Tiga lagi akta perundangan siber akan digubal
3rd March 2004 (Utusan Malaysia)

KUALA LUMPUR 2 Mac - Perundangan siber di negara ini akan diperlengkapkan lagi dengan penggubalan tiga lagi akta yang bakal menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang terkedepan dalam perkara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, akta-akta tersebut ialah Akta Perlindungan Peribadi, Akta Transaksi Elektronik dan Akta Aktiviti Kerajaan Elektronik.

Katanya, jika semuanya berjalan lancar, ketiga-tiga rang undang-undang tersebut akan dibacakan pada persidangan Parlimen akan datang dan jika diluluskan kelak ia bermakna ada tujuh akta kesemuanya yang berkaitan perundangan siber.

"Pencapaian tersebut amat membanggakan dan ia dicapai kerana didorong secara langsung oleh penubuhan Koridor Raya Multimedia (MSC) serta penekanan yang diberikan oleh kerajaan di bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

"Kejayaan Malaysia sebenarnya diakui di peringkat global,'' katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmi serta menyampaikan ucaptama di Persidangan Undang-Undang Siber Antarabangsa Ketiga anjuran bersama Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDC), Majlis Peguam dan Institut Kepimpinan dan Strategi Asia (ASLI).

Turut hadir ialah Pengerusi MDC, Tan Sri Abdul Halim Ali, Presiden Majlis Peguam, Kuthubul Zaman Bukhari dan Ketua Pegawai Eksekutif ASLI, Datuk Dr. Michael Yeoh.

Menurut Rais, ada beberapa perkara yang harus diberi perhatian untuk mengekalkan pencapaian dan yang paling penting ialah memastikan mutu dan penguatkuasaan undang-undang siber di Malaysia selaras atau lebih dari standard yang ditetapkan di arena antarabangsa.

"Jika kita tidak boleh berbuat demikian maka standard negara ini tidak akan sama seperti yang digariskan di Eropah.

"Kunci untuk mencapai arah tersebut ialah dengan penguatkuasaan yang cekap serta memastikan pengamal undang-undang mahir di dalam bidang yang baru ini,'' jelasnya.

Tambahnya, walaupun perundangan siber di negara ini diakui ramai sebagai yang paling menyeluruh, namun keberkesanannya masih belum teruji sepenuhnya.

"Ini kerana masih belum ada kes jenayah siber yang serius didakwa di mahkamah.

"Sebenarnya keadaan ini berlaku di semua negara kerana ia melibatkan undang-undang yang baru dan hanya Eropah sahaja yang sedikit ke hadapan kerana mempunyai protokol-protokol tertentu,'' jelasnya.