Malaysia perlu lebih ramai pakar forensik komputer 16th February 2004 (Berita Harian) By Khairul Anuar Abdul Samad JUMLAH pakar forensik komputer yang sedikit di negara ini tidak dapat memberi jaminan 100 peratus sistem rangkaian Internet negara berada dalam keadaan selamat daripada serangan penceroboh sistem rangkaian komputer atau serangan siber. Pengarah Pusat Tindak Balas Kecemasan Teknologi Maklumat dan Komunikasi Kebangsaan (Niser), Lt Kolonel Husin Jazri berkata, sehingga kini dianggarkan hanya terdapat tidak lebih daripada 20 pakar berkenaan di negara ini. Katanya, senario seperti ini adalah satu perkembangan yang tidak menggalakkan di negara ini dan harus diatasi segera bagi memastikan sebarang gangguan berkaitan serangan siber atau pencerobohan data. "Kekurangan pakar ini isu penting dan usaha harus dipertingkatkan dengan mendapat kerjasama daripada pakar luar negara seperti EC-Council, sebuah organisasi profesional dalam program keselamatan Internet," katanya pada majlis pelancaran program forensik komputer di Kuala Lumpur, minggu lalu. Hadir sama pada majlis itu ialah Pengarah Urusan EC -Council, Sanjay Bavisi dan Pengarah Urusan Wordware Malaysia, Wilson Wong. Husin berkata, walaupun jumlah pakar forensik komputer di negara sedikit, ia tidak bermakna penguatkuasaan dalam menangani isu berkaitan dengan pencerobohan sistem rangkaian Internet tidak berfungsi. "Pakar berkenaan masih mampu melaksanakan tugasan masing-masing dan tahap kepakaran mereka boleh dikatakan sama taraf dengan negara Asean lain berdasarkan semua pihak kini menjuruskan kepada perkembangan teknologi baru," katanya. Beliau juga menyarankan supaya organisasi utama di negara ini khususnya yang berurusan dengan maklumat penting supaya menyediakan seorang atau beberapa pakar forensik komputer bagi mengendalikan bukti pencerobohan siber. Katanya, kebanyakan pihak tidak tahu kaedah terbaik untuk mengendalikan bahan bukti terhadap sistem mereka dicerobohi. Selalunya, apabila bahan berkenaan sudah dirosakkan baru ia dihantar kepada pihak perundangan untuk diambil tindakan. "Bahan bukti digital tidak akan berguna kalau tidak dikendalikan dengan baik dan berdasarkan kepada keadaan ini sesebuah organisasi itu memerlukan kepada pakar forensik komputer untuk membawa bukti berkenaan ke pengadilan," katanya. Husin juga menyarankan supaya sektor swasta turut berperanan bagi memastikan sistem komputer mereka sentiasa berada dalam keadaan selamat sebagaimana sudah dilakukan di pihak kerajaan. "Lebih 60 peratus prasarana kritikal dimiliki oleh sektor swasta dan mereka harus meningkatkan ciri keselamatan kerana sebarang kesilapan akan memberi kesan kepada masyarakat seperti di sektor gas, pengangkutan dan elektrik," katanya. |