Malaysia sertai pakatan banteras e-mel spam
5th April 2004 (Berita Harian)

MALAYSIA akan menyertai satu pakatan bersama negara Asia Pasifik seperti Singapura, Australia dan Jepun selain Amerika Syarikat (AS) dalam usaha membanteras peningkatan kegiatan penghantaran e-mel sampah atau spam yang menurut pakar sukar untuk diatasi.

Penghantaran e-mel jenis ini dikatakan kini menjadi satu masalah serius di kalangan pengguna Internet termasuk di Malaysia yang tidak ingin e-mel mereka dibanjiri dengan kemasukan bahan yang tidak diperlukan.

Bahan yang dihantar melalui e-mel itu kebanyakannya tidak bersesuaian bagi kegunaan harian pengguna Internet khususnya remaja yang antaranya turut menyertakan iklan seperti penawaran membesarkan kemaluan selain ijazah kolej segera.

Di AS, pengguna Internetnya adalah yang paling banyak menerima e-mel jenis itu berbanding pengguna lain di dunia sedangkan negara itu menjadi sumber kemunculan kebanyakan spam yang dihantar ke seluruh dunia sehingga memaksa kerajaannya melancarkan akta antispam (Can-Spam Act).

Kerajaan Malaysia melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sebagaimana tindakan dilakukan negara jiran, Singapura, turut bertindak tegas secara bekerjasama dengan penyedia perkhidmatan Internet tempatan (ISPs).

"Tindakan tegas akan dilakukan termasuk mempertingkatkan usaha pendidikan selain menyarankan ISP sendiri mengambil langkah positif menangani isu berkenaan memandangkan perundangan saja belum pasti memadai untuk masalah berkenaan," katanya.

Dalam usaha menangani masalah e-mel spam itu, minggu lalu, empat ISP di AS iaitu Microsoft, Yahoo, America Online dan Earthlink, bersama memfailkan enam saman terhadap lebih 100 pesalah yang disyaki terbabit dalam penghantaran spam.

Akibat tindakan ISP itu memberi kesan besar kepada kerajaan negara Asia Pasifik termasuk Malaysia sehingga mendorong mereka mengambil tindakan mengatasi kegiatan itu.

Singapura juga turut mewujudkan kerjasama antara tiga ISPs tempatan dengan kerajaan untuk membuat penilaian semula selain mengambil beberapa langkah bagi membanteras kegiatan spam itu.

Jurucakap SingNet berkata, memandangkan spam isu yang kompleks, perundangan saja tidak berupaya mengatasi masalah itu dalam masa terdekat.

"Kami tidak menjangkakan satu rumusan yang mudah dan cepat dapat dihasilkan sebagai perundangan lain yang terpaksa berhadapan dengan isu seperti takrif spam, pelanggan hak keperibadian dan sebagainya," katanya.

Australia terus bertindak tegas dan egara itu bakal melaksanakan beberapa undang-undang baru menjelang April yang anataranya membolehkan penghantar e-mel berbentuk spam disaman sehingga lebih RM3 juta.

Menteri Komunikasi Australia, Daryl Williams berkata, kerajaan sedar ia masalah global.

"Kita harus mengenal pasti kaedah lain bagi menangani isu berkenaan khususnya yang sumbernya datang dari luar negara," katanya.

Jepun sudah pun mempunyai perundangan antispam yang memerlukan pengiklan online mengenalkan diri mereka, menyertakan alamat secara fizikal dan tanda mesej e-mel sebagai iklan tidak berunsurkan spam. Sekiranya gagal berbuat demikian denda lebih RM17,000 akan dikenakan.

Di samping itu, jurucakap pejabat penguat kuasa telekomunikasi Hong Kong, Diana Fu menegaskan kerajaan bimbang terhadap masalah itu ke atas rakyat Hong Kong bukan hanya membabitkan spam, malah mesej atau faks 'junk' melalui telefon bimbit.

"Kerajaan kini sedang membuat tinjauan secara komprehensif selain mengadakan ceramah awam mengenai isu itu dalam usaha mencari kaedah terbaik mengatasinya," katanya.

Di sektor teknologi, Microsoft memperkenalkan Inisiatif Mengatasi Spam Berkoordinasi (CSRI) yang dianggap sebagai hala tuju penting dalam mengubah prasarana teknologi dan dasar sekali gus membantu mengurangkan spam.