Serangan Sasser tidak kritikal
10th May 2004 (Berita Harian)

PUSAT Tindak Balas Kecemasan Keselamatan ICT Kebangsaan (Niser), menyatakan serangan virus cecacing Sasser disifatkan sebagai di tahap sederhana dan belum mencapai tahap kritikal di negara ini.

Pengarah Niser, Lt Kolonel Husin Jazri, berkata Niser akan terus mengawasi perkembangan virus berkenaan secara menyeluruh dan terperinci, terutamanya apabila orang ramai mula bekerja Rabu lalu selepas cuti umum yang panjang.

"Ketika ini, kesan akibat serangan virus cecacing Sasser tidak serius dan Niser ketika ini hanya menerima enam kes dua daripada pengguna di rumah manakala empat lagi daripada organisasi," katanya dalam satu kenyataan kepada akhbar dikeluarkan di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Beliau berkata, sebahagian besar kes dilaporkan itu beroperasi menggunakan sistem operasi Windows XP manakala laporan daripada penyedia perkhidmatan Internet menyatakan tiada tanda menunjukkan peningkatan jumlah aliran trafik data dalam sistem rangkaian.

"Bagi kebanyakan syarikat antivirus di luar negara mereka mengkelaskan serangan berkenaan sebagai sederhana hingga kepada risiko tinggi," katanya.

Orang ramai boleh melayari laman web www.mycert.org.my untuk mengetahui perkembangan lanjut.