Microsoft utamakan keselamatan produk perkakasan, perisian
3rd March 2003 (Berita Harian)

MICROSOFT Corp (Microsoft) akan mengutamakan ciri keselamatan yang menyeluruh dalam pengeluaran produk barunya.

Pengarah, Kumpulan Pengurusan Produk, Microsoft Malaysia, Alex Fong, berkata keselamatan menjadi aspek penting setiap pembangunan produk baru, tidak kira perkakasan atau perisian.

"Microsoft akan menekankan aspek keselamatan dari peringkat dalaman lagi. Setiap kakitangan dikehendaki meletakkan aspek keselamatan mendahului ciri-ciri lainnya."

"Dari masa ke masa, mereka akan diberi taklimat mengenai virus dan kod jahat yang semakin mengganas menyerang sistem komputer di dunia ini," katanya.

Oleh itu, kata Alex, produk dihasilkan berasaskan arkitektur paling selamat. Contohnya produk pelayan Windows Server 2003 yang bakal dilancarkan Mei depan memiliki ciri 'Secure by Default'.

"Walaupun begitu, pengguna masih mempunyai keupayaan mengubah atau menyelaraskan apa juga bentuk sistem keselamatan yang dikehendaki kerana produk baru kami juga bercirikan 'kawalan pengguna'," kata Alex lagi pada majlis Microsoft Business Update di Port Dickson, minggu lalu.

Kata beliau, walaupun pelbagai usaha dilakukan untuk mengelakkan anasir jahat itu, belum ada cara paling baik diperolehi kerana sebagaimana terdapat teknologi baru setiap hari, begitu jugalah helah pencipta virus yang sentiasa memperbaharui teknologi mereka untuk menyerang sistem komputer.

"Microsoft akan mengambil inisiatif meningkatkan kesedaran pengguna mengenai keselamatan komputer dan bagaimana untuk mengatasinya. Mereka akan dimaklumkan dengan setiap usaha meningkat upaya produk atau edaran skrip keselamatan (patches) baru," katanya.

Data pelepasan 'patches' yang dikeluarkan oleh Pusat Tindak Balas Keselamatan dan Kecemasan ICT Kebangsaan (Niser) mendapati Microsoft melepaskan 32 patches dari Januari hingga September 2002.

Ia menjadi platform kedua terbesar melepaskan 'patches' selepas Sun Solaris dengan 94 'patches'.

Banyaknya 'patches' yang dikeluarkan bukan bermaksud produk Microsoft tidak selamat, tetapi menunjukkan Microsoft lebih aktif dalam usahanya meningkatkan dan mengemaskini ciri keselamatan bagi setiap produk dikeluarkan.

Pengguna dikehendaki memindah turun setiap 'patches' dilepaskan untuk menjamin sistem komputer mereka selamat daripada sebarang ancaman virus, cecacing, penceroboh dan sebagainya.