ATM tingkat daya perang elektronik
23rd April 2003 (Utusan Malaysia)
By HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 22 April - Menteri Pertahanan, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan mempertingkatkan kemampuan sistem peperangan elektronik selari dengan keperluan dan kemampuan negara.

Beliau berkata, pada asasnya, ATM mempunyai kebolehan dalam peperangan elektronik tetapi kebolehan tersebut perlu dipertingkatkan sehingga ia menjadi satu kelebihan kepada ATM.

"Bukan sahaja boleh menyerang tetapi bertahan dan membalas apabila berhadapan dengan serangan pihak musuh,'' katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pameran dan Persidangan Pertahanan Elektronik Asia Pasifik 2003 (APDE 2003) anjuran HW LIMA Sdn. Bhd. di sini, hari ini.

Hadir sama pada majlis itu ialah Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Mohd. Zahidi Zainuddin dan Pengerusi HW LIMA Sdn. Bhd., Laksamana Madya (B) Tan Sri Abdul Wahab Nawi.

Sebanyak 21 kertas kerja dibentang pada persidangan dua hari itu.

Najib berkata, bagi memastikan ATM sentiasa bersedia menghadapi peperangan elektronik, ATM telah melaksanakan dasar bahawa semua komponen elektronik dalam segala sistem persenjataan yang ditempah pada masa depan diberi perhatian utama.

Beliau menambah, dasar itu telah digunakan dalam pembelian pesawat tempur, kapal selam dan kereta kebal.

"Ini semua merupakan satu dimensi yang amat penting, yang kita sentiasa mempastikan ia dimasukkan dalam spesifikasi teknikal,'' katanya.

Selain itu Najib menambah kata, ATM juga sedang membangunkan sistem jaringan bagi mempertingkatkan pengurusan aset pasukan.

Katanya, langkah tersebut akan mengambil sedikit masa tetapi ia perlu dilakukan dalam proses modenisasi ATM.

Najib mengakui segala langkah yang dilakukan dalam memperkukuhkan sistem peperangan elektronik ATM adalah bergantung kepada kemampuan ekonomi negara.

Mengenai APDE 2003, beliau berkata, pameran dan persidangan itu amat berguna bagi memahami perubahan dalam corak peperangan masa kini dan masa hadapan.

Selain itu, APDE 2003 juga digunakan untuk memahami peperangan di Iraq khususnya dalam penggunaan teknologi dan bagaimana ia boleh memberi kelebihan kepada ATM pada masa akan datang.

Sementara itu, Najib turut mengulangi pendirian negara bahawa Malaysia hanya akan mengambil bahagian dalam pasukan pengaman atau apajua misi di Iraq sekiranya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dilibatkan sama.