Rugi RM22j akibat virus komputer
30 April 2002 (Utusan Malaysia)
By Nurul Hazren Masitom

SERI KEMBANGAN, Isnin: Sektor perniagaan di Malaysia dianggarkan mengalami kerugian sebanyak RM22 juta berikutan serangan virus komputer, Nimda dan Code Red tahun lalu.

Menteri Tenaga, Komunikasi dan Multimedia, Datuk Amar Leo Moggie, berkata pengiraan kerugian itu dilakukan dalam tempoh tertentu dengan perbandingan dibuat berdasarkan serangan virus Nimda dan Code Red di Amerika Syarikat.

"Di Amerika jumlah kerugian membabitkan virus Code Red dalam tempoh September hingga November mencecah RM4.56 bilion (AS$1.2 bilion), sementara di Malaysia kerugian dianggarkan bernilai RM22 juta yang mana kita berupaya bertindak pantas bagi mengelak kerugian lebih besar,"katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Forensik Komputer Pusat Tindakbalas Kecemasan dan Keselamatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi Kebangsaan (Niser) di sini, hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Majlis Teknologi Maklumat Kebangsaan yang juga Presiden dan Ketua Eksekutif Mimos Berhad, Tengku Datuk Dr Mohd Azzman Shafiffadeen dan Pengarah Niser, Mejar Husin Jazri.

Serangan virus Code Red menyebabkan kesesakan dalam sistem rangkaian komputer seterusnya mengganggu perjalanan operasi sistem berkenaan, sementara Nimda pula mengganggu pelayan maklumat Internet (IIS) yang mudah ditelusi.

Serangan terbesar virus tahun ini, Code Red, yang menjangkiti 300,000 komputer menyebabkan kerugian sebanyak RM9.88 bilion, menyerang secara menguasai sistem pelayan beroperasi menggunakan perisian web IIS Microsoft Corp.

Pakar keselamatan sistem komputer menjangka 2002 akan menyaksikan serangan lebih hebat walaupun 2001 digelar tahun virus komputer paling buruk manakala Disember, bulan serangan paling teruk.

Ditanya perbandingan kejadian jenayah siber di negara ini dan luar negara Moggie berkata, ia tidak membimbangkan kerana penggunaan ICT di negara ini masih baru.

"Jika dibandingkan kejadian jenayah siber dengan bilangan penduduk, saya berpendapat ia masih rendah dan dengan bantuan kepakaran dari Niser, maka kejadian ini masih belum lewat untuk ditangani," katanya.

Beliau berkata, disebabkan penggunaan ICT akan meningkat pada masa depan, penubuhan sistem rangkaian keselamatan yang lebih berkesan amat perlu bagi menangani kegiatan jenayah siber.

Katanya, Malaysia yang masih baru dalam bidang ICT mempunyai kelebihan kerana negara dapat belajar daripada pengalaman negara maju lain seperti forensik komputer.

"Kita mahu orang ramai, agensi dan syarikat yang menggunakan sistem rangkaian komputer tahu bahawa Malaysia juga mempunyai organisasi seperti Niser yang mempunyai kepakaran dalam bidang forensik komputer bagi mengesan penjenayah siber," katanya.

Terdahulu, Moggie berkata laporan dalam Persekutuan Akauntan Asia Pasifik yang dijalankan Institut Penjenayahan Australia, menyebut antara lima hingga 10 peratus urus niaga secara online di rantau ini didapati mempunyai unsur penipuan.

"Laporan ini meliputi 21 negara dalam rantau Asia Pasifik yang memfokuskan mengenai keselamatan dan penipuan pelaburan, pelanggaran hak cipta maklumat dan penipuan pengguna," katanya.

Pada masa sama, katanya dianggarkan terdapat 242 juta pengguna Internet di rantau ini menjelang 2005.