Pengkomputeran parasit curi kuasa pelayan Web
28th February 2002 (Utusan Malaysia)

Program-program pengkomputeran parasitik yang mampu mencuri kuasa pemprosesan daripada pelayan-pelayan Web yang tidak dilindungi dan melakukan pengiraan kompleks berjaya dicipta oleh beberapa saintis komputer Amerika Syarikat (AS).

Teknik tersebut dibangunkan oleh penyelidik dari University of Notre Dame di Indiana dan telah diberi nama "pengkomputeran parasitik''.

Pelayan komputer boleh ditipu untuk menyelesaikan masalah-masalah dengan mengeksploitasikan ciri penyemakan kesalahan (erro-checking) terbina mereka.

Pelayan komputer akan menganggap mereka menerima permintaan biasa, tetapi terlindung di dalam sesuatu mesej itu ialah pengiraan rahsia.

Sebarang penyelesaian pengiraan itu dinilai menerusi penyemakan kesalahan, yang menyebabkan hanya mesej-mesej dengan jawapan tepat akan dijawab. Dengan menyasarkan banyak pelayan web berlainan, ia akan mewujudkan sistem pengkomputeran teredar yang besar.

"Ia satu idea menarik,'' kata Ian Brown dari Jabatan Sains Komputer University College London. "Tetapi sama ada masalah boleh diselesaikan secara efisien menggunakan kaedah tersebut.''

Teknik itu sebenarnya tidak menjana kuasa pengkomputeran besar - mungkin hanya 0.1 peratus daripada apa yang dihasilkan oleh komputer desktop moden.

Bagaimanapun ia membuktikan bahawa penyebaran sumber Internet boleh dieksploitasikan tanpa kebenaran untuk melakukan pengiraan tertentu, kata para penyelidik yang mencetuskan idea berkenaan.

"Perkara paling menarik mengenainya ialah apakah itu Internet, dan bagaimana ia boleh dieksploitasikan,'' kata Jay Brockman, dari Jabatan Sains Komputer dan Kejuruteraan University of Notre Dame.

"Bagi dunia luar ia tidak lebih daripada hanya permintaan untuk memaparkan sesuatu muka surat, tetapi kami mengekod beberapa soalan di dalam mesej itu.''

Setiap kali sesebuah laman web, atau sesebuah perkhidmatan Internet, diminta daripada sesebuah komputer pelayan oleh sesebuah komputer individu menerusi Internet, satu pengiraan kecil akan dilakukan oleh pelayan berkenaan untuk memastikan semua aspek operasi berjalan lancar.

Ciri "checksum'' itu merupakan sebahagian daripada protokol komunikasi Internet dipanggil TCP/IP (Transmission Control Protocol/Internet Protocol).

Setiap mesej yang diterima oleh komputer pelayan akan ditanda dengan nombor mengaitkannya dengan kandungannya dan pelayan akan melakukan pengiraan untuk mempastikan nombor dan kandungan tersebut dapat dipadankan.

Jika kedua-duanya sepadan, komputer pelayan mengandaikan mesej itu sampai dengan sempurna dan menjawab permintaan mesej tersebut, atau sebaliknya komputer akan membuang sahaja mesej tersebut. - New Scientist