Niser kesan tiga virus internet
25th June 2004 (Berita Harian)

KUALA LUMPUR: Pusat Tindak Balas Kecemasan Teknologi Maklumat dan Komunikasi Kebangsaan (Niser) mengesan virus cecacing dikenali Sasser, Korgo dan Gaobot sejak bulan lalu yang menyebabkan rangkaian komputer beberapa agensi terjejas.

Pengurus MyCert-Niser, Solahuddin Shamsuddin, berkata Korgo adalah virus terbaru yang dikesan beberapa minggu lalu dan merebak menerusi internet tetapi bertukar kepada virus baru apabila sistem komputer dipertingkatkan.

Beliau berkata, sejak Isnin lalu MyCert-Niser menerima enam laporan serangan virus berkenaan, iaitu tiga daripada pengguna biasa dan tiga organisasi.

"Walaupun serangan virus ini menurun, ia meningkat semula apabila terhasilnya virus jenis baru dan menyerang sistem komputer yang tidak menutup kelemahan (patch) pada sistem rangkaian komputer masing-masing.

"Implikasi serangan cecacing itu tidak akan dikesan serta merta manakala petanda awal ialah sistem akan sentiasa diarahkan supaya ditutup dan dibuka semula," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau berkata, pihaknya menerima 26 laporan serangan virus cecacing bulan lalu manakala 20 serangan pada April dan 42 serangan pada Mac.

Bagaimanapun, serangan ketiga-tiga virus itu dianggap pada tahap sederhana walaupun kesan virus itu boleh mengakibatkan produktiviti yang menyesakkan talian dan data.

Beliau berkata, selain menyebabkan gangguan operasi komputer mudah alih, ia turut menyerang komputer peribadi yang beroperasi di luar organisasi.

Solahuddin berkata, serangan itu bukan saja boleh berlaku secara terus pada sistem komputer sesebuah agensi atau organisasi, sebaliknya kakitangan yang menggunakan komputer mudah alih dan mendail laluan internet di rumah atau kafe siber dan kemudiannya membukanya di pejabat juga boleh menyebabkan virus itu menjangkiti keseluruhan rangkaian komputer.

Katanya, serangan virus itu dikesan aktif menjangkiti sistem pengkomputeran yang menggunakan perisian Microsoft Windows NT 4.0, Microsoft Windows 2000, Microsoft Windows XP dan Microsoft Windows Server 2003.

Sehubungan itu, Niser menasihatkan organisasi mengambil tindakan sewajarnya termasuk menutup kelemahan (patch) pada sistem rangkaian komputer mereka.

"Pengguna diminta supaya segera menampal (patch) perisian yang dijangkiti serta memasang perisian firewall bagi menghalang kemasukan virus di pintu masuk utama ke rangkaian internet," katanya.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat terkini boleh melayari laman web www.mycert.org.my atau menghubungi talian 03 -89961901 atau menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) di 019-2813801.