ASEAN bentuk pelan perangi jenayah siber
1st October 2003 (Utusan Malaysia)

KERAJAAN-kerajaan di negara Asia Tenggara telah memberi amaran kepada para penggodam komputer, penulis virus dan lain-lain `penjenayah siber' yang mereka akan bekerjasama untuk membanteras golongan tersebut.

Negara-negara tersebut melalui Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) mengumumkan rancangan baru-baru ini untuk berkongsi maklumat dalam keselamatan komputer tahun depan dan membentuk unit jenayah siber menjelang 2005.

Rancangan kerjasama tersebut diharap akan diperluaskan ke seluruh rantau Asia dan juga disertai di peringkat dunia.

Dunia mengalami tiga serangan virus komputer terbesar baru-baru ini, termasuk daripada cecacing e-mel Sobig yang tersebar dengan pantas yang menyebabkan syarikat dan kerajaan mengalami kerugian kira-kira RM3,040 juta.

Melalui kerjasama tersebut, negara-negara ASEAN - Singapura, Malaysia, Thailand, Filipina, Indonesia, Myanmar, Vietnam, Kambodia, Laos dan Brunei - akan membentuk Pasukan Respon Kecemasan Komputer (CERT) mereka sendiri menjelang 2005.

Pasukan ini akan berkongsi maklumat secara terus mengenai masalah penggodam, cecacing dan virus dan juga bekerjasama dengan bentuk baru untuk jenayah siber.

Langkah pertama ialah menyediakan kerangka kerja untuk berkongsi maklumat yang akan dilaksanakan mulai tahun depan, kata kenyataan bersama ASEAN.

``Apabila ini dilakukan, semua negara akan mendapat amaran awal dan mengambil tindakan sewajarnya,'' kata Menteri maklumat, komunikasi dan kesenian Singapura, Lee Boon Yang.

Lee berkata, saiz pasukan itu akan mengikut keperluan sesebuah negara tetapi ia dijangka dianggotai oleh sekurang-kurangnya 12 orang.

Virgilio Pena, Setiausaha Rendah untuk jabatan pengangkutan dan komunikasi Filipina berkata, sekurang-kurangnya enam anggota ASEAN telah mempunyai pasukan tersebut dan yang lain dalam proses menubuhkannya.

``Kami berharap skop kerjasama ini akan diperluaskan ke luar ASEAN seperti di peringkat Asia Pasifik dan juga peringkat global,'' tambahnya.

Dalam kenyataan bersama tersebut, menteri-menteri telekomunikasi ASEAN juga bersetuju untuk menjalin kerjasama dalam menentukan standard ujian peralatan telekomunikasi yang akan membolehkan ia dilaksanakan dengan pantas dan mengurangkan kos untuk syarikat.

Dalam fasa pertama menjelang 2005, negara-negara Asia Tenggara tersebut akan berkongsi standard yang sama dalam ujian peralatan telekomunikasi.

Pada masa ini, peralatan tersebut yang telah diuji di sesebuah negara perlu pula diuji di negara yang lain apabila ia memasuki pasaran negara tersebut yang akan mengambil masa berminggu atau bulan.

``Ini adalah permulaan kepada perdagangan bebas dalam peralatan telekomunikasi, permudahkan akses pasaran, mengurangkan halangan kemasukan dan mengurangkan kos untuk eksport,'' kata Lee.

Kerjasama tersebut akan ditandatangani secara bilateral dan sebagai permulaan, perundingan sedang dijalankan antara Singapura dan Brunei, serta Singapura dan Indonesia.

``Kami mengimport banyak peralatan telekomunikasi dari Singapura dan ia akan lebih memudahkan jika kami mengadakan kerjasama,'' kata Menteri komunikasi Brunei, Zakaria Sulaiman. - Reuters