Serangan komputer tinggi di musim perayaan
11th February 2004 (Utusan Malaysia)

MASALAH serangan komputer sama ada dilakukan oleh pengodam (hackers) atau virus sering berlaku disebabkan kewujudan Internet yang merangkaikan berjuta-juta komputer di seluruh dunia.

Menurut indeks keselamatan e-Cop, Disember 2003 merupakan antara musim yang mencatatkan peningkatan ancaman keselamatan yang mendadak setakat ini.

e-Cop juga melapor bahawa trend berulangan ini turut menyaksikan kenaikan indeks sebanyak 34 peratus dari bulan November ke Disember, tahun lepas.

Indeks e-Keselamatan ini memantau semua aktiviti serangan keselamatan yang berpotensi menjejaskan pelanggan-pelanggan e -Cop di rantau ini.

Kaedah pengukuran ini digunakan sebagai sampel yang menunjukkan betapa kerapnya serangan Internet dan penyebaran virus.

Bulan Disember tahun lepas menunjukkan cerun peningkatan kedua tertinggi, selepas bulan Ogos yang merekodkan angka serangan terbesar ketika merebaknya virus SoBig.

Menurut indeks dan data yang dikumpul, tahun 2001 and 2002 menampilkan corak yang sama, iaitu peningkatan mendadak pada bulan Disember.

Indeks pada bulan tersebut di tahun lepas berbanding tahun 2002 dan 2001 masing-masing mencecah sebanyak 54 peratus dan 87 peratus lebih tinggi.

Alan See, ketua pegawai eksekutif e-Cop berkata, ancaman keselamatan bertambah secara konsisten dalam bulan Disember antara lain disebabkan oleh peningkatan trafik Internet.

"Berdasarkan pemantauan kami, sebahagian besarnya adalah akibat penggunaan e-mel yang aktif ketika cuti perayaan,'' katanya.

"Misalnya, kekerapan penghantaran kad ucapan dan penjanaan spam berhubung promosi ketika musim perayaan,'' tambahnya.

Beliau berkata, tambahan pula, e-Cop mendapati bahawa aktiviti pencerobohan oleh penggodam sistem komputer secara relatifnya lebih tinggi semasa musim cuti.

Negara-negara Asia turut melaporkan pertumbuhan sumber ancaman keselamatan yang agak ketara.

Menurut e-Cop, Asia Utara menyumbang paling banyak ancaman keselamatan yang meliputi 21 peratus daripada jumlah yang direkodkan.

Jepun dan Korea, yang tidak termasuk dalam rantau Asia Utara, masing-masing menyumbang 16 dan enam peratus daripada jumlah keseluruhan ancaman.

Sehubungan itu, negara-negara ASEAN dan Asia Timur masing-masing mencatat 15 dan empat peratus.

Yang menariknya, e-Cop juga mendapati bahawa negara Denmark telah mula berkembang sebagai sumber serangan keselamatan di kalangan negara-negara Eropah Barat.

Tahun lepas, Pusat-pusat Kawalan Global (Global Command Centres, GCCs) e-Cop di Malaysia, Singapura, Hong Kong and Jepun berjaya menjejaki 238 juta insiden.

Angka ini telah meningkat dengan seragam sejak tiga tahun yang lepas. Ini juga menerangkan bahawa ancaman keselamatan bukan sahaja semakin canggih, malah bilangannya turut meningkat pada kadar yang cepat.

Statistik insiden keselamatan yang dikumpul oleh Pusat Keselamatan dan Kecemasan Teknologi Maklumat dan Komunikasi Kebangsaan (NISER) turut menyokong kenyataan ini dengan menunjukkan peningkatan jumlah serangan pada kadar 12 peratus dari November hingga Disember 2003.