DRILL anjuran SingCERT.

Ia merupakan acara tahunan yang diadakan di antara negara-negara ASEAN bagi menguji keberkesanan komunikasi di antara Negara-negara anggota ASEAN dalam usaha menangani pelbagai ancaman siber.

Pada tahun 2015, latihan siber ini telah disertai oleh 14 negara iaitu Malaysia, Brunei, Cambodia, Laos, Philippines, Singapore, Thailand, Indonesia, Myanmar, Vietnam termasuk Australia, Japan, China, India.

Program laithan siber ini dapat meningkatkan kerjasama di antara CyberSecurity Malaysia dan badan-badan CERT dalam kalangan anggota ASEAN. Selain itu, latihan siber ini juga turut memberi pendedahan kepada CyberSecurity Malaysia dalam menyelesaikan ancaman siber secara bekerjasama dengan ASEAN CERT. Penglibatan CyberSecurity Malaysia telah menjadikan agensi ini lebih dikenali di rantau ASEAN dan juga di persada antarabangsa.

 
 
TALKING ASEAN CONFERENCE: "THE ROLE OF MEDIA IN COUNTERING RELIGIOUS EXTREMISM", KUALA LUMPUR
  30 OKTOBER 2015
 

Pada 30 Oktober 2015, CyberSecurity Malaysia telah menyertai persidangan Talking ASEAN Conference yang dianjurkan oleh IMAN Research and The Habibie Centre of Indonesia.

Persidangan ini dirasmikan oleh bekas Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri Malaysia, YBhg. Tan Sri Dato' Ahmad Fuzi Haji Abd Razak merangkap penaung IMAN Research Malaysia. Persidangan telah dihadiri oleh lebih dari 100 peserta dari Malaysia dan Indonesia.

Pada persidangan ini, Dr. Zahri Yunos, Ketua Pegawai Operasi telah membuat pembentangan bertajuk "The Role of Media in Influencing Terrorism and Extremism".

Penyertaan CyberSecurity Malaysia dalam persidangan ini telah memberi peluang untuk perkongsian maklumat berkenaan trend ancaman siber masakini, mempromosi CyberSecurity Malaysia sebagai agensi pakar dalam bidang keselamatan siber, di samping mengeratkan kerjasama dan hubungan baik dengan pihak industri dalam inisiatif keselamatan siber di Malaysia.

 
 
KURSUS KUASA SUKSES UNTUK PEMIMPIN : KE ARAH KECEMERLANGAN PRESTASI BAGI PEGAWAI TADBIR DAN DIPLOMATIK (PTD) & PENOLONG PEGAWAI TADBIR (PPT), CAMERON HIGHLAND, PAHANG
  31 OKTOBER 2015
 

Pada 31 Oktober 2015, satu Kursus Kuasa Sukses Untuk Pemimpin: Ke Arah Kecemerlangan Prestasi Bagi Pegawai Tadbir Dan Diplomatik (PTD) & Penolong Pegawai Tadbir (PPT) anjuran Jabatan Kesihatan Negeri Perak ini telah diadakan di Heritage Hotel, Cameron Highland.

Kursus selama satu hari ini diadakan bertujuan untuk memberikan kesedaran tentang kepentingan keselamatan siber dalam kalangan Pegawai Tadbir Dan Diplomatik (PTD) & Penolong Pegawai Tadbir (PPT).

CyberSecurity Malaysia telah dijemput untuk membuat pembentangan bertajuk "Current Trend and Cyber Security Challenges". Pembentangan dilakukan oleh Lt. Kol. Sazali Sukardi (Bersara), Naib Presiden Bahagian Penyelidikan Strategik, CyberSecurity Malaysia.

Penglibatan CyberSecurity Malaysia merupakan satu penghargaan dan pengiktirafan untuk terus memperkukuhkan kedudukan sebagai pusat pakar serta rujukan keselamatan siber di Malaysia.