Pengguna sistem bank Internet tidak diminta dedah kata kunci
11th December 2003 (Utusan Malaysia)

KUALA LUMPUR 10 Dis. - Persatuan Bank-bank Dalam Malaysia (ABM) mengingatkan pengguna sistem perbankan Internet bahawa bank-bank tidak akan meminta pengguna mendedahkan atau mengesahkan kata kunci (password) atau pengenalan PIN atas apa alasan sekalipun termasuk keselamatan.

Pengarah Eksekutif ABM, Wong Suan Lye berkata, bank-bank juga tidak akan berbuat demikian menerusi e-mel atau hyperlink menerusi e -mel atau telefon.

Menurutnya, jika menerima e-mel atau panggilan telefon yang mencurigakan meminta butiran kata kunci, pengguna diminta tidak mendedahkan maklumat tersebut dan segera melaporkannya kepada bank berkenaan.

"Para pengguna perlu memastikan mereka memasuki laman web Internet bank yang tulen dengan memasuki alamat laman web bank yang disenaraikan,'' katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Peringatan ABM itu dibuat ekoran laporan mengenai e-mel yang kononnya dihantar oleh bank dengan perkhidmatan perbankan Internet kepada pelanggan dalam talian mereka.

e-mel berkenaan mempunyai hyperlink yang kononnya akan menghubungkan terus kepada perkhidmatan perbankan Internet bank.

Sebaliknya, ia mengalihkan pengguna ke laman web palsu dengan muka depan laman web yang hampir sama dengan laman web sebenar.