Virus baru manfaat games untuk menjangkiti, merebak
By Hizral Tazzif Hisham
24th July 2003 (Berita Harian)

SOPHOS (Sophos), syarikat peneraju utama perisian antivirus dunia menasihatkan pengguna berhati-hati terhadap virus baru yang memperkenalkan kaedah inovatif untuk menjangkiti komputer iaitu permainan membaling buah kelapa kepada individu tertentu bagi menghalang virus cecaing Coconut (W32/Coconut-A) daripada merebak menggunakan mel elektronik.

Pemain diminta melontarkan buah kelapa kepada dua watak utama dalam permainan berkenaan iaitu penceroboh sistem rangkaian komputer Belgium, Frans Devaere dan perunding kanan teknologi Sophos, Graham Cluely.

Pemain yang berjaya melontar buah kelapa kepada salah seorang individu berkenaan akan mengumpul mata. Lebih banyak mata dapat dikumpulkan akan dapat mengurangkan peluang pemain terbabit dijangkiti virus berkenaan.

Seorang penulis virus wanita yang dikenali sebagai Gigabyte mengakui beliau menulis virus berkenaan ditujukan khas kepada Graham Cluely untuk membuktikan wanita juga berkemampuan. Ini kerana Cluely pernah mengeluarkan kenyataan sebelum ini bahawa sebahagian besar penulis virus adalah lelaki.

Cluely berkata, Gigabyte mencuba secara maksimum mungkin bagi membuktikan wanita juga berkemampuan menulis virus yang boleh mendatangkan kerosakan besar kepada mana-mana organisasi diserang.

Bagaimanapun, beliau menafikan pernah menidakkan kemampuan wanita untuk menulis virus sebaliknya menjelaskan bahawa apa yang dimaksudkan ialah perempuan mempunyai banyak kerja untuk dibereskan berbanding lelaki yang ada banyak masa terluang.

Virus cecacing disebarkan menerusi mel elektronik bersama lampiran tertera coconut.exe. Jika pengguna melakukan dwiklik terhadap lampiran berkenaan maka cecacing itu secara automatik menggandakan dirinya dan akan muncul permainan membaling buah kelapa.

Pengguna yang berjaya membaling buah kelapa tepat ke kepala Cluely akan diberikan dua mata manakala jika terkena kepala Devaere diberikan satu mata. Semakin banyak mata yang dikumpulkan maka peluang untuk dijangkiti semakin kurang.

Jika pengguna tidak mendapat sebarang mata maka virus akan merebak kepada enam fail jika mereka berjaya mendapat satu mata maka lima fail akan dijangkiti.

Sophos menasihati pengguna agar menghalang kod pelaksana pada laluan e-mel bagi membolehkan virus cecacing yang merebak dihalang.