Keganasan siber - Haruskah Malaysia berpaksikan pendekatan Barat?
By MOHD. RIDZWAN MD. IMAN
6th June 2002 (Utusan Malaysia)

TAHUN 2002 telah dikenalpasti oleh Amerika Syarikat sebagai tahun memerangi keganasan. Negara yang gah dengan kekuatan ketenteraan terbaik dunia itu kini begitu sibuk membaiki imej mereka yang tercemar selepas peristiwa 11 September.

Negara Afghanistan yang menjadi pangkalan Al-Qaeda iaitu pertubuhan yang didakwa bertanggungjawab terhadap tragedi 11 September telah diserang dan kini beberapa negara yang dikatakan menjadi paksi pengganas pula menanti giliran.

Apa yang menarik untuk diperkatakan mengenai reaksi Amerika dan sekutunya, Britain dalam menangani masalah keganasan ialah dengan turut menyenaraikan masalah teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) sebagai salah satu agenda memerangi keganasan mereka.

Kedua-dua negara itu baru-baru ini telah menggubal beberapa undang-undang baru bagi membolehkan penyiasatan keatas kegiatan individu atau pertubuhan yang disyaki menjadi dalang kepada kegiatan keganasan dilakukan walaupun ia boleh menimbulkan pertikaian mengenai hak privasi pengguna.

"Undang-undang sedia ada mereka juga telah dipinda atas tujuan yang sama,'' kata Pakar undang-undang siber, Prof. Dr. Abu Bakar Munir.

Terdapat beberapa isu yang harus dilihat daripada fakta-fakta mengenai usaha Amerika dan Britain yang terbaru ini untuk menangani masalah keganasan fizikal yang dikaitkan dengan masalah keganasan siber.

Sebaik sahaja terjadinya peristiwa serangan 11 September yang gagal dikesan oleh pasukan perisikan terkenal Amerika dan Britain, pelbagai teori dan pendapat dikemukakan yang pertubuhan-pertubuhan yang dikatakan menjadi penaja pengganas menggunakan teknologi canggih seperti Internet untuk tujuan komunikasi.

Pengganas dikatakan menggunakan pelbagai kaedah yang terdapat di Internet seperti enkripsi berteknologi tinggi untuk saling menghantar maklumat, `chat' di ruang siber, e-mel yang dilindungi dan sebagainya.

Tetapi sehingga kini tiada sebarang bukti yang menunjukkan kumpulan 'pengganas' yang dikatakan menyerang World Trade Centre dan Pentagon tahun lepas itu telah menggunakan medium teknologi sebagai alat komunikasi atau sebagainya.

Walaupun begitu, Amerika dan Britain masih percaya yang kumpulan 'pengganas' itu sememangnya telah menggunakan pelbagai cara yang berkaitan dengan Internet atau telefon untuk berkomunikasi dan sesuatu perlu dilakukan.

Bagi Malaysia, kita mempunyai cara tersendiri dalam menghadapi ancaman-ancaman keganasan termasuk potensinya. Penggunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang dipertikaikan Barat telah berjaya membendung masalah itu dari merebak.

Di negara kita juga, sebarang aktiviti percetakan yang disebarkan kepada orang awam memerlukan permit yang sah. Peruntukan undang-undang yang sedia ada seperti Akta Percetakan, Akhbar dan Penerbitan 1984, Akta Penyiaran 1988, Akta Hasutan 1948, Akta Rahsia Rasmi 1972 membataskan maklumat- maklumat yang boleh dicetak dan diedarkan kepada orang ramai.

Begitu juga kita mempunyai cara sendiri dalam menangani masalah keganasan siber seperti aktiviti-aktiviti jenayah komputer berkaitan penggodaman komputer, merosakkan sistem syarikat, penyebaran virus, menipu dalam talian dan sebagainya.

Kita sebenarnya telah menjadi negara pertama di dunia memperkenalkan undang-undang siber yang komprehensif dengan pengenalan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Jenayah Komputer 1997, Akta Tandatangan Digital 1997, Akta Teleperubatan 1997 dan pindaan Akta Hak Cipta.

Kerajaan juga akan memperkenalkan Akta Perlindungan Data Peribadi tidak lama lagi yang akan melindungi data peribadi individu bagi menjamin keselamatan maklumat dan kebolehpercayaan serta keutuhan rangkaian.

"Selain itu, kita juga sedang menyemak undang-undang berkaitan e-dagang bagi menyelaraskan undang-undang berkenaan dengan undang-undang siber dan transaksi elektronik sejajar dengan perkembangan terkini dalam perdagangan elektronik (e-dagang),'' kata Menteri Tenaga, Komunikasi dan Multimedia, Datuk Amar Leo Moggie.

Walaupun sesetengah akta dalam undang-undang siber itu dikatakan diambil atau dicedok dari undang-undang siber sesetengah negeri di Amerika Syarikat tetapi kita masih berbangga kerana kita mampu melaksanakan di peringkat negara. Suatu usaha sukar yang berani dan kehadapan.

"Undang-undang siber di negara ini bersifat terbuka dan ia boleh diubah mengikut kesesuaian semasa,'' kenyataan yang seringkali dinyatakan Moggie.

Sifat keterbukaan akta sedia ada memberi kelebihan kepada Malaysia untuk melakukan pindaan dan juga tidak memerlukan kita memperkenalkan undang-undang baru setiap kali teknologi berubah.

Dari segi perlindungan pengganas pula, Malaysia juga menjadi negara pertama yang di dunia memperkenalkan kad pengenalan pintar yang membolehkan pihak penguat kuasa mendapatkan maklumat pembawa kad dengan cepat dan tepat.

Malahan, media di Amerika Syarikat pernah mencadangkan supaya negaranya mencontohi Malaysia dalam pengenalan kad itu.

Kesimpulannya, memang diketahui negara kita masih kekurangan pakar ICT atau undang-undang berkaitannya tetapi ia tidak bermakna kita tidak boleh mendahului dalam sesetengah bidang.

Sikap Amerika Syarikat yang hanya ingin berlagak sebagai 'big brother' dan harus diikuti oleh adik-adik di seluruh dunia seharusnya tidak dilayan oleh kita.

Sekali sekala apa salahnya 'si abang' mengakui yang 'si adik' telah melakukan suatu yang lebih baik daripadanya dan perlu pula dicontohi.