Serangan Sasser terkawal di Malaysia
12th May 2004 (Utusan Malaysia)

SERANGAN cecacing Internet terbaru dikenali sebagai Sasser yang dikatakan menjejaskan berjuta-juta komputer di seluruh dunia hanya memberi kesan minima kepada pengguna komputer di negara ini.

Pasukan Respons Kecemasan Komputer Malaysia (MyCERT) menyatakan selepas tiga hari serangan cecacing itu dikesan, ia tidak memberi kesan besar dan dalam keadaan terkawal di negara ini.

"Kami hanya menerima dua laporan jangkitan cecacing tersebut setakat ini (selepas hari ketiga) dan mengandaikan kesannya adalah rendah,'' kata Pengurus MyCERT, Solahuddin Shamsuddin.

Beliau berkata, laporan yang diterima MyCERT mengenai Sasser adalah dari pengguna komputer peribadi dan tiada laporan diterima dari kalangan organisasi sama ada syarikat atau agensi awam.

Menurut laporan Panda Software, syarikat perisian anti -virus terkenal, kira-kira 300 juta pengguna komputer di seluruh dunia mempunyai potensi dijangkiti cecacing tersebut.

Cecacing Sasser dikatakan mempunyai kesan melambatkan rangkaian kerana aktiviti pengimbasan berterusan, selain daripada melakukan aktiviti menutup komputer pengguna.

Cecacing tersebut disasarkan untuk memasuki sistem pengguna komputer Windows XP, Windows 2000 dan Windows 2003 yang tidak dikemaskini dengan 'patch' keselamatan terkini dari Microsoft.