PDRM tambah pakar jenayah ICT
23rd October (Berita Harian)
By Shamsul Kamal Amarudin

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menambah pegawai penyiasat yang pakar dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) bagi menangani jenayah siber yang semakin meningkat sekarang.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Bakri Omar, berkata ketika ini pasukan itu hanya mempunyai dua pegawai yang pakar dalam ICT.

"Selain menambah pegawai, kita juga akan menggunakan kaedah terkini dalam menyiasat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Diploma Sains Siasatan Sesi 2003/2004 di Maktab Pegawai Kanan Polis (MPKP) di Cheras dekat sini semalam.

Seramai 33 pegawai polis, dua pegawai Badan Pencegah Rasuah (BPR) dan seorang pegawai tentera mengikuti kursus selama 18 bulan itu, bermula 13 Oktober lalu.

Hadir sama, Pengarah Pengurusan PDRM, Datuk Kamaruddin Md Ali; timbalannya, Datuk Mustafa Abdullah; Ketua Polis Selangor, Datuk Mohd Noor Hamat serta Pengarah Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya, Dr Jamaluddin Mohd Yunos.

Kelmarin, Timbalan Menteri Tenaga, Komunikasi dan Multimedia, Datuk Tan Chai Ho, berkata ancaman jenayah siber di kalangan pengguna internet meningkat hingga 10 kali ganda dalam tempoh kurang setahun.

Tan berkata, purata 700 aduan diterima dalam tempoh berkenaan tetapi ia cuma mewakili sebahagian kecil daripada keseluruhan jenayah itu kerana dianggarkan hanya 30 peratus mangsa membuat laporan dengan 70 peratus lagi tidak dilaporkan.

Jenayah siber meliputi penghantaran bom e-mel, spam, gangguan, ancaman penggodam, jenayah pemalsuan, serangan virus, penafian perkhidmatan dan pencerobohan serta pemindahan elektronik, yang bukan saja boleh mengakibatkan kerugian tetapi juga boleh menyebabkan kehilangan maklumat sulit kerajaan.

Dalam ucapannya, Mohd Bakri berkata, semua negara tidak terlepas daripada jenayah siber dan usaha berterusan diperlukan bagi menanganinya berikutan kecanggihan teknologi ICT sekarang.

Katanya, siasatan terhadap jenayah berkenaan juga memerlukan kepakaran dalam bidang forensik komputer.

Mengenai kes penculikan di Sabah, Mohd Bakri berkata, ketika ini pihaknya belum mengenal pasti lokasi sebenar semua tebusan itu ditahan walaupun ada laporan menyatakan mereka kini ditahan di Pulau Jolo, selatan Filipina.

Beliau berkata, pihaknya masih meneruskan siasatan terhadap kes itu sama seperti kes penculikan yang pernah berlaku sebelum ini.

Katanya, polis tidak akan melayan sebarang tuntutan daripada pihak penculik terutama permintaan membayar wang tebusan bagi membebaskan mereka.

"Sebagaimana yang dikatakan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Chor Chee Heung sebelum ini, mereka sudah menghubungi pengusaha resort dan meminta wang tebusan dibayar tetapi kita tidak akan melayan tuntutan ini," katanya.

Mengenai dua pekerja resort berkenaan yang dibebaskan selepas ditahan berikutan kes penculikan berkenaan, beliau berkata, siasatan awal polis mendapati mereka tidak terbabit dengan insiden berkenaan.

Pada 5 Oktober lalu, enam pekerja warga asing sebuah resort di Sungai Sabahan, Lahad Datu, Sabah, diculik sekumpulan lelaki 10 lelaki bersenjata api dan dibawa ke tempat tidak diketahui menggunakan dua bot laju.