E - mel tipu emas
By Yusri Abdul Malek
29th December 2003 (Harian Metro)

KUALA LUMPUR: Tujuh lelaki terpedaya dengan sindiket menawarkan komisen melalui internet bagi mendapatkan wang dan emas milik keluarga diraja atau orang kenamaan yang disimpan di luar negara kerugian RM650,000 dalam tiga kejadian berasingan bulan lalu.

Dalam kejadian pertama di Pulau Pinang, empat lelaki yang masing-masing berjawatan tinggi di negeri berkenaan kerugian RM380,000 apabila diperdaya sindiket terbabit yang menawarkan komisen 20 peratus bagi mendapatkan wang tunai berjumlah RM680 juta dan jongkong emas bernilai RM1.2 bilion kini disimpan di sebuah syarikat sekuriti di Afrika Selatan.

E-mel yang dihantar sindiket berkenaan dipercayai diterima seorang daripada empat mangsa terbabit yang kemudian berpakat untuk mendapatkan komisen tinggi seperti yang ditawarkan.

Bagaimanapun, sindiket berkenaan mengenakan syarat supaya mereka membuka akaun bank terlebih dulu bagi membolehkan komisen yang diterima dimasukkan ke dalam akaun mereka melalui Perbankan Luar Pesisir di Labuan, Sabah.

Selain itu, mereka juga perlu ke Afrika Selatan berjumpa wakil sindiket itu untuk berbincang cara mendapatkan wang dan jongkong emas berkenaan yang dikatakan milik seseorang yang kaya dan disimpan di syarikat berkenaan untuk digunakan bagi tujuan kebajikan.

Perkara ini didedahkan Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam, Datuk Dr Jacob George yang menemubual mangsa di Pulau Pinang minggu lalu.

Beliau berkata, dalam pertemuan itu, seorang daripada mangsa memaklumkan dia tertarik dengan tawaran yang diterima melalui e -melnya dan kemudian memaklumkannya kepada tiga rakan lain.

"Selepas berbincang dan membalas email berkenaan, seorang daripada kami dikehendaki ke Afrika Selatan bagi mendapatkan wang tunai dan jongkong emas berkenaan serta diminta membawa wang RM200,000 untuk urusan pentadbiran dan transaksi ketika berada di negara itu.

"Mangsa berbincang dengan tiga rakan lain dan masing -masing bersetuju mengumpul sejumlah wang yang diminta asalkan mendapat komisen berkenaan.

"Selepas mendapat wang berkenaan, mangsa seorang diri pergi ke Afrika Selatan bagi menguruskan pengeluaran wang tunai dan jongkong emas seperti yang dinyatakan sindiket terbabit.

"Mangsa mengakui semua dokumen berkaitan wang tunai dan jongkong emas berkenaan seperti yang dinyatakan sindiket itu memang sahih. Ketika pertemuan dengan ahli sindiket berkenaan, mangsa menyerahkan wang tunai yang dibawanya dan pada masa sama mangsa diculik," katanya.

Katanya, tiga rakan dan isteri mangsa yang menunggu dengan penuh harapan terkejut apabila menerima berita yang menyatakan mangsa diculik dan mereka mahukan sejumlah wang RM180,000 bagi membolehkan mangsa dibebaskan. Jika gagal mangsa akan dicederakan.

"Mangsa yang ditahan dua minggu kemudian dibebaskan dan dihantar pulang ke tanah air tanpa dicederakan sebaik mendapat wang tebusan berkenaan. Sebaik pulang, mangsa menceritakan masalah yang dihadapi kepada rakan dan isterinya tetapi enggan membuat laporan polis dengan alasan malu," katanya.

Dalam kes kedua di Bangsar di sini, seorang lelaki kerugian RM100,000 selepas diperdaya seorang lelaki warga Afrika yang menawarkan taktik yang sama tetapi ia membabitkan transaksi berjumlah RM240 juta di Amsterdam, Belanda.

Dr Jacob berkata, mangsa dan lelaki berkenaan bertemu di sebuah restoran di Bangsar dan kemudian berbincang bagi memperolehi wang yang dikatakan lelaki Afrika terbabit termasuk jumlah komisen yang akan diperolehinya.

"Bagi meyakinkan mangsa, lelaki itu menyatakan dia memiliki pejabat di Australia dan Amsterdam serta meminta mangsa menghubungi pejabat berkenaan bagi kesahihan.

"Mangsa yang menelefon pejabat lelaki Afrika itu dimaklumkan mereka memang berurusan untuk mendapatkan wang berkenaan tetapi memerlukan bantuan seseorang bagi membolehkan wang berkenaan dibawa keluar. Mangsa yang percaya dengan dakwaan lelaki berkenaan bersetuju membantu dan memberi wang RM100,000 sebagai cengkeram sebagaimana yang disyaratkan," katanya.

Dalam kejadian ketiga di Pulau Pinang, dua lelaki kerugian RM170,000 selepas diperdaya sindiket juga membabitkan seorang lelaki Afrika yang berlagak sebagai jutawan dan menawarkan wang tunai bagi membiayai projek mangsa di negara ini.

"Lelaki Afrika berkenaan yang baru tiba dari Bangkok turut menunjukkan salinan faksimili lebih 25 senarai orang Malaysia yang berurusan dengannya bagi mendapatkan pembiayaan projek.

"Bagi mendapatkan wang itu, mangsa perlu mengemukakan kertas projek dan mendeposit sejumlah wang ke dalam akaun lelaki terbabit," katanya.

Bagaimanapun, sebaik wang diterima, sindiket berkenaan terus melarikan diri. Walaupun cuba menghubungi syarikat melalui alamat yang diberikan tetapi mangsa gagal mengesan lelaki terbabit sehingga kini.

Mangsa juga tidak membuat laporan polis.

Berikutan itu, Dr Jacob menasihatkan orang ramai yang menerima e-mel yang meminta pertolongan bagi menguruskan transaksi berjumlah berjuta ringgit agar tidak melayan e-mel berkenaan.

"Saya percaya email yang dihantar kepada mangsa itu dilakukan oleh sindiket sama tetapi menggunakan nama berbeza bagi mendapatkan wang mudah. Ini berdasarkan modus operandi dalam ketiga-tiga kejadian hampir sama," katanya.

Katanya, orang ramai juga jangan sesekali memberi salinan pasport antarabangsa milik mereka kepada sindiket tertentu kerana dikhuatiri pasport berkenaan akan diklon untuk tujuan jenayah.