Pengguna terbabit aktiviti spam boleh didakwa
11th October 2004 (Berita Harian)

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memberi amaran mereka terbabit dengan 'spam', boleh didakwa mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia kerana menyalahgunakan prasarana maklumat untuk tujuan mengganggu individu dengan mesej tidak dikehendaki.

Pengurus Besar Bahagian Pemantauan dan Penguatkuasaan SKMM, Toh Swee Hoe, berkata SKMM sedang mengawasi beberapa pihak terbabit dalam aktiviti spam.

"Mereka sedang berada pada radar (pengawasan) kami dan tindakan boleh diambil mengikut seksyen 233 (1) (b) melarang sebarang komunikasi menggunakan perkhidmatan aplikasi (termasuk Internet dan perkhidmatan telefon selular) dengan tujuan untuk mengancam, mengganggu, menyalahgunakan dan menimbulkan kemarahan individu," katanya di Kuala Lumpur, minggu lalu.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah bertajuk 'Isu Keselamatan Sistem Rangkaian Maklumat dalam Industri Komunikasi dan Multimedia Malaysia' pada persidangan dan pameran HITBSecconf2004.

SKMM memberi definisi spam sebagai aktiviti penghantaran mesej yang tidak diperlukan misalnya mel elektronik menerusi Internet atau mesej menerusi SMS kepada pengguna. Ia turut merangkumi semua jenis mesej, sama ada komersial atau bukan komersial, serta daripada pinjaman perumahan, gadaian, kandungan lucah dan dadah mempertingkatkan rangsangan seks.

Pada pihak operator pula, mereka perlu memastikan segala dasar yang sudah digubal dapat dilaksanakan secara menyeluruh, termasuk juga langkah pemantauan secara berkesan, pengawasan, penyeliaan dan penyiasatan segala aktiviti spam.

Berdasarkan kajian dilakukan Pusat Tindakbalas Kecemasan ICT Kebangsaan (Niser), aktiviti spam di Malaysia masih tinggi.

Laporan Niser menyatakan aktiviti spam masih tinggi di Malaysia dan sebahagian besar daripada 4,095 insiden dilaporkan kepada Pasukan Tindak Balas Kecemasan Komputer Malaysia (MyCert) membabitkan spam manakala serangan virus/cecacing mencatatkan penurunan kepada 67 insiden, menurut suku tahunan laporan dikeluarkan MyCert.

Insiden spam menduduki tangga teratas berbanding insiden lain dilaporkan berjumlah 3,928, iaitu peningkatan sebanyak 74.8 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu. Aktiviti spam itu agak sukar untuk dihapuskan atau dibanteras tetapi boleh dikurangkan kepada tahap tertentu. Aktiviti itu jika tidak dibendung akan mengancam penggunaan e -mel dan juga perkhidmatan pesanan ringkas (SMS).

Kajian yang dilakukan Kumpulan Gartner (Gartner) menganggarkan 60 peratus daripada e-mel yang dihantar dan diterima di Amerika Syarikat adalah spam. Aktiviti berkenaan menimbulkan banyak kebimbangan kerana ia membabitkan perlanggaran hak peribadi (privacy), kandungan mengelirukan, penipuan dalam amalan serta kos terpaksa ditanggung sama ada individu atau syarikat perniagaan kerana kehilangan produktiviti dan pembaziran sumber.

Gartner menganggarkan organisasi perniagaan di Amerika Syarikat terpaksa menanggung kerugian sebanyak RM9.5 bilion pada 2002.

Beliau berkata, SKMM juga sedang mengumpulkan senarai alamat Protokol Internet yang bebas daripada spam dan virus serta alamat yang disenarai hitam kerana terbabit dalam aktiviti berkenaan hasil diusahakan oleh Forum Perkongsian Maklumat (ISF).

"Forum berkenaan yang dianggotai oleh kerajaan dan sektor swasta berkongsi maklumat mengenai sebarang kegiatan yang boleh mengganggu komunikasi seperti virus dan spam. ISF adalah inisiatif terkini SKMM untuk melawan penyalahgunaan Internet dengan matlamat utama untuk mempertingkatkan kecekapan analisis keselamatan, memberikan amaran, tindak balas dan pemulihan serta mengurangkan kerosakan yang mungkin timbul kerana serangan siber," katanya.

Toh berkata, SKMM juga sedang mengkaji pelbagai pendekatan untuk menangani masalah spam dan juga mesej elektronik lain selain daripada meminta penyedia perkhidmatan Internet seperti Jaring dan TM Net untuk meningkatkan kemampuannya bagi menghalang spam yang boleh disifatkan amat tinggi.

Katanya, SKMM juga akan menubuhkan Pusat Pemantauan Sistem Rangkaian yang ditempatkan di Cyberjaya untuk memantau pengaliran trafik dalam sistem rangkaian di samping mengurus dan menyelaraskan sebarang tindakan jika berlakunya krisis.

"Penubuhan gerbang Maklumat Keselamatan Sistem Rangkaian juga akan dilaksanakan untuk menyediakan maklumat kepada pengguna segala isu berkaitan keselamatan sistem rangkaian," katanya.