Penyalahgunaan Internet di Malaysia meningkat lebih 100 peratus
10th October 2003 (Utusan Malaysia)

KUALA LUMPUR 9 Okt. - Penyalahgunaan Internet di Malaysia meningkat lebih 100 peratus dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini dengan sejumlah 2,107 kes dilaporkan berbanding 739 kes pada tahun lalu dan 932 kes pada tahun 2001.

Setiausaha Parlimen Kementerian Tenaga, Komunikasi dan Multimedia, Chia Kwang Chye berkata, daripada jumlah catatan tahun ini, pengiriman spam dikategorikan sebagai sampah Internet (termasuk surat layang) merupakan salah guna yang terbesar dengan 62.8 peratus atau 1,324 kes dilaporkan.

"Pada tahun 2002 kes spam yang dilaporkan hanya berjumlah 114,'' katanya memetik perangkaan Pusat Respons Kecemasan Keselamatan ICT Kebangsaan (NISER).

Beliau berkata demikian selepas mewakili Menteri Tenaga, Komunikasi dan Multimedia, Datuk Amar Leo Moggie merasmikan Simposium Kepercayaan Internet ASEAN ke-3 anjuran msctrustgate.com dan Microsoft di sini hari ini.

Chia menambah, kes pemalsuan yang antara lain melibatkan pengubahsuaian laporan dan data sesebuah organisasi swasta dan awam sepanjang sembilan bulan tahun ini berjumlah 20 kes berbanding 16 kes sepanjang tahun lalu.

Menurut beliau, kes penyebaran virus dan ugutan menggodam bagi tempoh dalam kajian itu, masing-masing berjumlah 449 kes dan 260 kes berbanding berbanding 367 kes dan 262 kes kes pada tahun 2002.

Katanya, antara faktor yang menyebabkan peningkatan ketara dalam salah guna Internet ialah kesedaran pengguna untuk melaporkannya berbanding membiarkannya sahaja sebelum ini.

Di samping itu katanya, peningkatan penggunaan ICT bagi urusan seperti e-dagang ketika ini berbanding penggunaan Internet sebagai sumber maklumat turut menyumbang kepada peningkatan tersebut.

Sehubungan itu beliau berkata, simposium tahunan dua hari bermula hari ini tersebut yang menyediakan platform memperagakan sistem keselamatan Internet terkini dan mempromosi kepercayaan dan keyakinan untuk melaksanakan transaksi perniagaan wajar dimanfaatkan oleh semua pihak yang berkaitan.