Keselamatan sistem ambil kira semua aspek
14th November 2002 (Berita Harian)

ANCAMAN terhadap sistem rangkaian komputer boleh berpunca dari luaran atau dalam organisasi yang boleh menyebabkan kerugian, misalnya, kehilangan maklumat penting.

Bagi sesebuah syarikat, pelaksanaan strategi keselamatan sistem rangkaian perlu mencakupi empat aspek utama, iaitu perlindungan, perkembangan, kelajuan dan pengurusan yang setiap satu aspek ini saling bergantung antara satu sama lain.

Pengarah Pemasaran Nokia Internet Asia Pasifik, Jeff Ratzlaff, berkata perancangan strategi keselamatan sistem rangkaian perlu mengambil kira semua aspek, sama ada teknikal dan juga sumber manusia, termasuk kemahiran mereka.

"Bagi aspek teknikal misalnya, perlindungan menggunakan firewall adalah asas kepada strategi keselamatan berdasarkan kemampuannya untuk memantau maklumat dalam bentuk paket yang memasuki sistem rangkaian komputer.

"Bagaimanapun, firewall tidak mencukupi kerana organisasi atau syarikat memerlukan mekanisme khas yang dapat mengenal pasti sesuatu ancaman sebelum ia dapat memasuki sistem rangkaian. Sistem pengesanan pencerobohan dalam hal ini dapat membantu," katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Beliau berkata, syarikat atau organisasi perlu mempunyai teknologi sistem rangkaian peribadi virtual (VPN) yang menyediakan laluan khas untuk maklumat keluar atau memasuki sistem rangkaian tanpa gangguan atau pencerobohan.

"Ini akan dapat memudahkan pekerja menggunakan Internet dan Intranet tempat mereka bekerja tanpa bimbang mengenai pencerobohan data," katanya.

Ratzlaff berkata, pelaksanaan penyelesaian pengurusan kandungan dan trafik Internet dapat mengawal dan memantau perjalanan trafik data dalam Internet bagi memastikan aplikasi kritikal seperti firewalls dapat beroperasi secara optimum.

Katanya, perkara akhir yang penting ialah pengurusan keselamatan iaitu kemampuan menguruskan aplikasi dipasang di dalam sistem rangkaian menggunakan pengurusan berpusat yang mana pengurus sistem rangkaian dapat mengawal dan menguruskan sistem rangkaian secara lebih cekap dan sistematik.