500 komputer dikesan dijangkiti cecacing 'Blaster'
14th August 2003 (Utusan)

KUALA LUMPUR 13 Ogos - Serangan cecacing Internet yang dikenali sebagai `Blaster' terhadap beratus ribu komputer di seluruh dunia semalam didapati masih bergerak aktif dan turut memberi kesan kepada pengguna komputer di negara ini.

Pusat Tindak Balas Kecemasan dan Keselamatan ICT Kebangsaan (Niser) melaporkan sehingga pukul 7 malam ini, kira-kira 500 komputer di negara ini telah dikesan dijangkiti cecacing tersebut.

Timbalan Pengarah I Niser, Raja Azrina Raja Othman berkata, pemantauan terhadap trafik Internet mendapati masih terdapat aktiviti cecacing tersebut kepada sistem trafik tempatan.

``Niser menasihat pengguna komputer tempatan segera memasang `patch' (pembetulan) terhadap komputer mereka (yang boleh diperoleh daripada laman web Microsoft),'' katanya ketika dihubungi hari ini.

Pengguna juga perlu memastikan perisian anti-virus mereka telah dikemaskini dengan versi terkini untuk membolehkan ia menghalang jangkitan Blaster.

Cecacing Internet Blaster yang juga dikenali sebagai W32.Blaster.Worm itu dikesan merebak dengan pantas terhadap komputer -komputer berasaskan Windows seperti Microsoft IIS, Windows 2000, Windows XP dan Windows NT.

Laporan awal daripada syarikat anti-virus Symantec mendapati sekurang-kurangnya 127,000 komputer di seluruh dunia telah dijangkiti cecacing tersebut.

Symantec telah meningkatkan tahap amaran ancaman cecacing tersebut dari Tahap 3 kepada Tahap 4 semalam selepas mendapati ia telah merebak dengan berganda dalam masa 12 jam selepas dikesan.

Tahap amaran tertinggi Pusat Respon Keselamatan Symantec untuk ancaman virus atau cecacing ialah Tahap 5.

Selepas menjangkiti komputer, cecacing Blaster mampu membiakkan dirinya sendiri ke dalam sistem komputer dan juga rangkaian syarikat yang menyebabkan komputer tidak dapat berfungsi atau melembapkan sistem rangkaian.

Serangan terhadap komputer rangkaian dan pengendali laman web yang menjalankan urusan perniagaan di Internet pula boleh menyebabkan laman web tersebut gagal berfungsi seperti biasa disebabkan kesesakan trafik.

Sebelum ini, ancaman cecacing terbesar ialah dari cecacing Code Red dan Slammer yang melibatkan komputer pelayan syarikat tetapi serangan Blaster boleh menjangkiti kesemua komputer yang menggunakan perisian Windows, termasuk komputer pengguna biasa.

Menurut anggaran, terdapat 150 juta komputer menggunakan perisian Windows di seluruh dunia yang berpotensi menjadi sasaran Blaster, berbanding serangan serangan cecacing Code Red hanya mampu menjangkiti 25 juta komputer berpotensi.