Remaja lelaki paling ramai menjadi penulis virus
18th January 2003 (Berita Harian)
By Hizral Tazzif Hisham

SEBAHAGIAN besar virus komputer yang banyak menjejaskan sistem rangkaian komputer dan menyebabkan kerugian beratus juta ringgit kepada organisasi dan individu di seluruh dunia, ditulis oleh remaja lelaki yang sama ada hendak memenangi hati gadis dicintai, berpegang ideologi tertentu atau semata-mata dilanda kesunyian.

Ketua Komunikasi Korporat dan Perunding Kanan Teknologi Sophos, Graham Cluley, berkata sebahagian besar penulis virus adalah golongan remaja termasuk pelajar universiti yang kesunyian, terasing dalam dunia khayalan mereka dan ingin mencintai seseorang atau cinta mereka ditolak gadis berkenaan.

"Jika dikaji virus yang menyebabkan kerosakan besar seperti virus 'Melissa' dan 'I Love You', nama digunakan adalah nama wanita yang besar kemungkinan penulis virus berkenaan mengalami masalah dalam alam percintaan mereka.

"Ketika ini, hanya seorang penulis virus yang dikenal pasti sebagai wanita berdasarkan profil ditunjukkan pada program dihasilkan," katanya di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Beliau berkata demikian di sidang akhbar selepas sesi penerangan corak virus pada tahun ini anjuran syarikat perisian antivirus, Sophos Anti-Virus Pte Ltd (Sophos). Turut hadir Pengarah Urusan Sophos Asia, Charles Cousins.

Virus adalah program komputer yang ditulis khusus untuk tujuan tertentu (selalunya berniat jahat). Ia boleh disebarkan dengan pelbagai cara, tetapi cara paling berkesan ialah mel elektronik (e-mel) seperti dibuktikan menerusi virus 'Melissa' atau 'I Love You'.

Cluley menyifatkan penulis virus mereka yang tidak mempunyai etika kerana sanggup menghasilkan satu program yang menyebabkan kerosakan komputer dan kehilangan data kepada organisasi dan individu di seluruh dunia.

"Remaja yang mempunyai kebolehan dalam bidang pengaturcara komputer perlu dibimbing agar dapat menghasilkan program yang dapat dimanfaatkan oleh orang ramai," katanya.

Beliau berkata, pola virus pada masa depan lebih banyak berbentuk makro, Win 32 (mempunyai arahan pelaksana iaitu .exe), trojan (menggunakan pintu belakang yang menyamar seolah-olah program tertentu tetapi apabila sudah memasuki sistem komputer melepaskan virus).

"Bagaimanapun, tiada tanda menunjukkan virus dapat disebarkan menerusi telefon selular atau peralatan komunikasi bergerak lain. Ini kerana setiap pengeluar telefon selular atau peralatan komunikasi lain menggunakan platform berbeza tidak seperti komputer peribadi yang memanfaatkan sistem operasi Windows," katanya.

Antara virus yang banyak mendatangkan kerosakan pada Disember tahun lalu berdasarkan kajian Sophos iaitu Bug-bear-A, Klez-H, Tubmo-A, Klez-G, Opaserv-G, Nimda-D, Opaserv-A, Opaserv-F, Braid-A, Elkern-C.