Serangan 'Blaster Worm' sesakkan trafik sistem komputer rangkaian
13th August 2003 (Berita Harian)

KUALA LUMPUR: Serangan virus cecacing, Blaster Worm, dijangka merebak dengan pantas dan menimbulkan masalah kepada pelbagai organisasi di negara ini, terutama yang beroperasi menggunakan komputer mudah alih.

Sehingga semalam, 115 alamat protokol internet (IP) diserang virus yang turut dikenali sebagai LovSan, MSBlast, Poza dan W32/Lovsan.worm, menjadikan jumlahnya 335 IP, sejak dikesan pada jam 7 pagi kelmarin.

Penolong Pengarah Pusat Keselamatan dan Tindakbalas Kecemasan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) Kebangsaan (Niser), Raja Azrina Raja Othman, berkata walaupun kadar serangan virus itu menurun sehingga 50 peratus dalam tempoh dua hari lalu, ia dijangka meningkat dalam tempoh terdekat.

Serangan virus itu dikesan aktif menjangkiti sistem perkomputeran yang menggunakan perisian Microsoft Windows NT 4.0, Microsoft Windows 2000, Microsoft Windows XP dan Microsoft Windows Server 2003 sejak jam 1 pagi, Isnin lalu.

"Kesan virus terkini itu boleh mengakibatkan penurunan produktiviti dengan menyesakkan talian dan data, selain menyebabkan gangguan terhadap sistem operasi komputer mudah alih dan peribadi yang beroperasi di mana-mana organisasi.

"Serangan itu bukan saja boleh berlaku secara terus pada sistem sesebuah agensi atau organisasi, sebaliknya kakitangan yang menggunakan komputer mudah alih dan mendial laluan internet di rumah atau kafe siber dan kemudian membukanya di pejabat boleh menyebabkan virus itu menjangkiti keseluruhan rangkaian komputer," katanya kepada Berita Harian semalam.

Raja Azrina berkata, implikasi serangan cecacing itu tidak akan dikesan serta merta, manakala petanda awal ialah sistem akan sentiasa diarahkan supaya ditutup dan dibuka semula (reboot).

Berikutan itu, beliau menasihatkan pengguna supaya segera menampal (patch) perisian yang dijangkiti serta memasang perisian 'firewall' bagi menghalang kemasukan virus di pintu masuk utama ke rangkaian internet.