Serangan virus masa depan lebih berbahaya
By Hizral Tazzif Hisham
22nd September 2003 (Berita Harian)

SERANGAN virus pada masa depan dijangka lebih 'ganas' dan berbahaya berdasarkan corak serangan virus ketika ini yang memanfaatkan pendekatan bersepadu (blended threats) yang menggabungkan pelbagai jenis virus daripada penyebaran menggunakan Internet dan mel elektronik (e-mel) atau merosakkan cakera keras.

Pengurus Pemasaran Produk Perkhidmatan Enterpris Trend Micro (Trend Micro), Rajesh Venkat, berkata serangan sistem rangkaian komputer akan menjadi semakin kerap seperti yang berlaku bulan lalu apabila virus Blaster, Nachi dan Sobig menyerang semua komputer di seluruh dunia hingga menyebabkan sistem rangkaian dipenuhi data dan akhirnya merendahkan produktiviti syarikat.

"Terbukti berdasarkan serangan virus Blaster, Nachi dan Sobig , penulis program virus berkenaan menyebarkan program virus di dalam Internet, menyebabkan ramai penulis virus lain menambah kod baru hingga muncul pelbagai varian bagi virus sama.

"Ini menyebabkan munculnya pelbagai varian bagi virus yang sama hingga menyukarkan proses mengesan dan membersih virus berkenaan," katanya dalam satu pertemuan di Kuala Lumpur, minggu lalu.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas corak serangan yang dijangka berlaku pada masa depan berdasarkan senario yang berlaku sekarang. Baru-baru ini, seluruh dunia dikejutkan dengan serangan virus Blaster, Nachi dan Sobig yang menyebabkan kesesakan data dan melambatkan proses kerja.

Ini kerana mengikut senario sekarang, penulis program virus sudah semakin bijak merangka strategi serangan, menggunakan kelemahan yang ada pada perisian Microsoft Corp manakala motif serangan mereka juga sudah bertukar daripada cuba menunjukkan kepandaian untuk menarik perhatian seseorang atau organisasi kepada mendapatkan habuan dalam bentuk wang ringgit.

Beliau berkata, bagi memastikan pihak organisasi atau syarikat dapat mengurangkan risiko serangan hingga terpaksa memberhentikan operasi maka mereka perlu melaksanakan pendekatan bersepadu bagi menentukan mereka memiliki dan melaksanakan satu polisi keselamatan sistem rangkaian yang mantap.

"Dasar berkenaan juga membabitkan langkah proaktif yang perlu dilakukan pentadbir sistem rangkaian komputer untuk memastikan semua komputer mereka sekurang-kurangnya dipasang dengan perisian antivirus dan perisian itu perlu dikemas kini selalu," katanya.

Rajesh berkata, Trend Micro menyarankan syarikat yang terkena serangan virus melaksanakan teknik pengasingan, iaitu pelayan yang diserang diasingkan dan dibersihkan untuk memastikan operasi sistem rangkaian komputer tidak terganggu atau terpaksa ditutup.

"Teknik ini disarankan kerana amat mustahil bagi syarikat untuk menampal semua kelemahan yang ada pada komputer berdasarkan bilangan yang agak besar.

"Ini kerana kajian menunjukkan selepas Microsoft Corp mengumumkan kelemahan yang ada pada sistem operasinya dan menyediakan tampalan namun serangan virus Blaster, Nachi dan Sobig tetap juga berlaku disebabkan masa yang agak panjang untuk melaksanakan pembetulan itu," katanya.

Beliau berkata, dasar keselamatan juga boleh diperketatkan dengan mempertingkatkan kawalan terhadap pengguna, protokol, fail objek dan maklumat serta memastikan komputer yang dipakai dipasang dengan perisian antivirus.