Generasi IT perlu matang
14th December 2004 (Harian Metro)
By Noor Azam Abd Aziz

LEDAKAN teknologi maklumat yang berkembang pesat di negara ini memperlihatkan betapa beruntungnya generasi masa kini berikutan terdedah kepada dunia tanpa sempadan.

Ia bukan saja berfungsi sebagai ejen komunikasi, malah menjadi jambatan untuk pengguna memanfaatkannya sebagai sebahagian daripada rutin dan keperluan hidup.

Perkongsian maklumat serta teknologi siber yang semakin pesat itu turut menjadikan seseorang lebih matang serta sentiasa meneroka sesuatu yang baru dan terkini.

Tidak hairanlah jika kebanyakan negara kini bukan saja bersaing dalam aspek ekonomi, malah memperkukuhkan kawalan terhadap sumber maklumatnya.

Pelancaran projek Koridor Raya Multimedia (MSC) sebelum ini menandakan satu langkah baru dan positif sempena ketibaan era maklumat.

Sebagai sebuah negara membangun, Malaysia menyenaraikan pembangunan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) sebagai elemen penting memacu pembangunan negara.

Perubahan itu disemarakkan lagi dengan ledakan maklumat, revolusi teknologi multimedia dan komunikasi.

Malah, penghasilan maklumat kini terus berlipat ganda setiap tahun kerana ia begitu mudah diperolehi dengan kadar cepat melalui teknologi telekomunikasi serta komputer canggih.

Dalam berdepan dengan perkembangan pesat berkenaan era maklumat, ia menuntut persediaan rapi dan penguatkuasaan sistem perundangan dalam menghadapi pelbagai penyelewengan siber.

Dewasa ini, kewujudan pelbagai kemudahan serta peluang pendidikan dalam bidang berkenaan berjaya melahirkan pakar dan tidak terkecuali individu yang memanipulasikan sistem teknologi maklumat.

Hal berkenaan dapat dilihat menerusi beberapa kes yang berlaku sejak kebelakangan ini sehingga mewujudkan suasana kurang sihat di kalangan pengguna terutamanya dalam penyebaran gambar lucah dan fitnah.

Menurut pakar, jenayah siber boleh dikategorikan kepada jenayah siber terhadap harta benda, jenayah siber terhadap manusia atau individu dan keganasan.

Sikap negatif berkenaan suatu sikap tidak bermoral yang perlu dikikis supaya tidak merosakkan usaha murni kerajaan melahirkan dunia teknologi maklumat yang menguntungkan semua.

Menyedari perkembangan berkenaan, kerajaan membentuk akta, polisi serta dasar negara sebagai landasan penguatkuasaan undang -undang terhadap salah laku terbabit.

Sebagai ingatan dan garis sempadan kepada pengguna siber di negara ini terdapat beberapa undang-undang siber yang dikuatkuasakan.

Antaranya Akta Tandatangan Digital 1997, Akta Hakcipta (pindaan) 1997, Akta Jenayah Komputer 1997, Akta Teleperubatan 1997, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998.

Berdasarkan statistik dikeluarkan pada 2003 mendapati sebanyak 857 kes mengikut Akta Jenayah Komputer 1997 dibawa ke mahkamah dengan denda RM2.9 juta.

Sehingga September lalu, sebanyak 355 kes dengan denda RM1.7 juta sudah melalui proses pendakwaan.

Bagi pendakwaan kes mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, sebanyak 35 kes sudah didakwa dengan denda RM34,000 manakala sehingga September tahun ini sebanyak 117 kes didakwa dengan denda RM451,000.

Dalam menangani masalah jenayah siber yang semakin meningkat polis turut menubuhkan Unit Siasatan Jenayah Teknologi di bawah Bahagian Siasatan Jenayah Perdagangan, Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Chia Kwang Chye dalam kenyataannya sebelum ini berkata pihak berkuasa, sudah mengambil langkah menaik taraf peralatan digunakan dari segi teknologi untuk menangani kes jenayah siber yang meningkat.

“Masyarakat umum lebih menjurus mengambil langkah berjaga-jaga dengan melindungi kata laluan ketika menggunakan mesin juruwang automatik (ATM), memastikan tidak ada kamera haram yang dipasang di mana-mana ATM atau segera memadam lambakan e-mel,” katanya.

Menurutnya, dalam usaha mencari penjenayah siber, mereka terbabit boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Jenayah Komputer 1997 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Kanun Keseksaan.

Pengguna yang terbabit dalam kegiatan pencerobohan rangkaian komputer, penipuan perbankan internet, pemalsuan kad ATM serta penyebaran virus boleh didakwa mengikut Akta Jenayah Komputer 1997.

Pendakwaan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 pula membabitkan apa-apa kegiatan berkaitan penyalahgunaan akaun komunikasi untuk mengelak bayaran.

Selain itu, penyebaran maklumat berunsur fitnah atau menjatuhkan maruah orang lain boleh dikenakan tindakan mengikut Kanun Keseksaan.

Mereka terbabit juga tidak terlepas kerana kerajaan turut mendapat sokongan Pusat Tindak Balas Kecemasan dan Keselamatan ICT Kebangsaan (Niser), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), penyedia perkhidmatan internet (ISP) serta syarikat telekomunikasi.

Penguatkuasaan undang-undang berkenaan masih memerlukan kerjasama semua pihak supaya mewujudkan suasana sihat dalam dunia teknologi maklumat di negara ini.

Jika ia tidak terkawal sudah pasti memberi kesan negatif kepada negara serta turut membabitkan pelbagai maklumat rahsia yang menggugat keselamatan secara keseluruhannya.

Justeru itu, sebagai pengguna yang matang kita perlu mewujudkan satu budaya sihat dalam penggunaan teknologi maklumat supaya tidak terjebak dengan jenayah berkenaan.

Malah, ia satu kerugian jika pengguna tempatan tidak memanfaatkannya sebagai landasan mempertingkatkan diri serta kemahiran dalam pelbagai bidang yang perlu diterokai.