Hackers penjenayah, bukan pencipta inovasi
10th October 2003 (Berita Harian)

Penceroboh sistem komputer atau lebih dikenali dengan hackers adalah penjenayah dan mereka ini tidak boleh dianggap sebagai pencipta atau manusia kreatif serta berinovasi yang mampu memberi sumbangan kepada industri teknologi maklumat (IT).

Ketua Pegawai Eksekutif, Microsoft Corp (Microsoft), Steve Ballmer berkata, hackers adalah penjenayah dan mereka tidak boleh dikatakan pencipta berdasarkan keupayaan mereka itu.

Katanya, hackers adalah orang yang menyebabkan kerugian beratus juta malah berbilion ringgit dalam kerosakan pada sistem komputer dan ia membuktikan bahawa mereka selalunya bukan dalam golongan profesional yang bijak serta kreatif.

"Hackers ini sama seperti individu yang meletupkan bangunan sehingga menyebabkan berlaku banyak kerosakan yang teruk.

"Namun saya terasa kecewa dengan tanggapan sesetengah pihak yang mengatakan bahawa terdapat di kalangan hackers berkenaan yang beretika dan membantu mewujudkan inovasi baru untuk pasaran secara melonjakkan IT ke tahap tertingginya.

"Harus disedari bahawa kebanyakan daripada hackers ini melepaskan kos bahaya selepas setiap kali Microsoft memperkenalkan perisian barunya yang bermakna mereka ini secara langsung mengeksploitasikan kelemahan keselamatan dalam perisian berkenaan," katanya yang sentiasa sedar bahawa syarikatnya sentiasa menjadi sasaran utama jenayah siber di dunia.

Ballmer menegaskan, tidak ada cara lain untuk menganggap mereka ini selain sebagai penjenayah atau orang jahat yang melanggar undang-undang dan dengan jelas perkara yang mereka lakukan menyebabkan dukacita yang teramat hebat kepada Microsoft.

Katanya, Microsoft akan memperkemaskan operasinya dari segi bekerjasama dengan pelanggan dan rakan niaga berkaitan isu keselamatan komputer yang mana syarikat merancang membuat pengumuman besar mengenai keselamatan khusus ke arah mengatasi serangan yang dilakukan terhadap sistem rangkaian dan sistem Microsoft.