Penjenayah siber boleh dikenakan tindakan ISA
5th October 2004 (Utusan Malaysia)

KUALA LUMPUR 4 Okt. - Tindakan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) boleh dipertimbangkan ke atas penjenayah siber yang mencetuskan suasana tegang dalam negara dengan penyebaran maklumat melalui Internet.

Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Noh Omar berkata, tindakan ISA itu tidak mustahil boleh dikenakan ke atas pihak terbabit sekiranya pihak berkuasa mempunyai bukti mencukupi.

Secara peribadi, beliau berpendapat, pihak yang menggunakan Internet untuk menjejaskan ketenteraman dan keharmonian suasana di negara ini wajar diambil tindakan di bawah akta tersebut.

"Selama ini kita tidak menggunakan ISA sewenang -wenangnya dan kita hanya guna ke atas mereka yang didapati membahayakan keselamatan negara.

"Sekiranya ancaman tersebut dilakukan menerusi Internet, ISA boleh dipertimbang untuk diambil ke atas pihak terbabit,'' katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.

Bagaimanapun, Noh menjelaskan, setakat ini, kerajaan melihat belum ada keperluan untuk berbuat demikian.

"Tetapi kita tidak tahu pada masa akan datang jika Internet akan dijadikan perantara utama bagi mencetuskan kacau-bilau dalam negara, ISA boleh digunakan untuk tujuan pencegahan,'' katanya.

Dalam pada itu, Noh turut memberi amaran kepada pihak yang menggunakan Internet untuk tidak memainkan sentimen sensitif seperti agama.

``Saya berharap mereka akan menghentikan perbuatan itu kerana sentimen agama ini adalah lebih teruk daripada isu perkauman,'' katanya.

Terdahulu ketika menjawab soalan tambahan Datuk Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar (BN-Larut), Noh menjelaskan, ISA digunakan berdasarkan keperluan dan tidak terhad kepada kesalahan tertentu.

"ISA bukan sahaja dikenakan ke atas rakyat Malaysia tetapi juga warga asing yang didapati mengancam keselamatan negara, antaranya kesalahan membuat duit palsu,'' katanya.

Kepada soalan Teresa Kok (DAP-Seputeh), Noh berkata, seramai 101 individu ditahan mengikut ISA setakat Ogos lalu termasuk tujuh orang bagi kesalahan pemalsuan syiling RM1, enam bagi pemalsuan dokumen, 12 orang kerana pembabitan dalam Kumpulan Militan Malaysia (KMM).

"Seorang ditahan kerana penyeludupan komponen nuklear dan 75 orang lagi atas pembabitan dalam Kumpulan Jemaah Islamiyah (JI),'' jelasnya