Menjejak E-Mel fitnah
1st November 2004 (Harian Metro)
BY C Ramasamy

MyCERT mengesan 98 peratus kes dan membuktikan penulis tidak terlepas daripada tindakan

ADA dua perkara yang jelas dan pasti berkaitan 'Anwar' dan 'Asmah & The Gang'. Pertama, mereka tidak belajar daripada pengalaman orang lain. Dan kedua, mereka tidak memahami apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan apabila mengirim mel elektronik atau e-mel.

"Ramai pengguna internet yang menghantar e-mel tidak mengetahui hakikat ia adalah satu bentuk dokumentasi rasmi yang boleh digunakan sebagai bukti di mahkamah seandainya kandungan e-mel itu sensitif kepada orang lain. Lantaran, mereka memperkatakan apa saja dalam e-mel yang dikirim tanpa memikirkan kesannya pada kemudian hari," kata pakar perunding keselamatan teknologi maklumat (IT) sebuah syarikat swasta, Haniff Yaakob.

Menurutnya, kepopularan dan mitos e-mel, yang dilihat sebagai satu medium menyuarakan pendapat berkaitan apa jua isu tanpa batas sempadan, seringkali menyebabkan pengguna tidak menganggap e-mel sebagai dokumen 'hitam putih' sebagaimana surat atau memo.

"Berapa ramai antara kita yang berfikir dua kali sebelum mengarang e-mel atau 'foward' e-mel yang diterima daripada orang lain. Kita fikir dunia siber adalah sebebas-bebasnya. Kita mempunyai tanggapan kita boleh tulis apa saja, mengenai sesiapa saja dan tiada pihak boleh mengambil tindakan mengenainya,” katanya.

Pengurus Pasukan Tindak Balas Kecemasan Komputer Malaysia (MyCERT), Solahuddin Shamsuddin berkata pandangan umum konon mereka boleh menulis apa saja dalam e-mel dan terlepas tanpa dikenakan tindakan adalah tidak betul dan perlu diubah.

"Persepsi itu tidak betul. Segala aktiviti yang dilakukan di alam siber ini seperti menghantar e-mel berunsur fitnah atau ugutan boleh dikenakan tindakan mengikut undang-undang siber di Malaysia," katanya.

Beliau berkata gejala e-mel fitnah adalah serius sebab "ia boleh membawa kesan buruk kepada mangsa secara mental dan fizikal."

"Secara tidak langsung, gejala ini juga mencemar perkembangan sektor teknologi maklumat dan komunikasi serta penggunaan internet di Malaysia. Gejala e-mel fitnah yang semakin meningkat sekarang juga menyebabkan ramai beranggapan internet mendatangkan keburukan dan memberi ruang kepada sesiapa untuk memfitnah, mengugut dan mengganggu orang lain," katanya.

Kebenaran yang dijelaskan Haniff dan Solahuddin itu kini mungkin sudah dipelajari 'Anwar' yang awal bulan lalu menghantar e-mel niat jahat menggunakan alamat tongsanchai@yahoo.com menyamakan Islam Hadhari dan politik wang dengan najis dan air kencing menerusi laman blog popular, 'Screenshots' kelolaan Jeff Ooi.

Menyedari buah fikirannya itu mengguris hati rakyat serta pemimpin negara dan e-melnya disiasat pihak berkuasa termasuk menghadapi kemungkinan ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), juruteknik makmal di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) itu menghantar e-mel susulan meminta maaf secara terbuka.

"Merujuk kepada 'Islam Hadhari and Money Politik' pada laman web Screenshots, saya dengan ikhlas memohon maaf atas komen saya yang kurang teliti. Komen tersebut dibuat tanpa ada sebarang niat yang tidak baik.

"Saya juga menarik balik komen tersebut. Saya sungguh menyesal terhadap apa yang berlaku. Sebagai manusia biasa saya memang mempunyai sifat-sifat kelemahan.

"Oleh itu, saya akan lebih berhati-hati di masa akan datang agar kejadian yang serupa tidak berulang," kata 'Anwar.'

Begitupun, 'Anwar' mungkin terpaksa berdepan dengan proses undang-undang sekiranya Jabatan Peguam Negara, yang kini sedang mengkaji kertas siasatan polis terhadap 'Anwar', membuat keputusan untuk mendakwanya di mahkamah.

Tidak seperti 'Anwar', persoalan siapa sebenar 'Asmah & The Gang' yang menghantar e-mel fitnah Ogos lalu dengan matlamat merosakkan imej penyanyi popular negara, Siti Nurhaliza, masih belum diketahui umum.

Meskipun polis sudah menahan dan membebaskan seorang pensyarah lelaki, 27 September lalu, kerana dipercayai menyebarkan e-mel itu, namun ramai percaya dalang sebenar adalah orang lain.

Insiden yang berlaku selepas pemberkasan pensyarah itu menambah keyakinan umum 'Asmah & The Gang' hanya perlu menghitung hari sebelum diheret ke mahkamah dan berdepan dengan keperkasaan undang -undang.

Dalam e-mel itu, pengirimnya yang mendakwa kakitangan Astro, antara lain menyifatkan Siti Nurhaliza gila duit dan memaparkan dua imej berbeza - satu untuk media dan satu untuk kehidupan peribadi.

E-mel itu, seperti dijelaskan Solahuddin, tentunya memberi tekanan secara mental dan fizikal kepada Siti Nurhaliza.

Namun, 'Asmah & The Gang' pastinya lebih tertekan kerana tidak mungkin terfikir e-mel berkenaan akan mengheretnya ke dalam kancah yang diciptanya sendiri.

Dari satu segi, nasib 'Anwar' dan 'Asmah & The Gang' sebenarnya lebih baik terutama 'Anwar' kerana negara pernah menyaksikan empat orang ditahan mengikut Seksyen 73 ISA pada Ogos 1998 sebelum didakwa di mahkamah kerana menyebarkan khabar angin menerusi e-mel bertajuk 'Pembelian Parang oleh Orang Indonesia' yang mengisahkan konon warga asing berkenaan akan mengamuk di Chow Kit.

Pada Disember 2002, tiga kakitangan sebuah syarikat swasta diberkas polis kerana disyaki menyebar berita palsu menerusi e-mel mengenai rancangan serangan bom di berapa tempat tumpuan di ibu negara.

Kalaulah 'Anwar' dan 'Asmah & The Gang' mengambil iktibar daripada dua kejadian itu, mereka hari ini mungkin tidak perlu berhadapan dengan tindakan undang-undang.

Namun, ada orang percaya pengalaman sendiri adalah guru terbaik daripada belajar melalui pengalaman orang lain. 'Anwar' dan 'Asmah & The Gang' adalah antara golongan itu.

Haniff berkata di sebalik lingkaran dunia siber yang kelihatan serba tersembunyi, ramai juga tidak mengambil kira e-mel yang mereka kirim boleh dijejaki.

"Dengan teknologi yang ada hari ini, e-mel yang sudah dipadam pun boleh dikesan dan pengirimnya dikenakan tindakan. Ini pengguna internet perlu sentiasa sedar," katanya.