Lapor segera ancaman keselamatan komputer: Niser
3rd March 2003 (Berita Harian)
By Husain Jahit

PUSAT Tidak Balas Kecemasan dan Keselamatan ICT Kebangsaan (Niser) menyarankan agar semua pengguna teknologi maklumat (IT) di negara ini melaporkan segera setiap kejadian atau sebarang ancaman yang membabitkan keselamatan sistem komputer.

Pengarahnya, Major Husin Jazri, berkata dengan membuat laporan segera, pihaknya juga akan bertindak balas secepat mungkin bagi mengelakkan sesuatu kejadian itu lebih parah.

"Keselamatan komputer adalah aspek penting dalam dunia perkomputeran sekarang. Kemusnahan dan kehilangan data akan mengakibatkan kerugian dan membabitkan kos pemulihan tinggi. Ia juga boleh menyebabkan sesebuah syarikat itu lumpuh," katanya.

"Satu kajian Niser mengenai kesediaan pengguna untuk melaporkan kejadian serangan virus mendapati 84 peratus daripada responden menyatakan tidak akan melapor dan 16 peratus bersedia untuk melapor, meningkat 11 peratus berbanding tahun lalu.

"Antara alasan utama mengapa tidak mahu melapor ialah anggapan serangan itu tidak serius dan masih percaya sistem komputer berada dalam keadaan selamat dengan penyelenggaraan kakitangan dalaman," kata Husin.

"Ancaman terbesar sistem keselamatan komputer di Malaysia ialah virus. Statistik dikeluarkan oleh Niser menunjukkan jumlah kejadian dilaporkan tahun lalu ialah 739. Bagaimanapun, tahun ini lebih banyak ancaman dijangka berlaku kerana statistik Januari saja mencatatkan 49 kejadian dilaporkan," tambah Husin pada sesi perbincangan meja bulat anjuran Microsoft di Port Dickson minggu lalu.

Kata beliau, trend ancaman yang dikenal pasti sejak 1997 ialah virus Klez, cecacing Code Red & Nimda, Back Orifice & Netbus dan yang terbaru pada tahun ini ialah Slammer.

Mengenai platform, Husin berkata, Windows menjadi antara platform terbesar diancam serangan virus dan cecacing.

"Tahun lalu, platform Windows NT mendapat serangan terbesar dengan 32 peratus, manakala platform Linux 26 peratus. Windows 2000 pula 20 peratus, Windows 95/98 18 peratus, sementara platform Sun Solaris empat peratus," kata Husin.

Walaupun berlaku serangan besar ke atas platform Microsoft Windows, ia bukan bermakna platform itu tidak baik, tetapi ia platform paling popular dan paling meluas digunakan di negara ini.

Dalam pada itu, menurut Timbalan Pengarah I Niser, Raja Azrina Raja Othman langkah terbaik apabila berlaku serangan virus ialah melaporkan segera kepada Niser.

"Kami boleh bertindak segera ke atas setiap laporan dengan mencari penyelesaian melalui pelbagai kaedah. Kami akan mengkaji dan bertukar maklumat virus dengan agensi keselamatan komputer lain di luar negara. Dulu kami kurang berkomunikasi dengan pihak luar sebab itulah agak lambat memberi maklum balas.

"Komunikasi dengan agensi luar membolehkan masalah diatasi lebih cepat. Dan maklum balas segera itu juga akan mengurangkan kerugian dan lebih banyak data kritikal dapat diselamatkan," kata Raja Azrina lagi.