Kempen 'nyah virus' pastikan Internet selamat
21st June 2004 (Berita Harian)
By Khairul Anuar Samad

PELANCARAN kempen keselamatan Internet seluruh dunia yang pertama Jumaat lalu akan menjadi platform penting kepada pengguna komputer atau sistem rangkaian dunia ke arah menikmati persekitaran Internet lebih selamat.

Kempen dianjurkan oleh Persatuan Internauts dan Panda Software itu bermatlamat menjadikan Internet lebih selamat kepada setiap pengguna selain menyediakan kemudahan kepada pengguna Internet dengan latihan, maklumat serta rumusannya.

Bagi menjayakan kempen ini, maklumatnya disediakan dalam lapan bahasa yang kebanyakannya dipertuturkan pada Internet seperti bahasa Inggeris (35.8 peratus), Cina (14.1 peratus), Jepun (9.6 peratus), Sepanyol (9.0 peratus), Jerman (7.3 peratus), Portugal (3.5 peratus) dan Itali (3.3 peratus).

Semua pengunjung ke laman web kempen itu boleh membersihkan komputer mereka daripada sebarang virus atau penceroboh lain menggunakan kemudahan peralatan secara percuma pada laman itu termasuk versi lengkap dengan perkhidmatan percuma, disediakan secara eksklusif kepada pengunjung laman itu.

Pengguna Internet juga akan memiliki talian terus ke pakar keselamatan melalui satu forum yang membolehkan mereka mengemukakan sebarang masalah atau persoalan yang perlu diselesaikan.

Matlamat forum ini ialah untuk menyelesaikan sebarang permasalahan selain mengumpul pandangan yang berkaitan dengan keselamatan Internet.

Presiden Persatuan Internauts, Victor Doming, berkata matlamat kempen ini ialah untuk mengumpul seberapa ramai pengguna Internet sekali gus membantu mereka menubuhkan satu komuniti keselamatan.

Pengguna Internet boleh memperoleh sumber yang diperlukan untuk menyebar sebarang maklumat melalui laman web kempen itu, http://www.worldwidesecure.org.

Naib Presiden Pengembangan Antarabangsa Panda Software, Jose Maria Hernandez, berkata penyertaan Panda Software dalam kempen ini sejajar dengan bidang yang dikuasainya, iaitu pencegahan virus dan pencerobohan bagi menjadikan masyarakat lebih selamat dan produktif.

Global Reach berkata, kini ada 729.2 juta pengguna Internet dan lebih 86 peratus daripadanya bertutur dalam salah satu daripada lapan bahasa yang dipertuturkan pada Internet.

Kini ada lebih 76,000 virus di Internet dengan 1,600 daripadanya aktif dan terus menjangkiti komputer, kata data kumpul oleh Panda Software.

Persekitaran keselamatan Internet sudah terancam teruk kerana sehingga 100 virus baru boleh muncul setiap hari dan pada kadar 600 virus baru muncul setiap bulan.

Kombinasi keadaan ini dengan jenis ancaman lain seperti penceroboh sistem komputer, spam dan spyware berupaya mewujudkan satu rasa yang tidak selamat mengenai Internet di kalangan pengguna. Perasaan takut ini lebih hebat dengan berlakunya serangan virus berbahaya sebelum ini seperti Netsky, Bagle dan Mydoom.

Kempen yang juga menyediakan maklumat terkini keselamatan Internet dijangka berupaya menangani masalah dihadapi pengguna masa kini dan masa depan.