Kerajaan pertingkat tahap keselamatan ICT
By Hizral Tazzif Hisham
18th February 2002 (Berita Harian)

KERAJAAN memperketatkan langkah keselamatan sistem rangkaian komputernya dengan menyediakan Garis Panduan Keselamatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) Sektor Awam (MyMIS), sebagai prosedur keselamatan yang digunapakai kakitangan awam sebagai langkah mempertingkatkan tahap keselamatan ICT.

Ketua Pengarah Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu), Datuk Dr Muhammad Rais Abdul Karim, berkata kerajaan memandang serius tahap keselamatan sistem rangkaian ICT berdasarkan kepentingan negara.

"Walaupun, kerajaan sudah menyediakan pelbagai mekanisme pertahanan bagi menghalang pencerobohan sistem rangkaian komputernya, perkara berkenaan masih berlaku seperti dicatatkan, iaitu 36 kes membabitkan pencerobohan dan penukaran maklumat pada laman web kerajaan pada 1999.

"Pencerobohan berkenaan berkurangan kepada 21 pada 2000, tetapi meningkat kembali kepada 79 tahun lalu dan tahun ini tiga kes pencerobohan dikesan dan dilaporkan," katanya di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

MyMIS adalah panduan bagi membangunkan prasarana keselamatan ICT. Ia meliputi pengurusan, isu operasi, teknikal dan implikasi perundangan. Selain itu, ia menyediakan template dan beberapa contoh senarai semak serta peraturan yang boleh dijadikan panduan bagi membantu membangunkan dasar ICT organisasi.

Ia mengandungi lima bab mencakupi pelbagai perkara yang perlu diambil kira ketika menyediakan dasar keselamatan ICT sesebuah organisasi. Antara perkara disentuh adalah pengurusan keselamatan yang menekankan elemen penting bagi melindungi sistem ICT masing-masing.

Selain itu, MyMIS juga menekankan aspek operasi asas yang menerangkan cara penggunaan keselamatan ICT dalam sektor awam membabitkan klasifikasi maklumat, peranan dan tanggung jawab, kemudahan elekrtronik dan pengurusan media.

Tidak ketinggalan MyMIS turut menyentuh aspek keselamatan ICT secara teknikal meliputi peralatan dan perisian komunikasi, sistem operasi dan aplikasi di samping aspek perundangan.

Muhammad Rais berkata, dengan penggunaan panduan keselamatan yang disediakan oleh MyMIS di kalangan kakitangan awam, ancaman dan serangan pencerobohan sistem rangkaian komputer dapat dikurangkan.

"MyMIS menyediakan asas terhadap pemeriksaan tahap keselamatan pada semua jabatan dan agensi kerajaan di samping langkah kerajaan yang akan melantik ketua pegawai keselamatan maklumat pada 25 kementerian dan 700 agensi kerajaan," katanya.