Teknologi VPN tingkat ciri keselamatan Internet
17th June 2002 (Berita Harian)

TEKNOLOGI sistem rangkaian persendirian maya (VPN) akan menjadi teknik paling terbaik dalam memastikan keselamatan Internet untuk komunikasi perniagaan, khususnya yang menggunakan prasarana utama awam atau sijil digital.

Menyedari kepentingan VPN, MSC Trustgate.com Sdn Bhd (MSCtrustgate.com) mengadakan kerjasama strategik dengan Imperito Networks Inc (Imperito) untuk meningkatkan ciri keselamatan bagi keperluan pasaran e-niaga.

Ketua Pegawai Eksekutif MSC Trustgate.com, Badrul Hisham Mahari, berkata melalui pengenalan teknologi itu, syarikat menjangkakan sebahagian besar daripada 400 pelanggannya akan memanfaatkan VPN dalam memastikan keselamatan komunikasi perniagaan mereka melalui Internet.

Katanya, pengenalan VPN ini selaras dengan matlamat syarikat untuk membolehkan syarikat di negara ini menggunakan Internet bagi mengendalikan perniagaan dengan selamat.

"Melalui teknologi ini, firma menikmati manfaat Internet sebagai media komunikasi yang menyediakan kemudahan murah, berkesan dan pantas tanpa perlu risau mengenai isu keselamatan," katanya kepada media sempena majlis perjanjian persefahaman dengan Imperito, di Kuala Lumpur, Isnin lalu.

Badrul Hisham mewakili MSC Trustgate.com manakala Imperito diwakili naib presidennya (jualan global), Steve D Behrens.

Perjanjian ini menjadikan MSC Trustgate.com sebagai rakan niaga eksklusif Imperito di Malaysia selain penyedia rumusan lengkap utama bermula daripada perjanjian sehingga perkhidmatan selepas jualan untuk perkhidmatan InstantVPN Imperito.

MSC Trustgate.com kini boleh menawarkan firma dengan perkhidmatan pengurusan VPN yang berupaya mengembangkan sistem rangkaian korporat ke lokasi berjauhan yang turut menyediakan perlindungan firewall.

Behrens berkata, Malaysia adalah antara pasaran besar untuk teknologi VPN yang menurut data IDC, terdapat kira-kira 20 peratus syarikat merancang menggunakan teknologi itu pada masa depan dan 100 peratus berpuas hati dengannya.

Katanya, ini menunjukkan pasaran VPN besar dan Imperito menjangkakan menjelang 2005, pasaran perkhidmatan VPN akan melebihi RM76 juta seluruh dunia.

"Kerjasama dengan MSC Trustgate.com mengukuhkan kewujudan syarikat di rantau ini selain membolehkan Imperito menjadikannya sebagai batu loncatan dalam mengembangkan perancangannya pada masa depan," katanya.