Forensik komputer berpotensi berkembang
By Hizral Tazzif Hisham
15th February 2002 (Berita Harian)

BIDANG sains forensik komputer mempunyai potensi cerah untuk berkembang pesat di Malaysia berdasarkan kelebihannya yang dapat mengesan dan mengesahkan sesuatu data atau maklumat yang hilang daripada perisian atau perkakasan komputer.

Ia adalah teknik bagi menganalisis dan menyiasat data atau maklumat yang sudah terpadam di dalam komputer sama ada disengajakan atau tidak, data yang sudah dienkripsi dan fail di dalam cakera yang rosak.

Pengarah Pusat Tindakbalas Kecemasan dan Keselamatan ICT Kebangsaan (Niser), Mejar Husin Jazri, berkata bidang sains forensik komputer semakin penting terutamanya di Amerika Syarikat. Jabatan Pertahanan negara itu sudah menubuhkan makmal forensik komputer khusus menangani masalah jenayah dan serangan pengganas siber.

"Selain daripada digunakan untuk tujuan ketenteraan forensik komputer juga boleh dimanfaatkan syarikat swasta seperti insurans, perbankan, kewangan, agensi penguatkuasa atau individu," katanya kepada Berita Komputer di Kuala Lumpur, kelmarin.

Beliau berkata, pakar sains forensik komputer mempunyai pengalaman luas dalam sistem komputer sama ada perisian atau perkakasan yang mana mereka boleh mengenal pasti bukti yang tertinggal walaupun data berkenaan dalam pelbagai bentuk.

"Maklumat berkenaan mungkin dalam bentuk memo atau helaian elektronik menggunakan aplikasi seperti pemprosesan perkataan, helaian elektronik, mel elektronik atau grafik," katanya.

Sementara itu, Husin berkata, mesyuarat panel penasihat pakar dalam bidang keselamatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) sedang merangka program kesedaran dan pembangunan kepakaran sumber manusia dalam bidang berkenaan.

"Program kesedaran itu disasarkan kepada ketua eksekutif atau pengurusan kanan syarikat manakala pembangunan sumber kapakaran itu dikhususkan kepada mereka yang bertanggungjawab terhadap keselamatan sistem rangkaian komputer organisasi," katanya.

Beliau berkata, input yang disediakan jawatankuasa pakar dalam bidang ICT akan dikemukakan kepada kerajaan sebagai sebahagian daripada cadangan penubuhan Agenda Perlindungan Prasarana Maklumat Kebangsaan (Niipa).