Jenayah siber terus meningkat
6th November 2003 (Berita Harian)

PUSAT Keselamatan dan Kecemasan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) Kebangsaan (NISER) mencatatkan peningkatan dalam laporan insiden keselamatan ICT sejak 2000 dengan 2,106 kes dilaporkan tahun ini.

Setiausaha Parlimen Kementerian Tenaga, Komunikasi dan Multimedia, Chia Kwang Chye, berkata 500 insiden dilaporkan pada 2000, 932 insiden (2001) dan 739 insiden tahun lalu.

"Insiden ini dibahagikan kepada beberapa kategori, iaitu penyalahgunaan internet, pencerobohan, serangan virus, emel sampah (spam), pemalsuan urusan dalam talian dan penafian perkhidmatan," katanya.

Menjawab soalan tambahan Datuk Abdul Hamid Abdul Rahman (BN-Sungai Benut), beliau berkata kebanyakan insiden kesalahan yang dilaporkan itu ialah dalam kategori spam yang meliputi 62.8 peratus atau 1,323 insiden.

Menjawab soalan asal Abdul Hamid, beliau berkata, kerajaan memulakan usaha meningkatkan keselamatan maklumat negara untuk meminimumkan risiko pencerobohan, pendedahan maklumat berperingkat, penipuan, gangguan dan salah guna teknologi maklumat.

Bagi tujuan itu, katanya, pelbagai langkah diambil termasuk menggubal undang-undang siber seperti Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Jenayah Komputer 1997 dan Akta Tandatangan Digital 1997.

"Penubuhan NISER bagi menangani isu keselamatan maklumat secara menyeluruh membantu pembangunan penyelidikan dalam bidang itu, mengenal pasti pencerobohan komputer dan mencegah kerosakan serius akibat serangan keselamatan," katanya.

Selain itu, Bahagian Keselamatan ICT di Unit Pemodenan dan Tadbiran Awam (Mampu) bertindak menyelaras dan menjaga keselamatan ICT bersama-sama Kumpulan Tindakbalas Kecemasan Malaysia (MyCERT) dan Kumpulan Tindakbalas Kecemasan Kerajaan (GCERT) bagi sektor awam.

"Dengan pelbagai usaha yang telah dan sedang diusahakan oleh kerajaan serta kerjasama melalui forum antarabangsa mengenai keselamatan maklumat, kementerian yakin negara bersedia menangani masalah yang timbul daripada pencerobohan ICT," katanya.