Godam dan menangi hadiah menarik
27th June 2002(Utusan Malaysia)

TIDAK semua aktiviti pencerobohan dan penggodaman sistem komputer berniat jahat atau memusnahkan.

Oleh itu, syarikat pembangun perisian keselamatan tempatan, Extol Corporation (M) Sdn. Bhd. akan menganjurkan sesi pertandingan menceroboh komputer pada persidangan mengenai keselamatan teknologi maklumat yang akan dianjurkan bulan depan.

Pertandingan yang pertama kali pernah diadakan di negara ini itu akan diadakan sebagai salah satu acara dalam persidangan yang dikenali sebagai Hack-In-The Box 2002 mulai 16 hingga 18 Julai ini.

Pemenang pertandingan yang dikenali sebagai sesi Capture the Flag itu akan menerima hadiah yang ditaja oleh syarikat Sun Microsystems.

Peserta pertandingan menceroboh komputer tersebut akan diberi tempoh dari pagi 16 Julai sehingga pukul 3 petang keesokannya untuk menceroboh komputer yang diberikan dan juga mengambil fail yang telah ditentukan.

Menurut kenyataan dari Extol, pemenang pertandingan menceroboh komputer itu akan dinilai dari segi masa, metodologi dan peralatan yang digunakan bagi menjalankan aktiviti mereka.

Kenyataan itu juga berkata, persidangan Hack-In-The-Box 2002 dianjurkan bertujuan mempertingkatkan pengetahuan organisasi tempatan mengenai ancaman-ancaman baru keselamatan komputer dan cara mengatasinya.

Penceramah dalam persidangan itu merupakan mereka yang pakar dalam bidang keselamatan IT seperti dari Symantec, MIMEsweeper, Ubizen, TripWire, Sun Microsystems dan juruperunding terkenal.

Antara topik yang akan dibicarakan ialah analisa risiko perniagaan, ancaman keselamatan sedia ada, penapisan kandungan, pencerobohan komputer, kekukuhan rangkaian dan data, keselamatan pelayan web dan juga pengesanan pencerobohan dan suntikan SQL.

Pengarah teknikal Extol, Justin Tan kini sedang menyediakan sukatan pelajaran yang mampu memberi pendidikan kepada profesional IT baru dan juga sedia ada untuk melaksanakan di organisasi masing-masing.

Maklumat lanjut mengenai persidangan ini boleh diperolehi dari laman web www.extol.com.my atau telefon di nombor 03-80248166.