Yaha.k virus akhir tahun dikesan
14th January 2003 (Berita Harian)

VENDOR antivirus memberi amaran mengenai kewujudan virus baru yang muncul akhir tahun lalu, virus Yaha.k yang dikatakan berada dalam penilaian risiko sederhana berbanding tahap rendah ketika awal penemuan virus itu pada 21 Disember lalu.

Virus Yaha.k merebak melalui e-mel, menggunakan enjin e-melnya sendiri dan ia juga dikatakan berusaha untuk menutup perisian berkaitan keselamatan dan antivirus apabila berjaya menjangkiti sesebuah komputer.

Kumpulan Tindakan Kecemasan Antivirus (Avert) daripada syarikat Network Associates Inc (Network) berkata, virus yang juga dikenali dengan W32/Yaha.m atau Win32/Yaha.k kelihatan semakin agresif berdasarkan kepada peningkatan aktivitinya.

Syarikat perkhidmatan keselamatan e-mel, MessageLabs pula melaporkan mereka berjaya menghentikan jangkitan 7,377 virus Yaha.k sepanjang tempoh 24 jam akhir tahun lalu (31 Disember).

Virus itu dikesan menggunakan pelbagai tajuk sebagai daya penarik untuk menarik mangsanya seperti "XXX Screensavers 4 U", "Free Demo Game", dan "Are you the BEST".

Selain itu, kemunculan virus berkenaan juga melalui sisipan fail seperti "zXXX_BROWSER.EXE", "Jenna_Jemson.scr", dan "FixKlez.-com."

Kadar jangkitan Yaha.k dikesan di Eropah dan berada sama ada dalam keadaan stabil atau semakin meningkat dan didapati lebih hebat menyerang pengguna di rumah berbanding di sektor perniagaan.

Ini kerana sektor perniagaan dikatakan sentiasa memastikan sistem antivirus mereka sentiasa dikemas kini di samping menyekat sisipan tertentu pada laluan e-mel mereka.

Network menjangkakan jangkitan virus itu akan meningkat bagi tempoh seminggu lagi.