Kesan penyebar bahan lucah di Internet
16th November 2003 (Harian Metro)

KUALA LUMPUR: Pihak berkuasa boleh mengesan dan mengambil tindakan terhadap pihak yang menyebarkan bahan lucah melalui Internet.

Pengurus Pasukan Tindakan Kecemasan Keselamatan Komputer (MyCERT), Solahuddin Shamsuddin, berkata pihaknya boleh menjalankan siasatan dan menganalisis 'full header' (kepala e-mel) untuk mengesan sumbernya.

Selain itu, katanya, alamat Internet Protocol (IP) penyebar sesuatu e-mel boleh diketahui melalui proses berkenaan.

"Semua IP itu, penyedia perkhidmatan Internet (ISP) yang berdaftar seperti Jaring, TM Net, Maxis, Time atau Celcom, boleh dikesan.

"Mereka kemudian boleh mengenal pasti pelayar Internet yang menggunakan perkhidmatan berkenaan," katanya.

Solahuddin berkata, mungkin ada pengguna Internet beranggapan mereka boleh lepas daripada sebarang tindakan atau dipertanggungjawabkan jika menyebar sesuatu bahan lucah, palsu atau berbahaya.

Katanya, perlu difahami melalui tindakan dan prosedur betul, pihak berkuasa boleh mengesan seseorang yang bertindak di luar undang-undang melalui kemudahan Internet.

Solahuddin berkata, yang lebih penting, seseorang mangsa perlu membuat aduan kepada polis dan ia boleh dirujuk kepada MyCERT untuk tindakan lanjut.

Katanya, apabila ISP mengenal pasti identiti penyebar sesuatu e-mel, namanya diberikan kepada polis untuk membantu siasatan dan terserah kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan sewajarnya.

Solahuddin berkata, penyebaran e-mel mengandungi gambar lucah boleh dielakkan jika pengguna atau pelayar Internet bekerjasama dengan cara mematuhi etika penggunaan kemudahan itu, seperti tidak menghantar atau 'forward' sesuatu mesej yang diterima kepada orang lain.

"Jika menerima e-mel seperti itu, pengguna wajar menghapuskannya dari kotak surat masing-masing," katanya.

Menurut Solahuddin, perkhidmatan MyCERT bukan semata -mata membantu mengurangkan risiko serangan rangkaian (network attack) Internet sehingga membolosi tembok pertahanan rangkaian negara.

"Kepakaran dan kemudahan yang ada pada MyCERT juga boleh dimanfaatkan bagi mengawal penyebaran e-mel palsu, lucah atau tidak wajar," katanya.