Langkah perlu diambil jika diugut menerusi internet
28th September 2004 (Berita Harian)

DULU surat layang, kini e-mel layang pula menimbulkan keresahan terhadap orang perseorangan atau syarikat yang menerima tohmahan atau penyebaran berita itu.

Penyebaran e-mel layang lebih pantas dan meluas menyebabkan kesan kepada ditohmah juga lebih hebat. Buktinya, e-mel layang mengenai penyanyi Siti Nurhaliza, yang menggamatkan industri hiburan tanah air.

Pihak berkuasa seperti polis juga tidak berdiam diri dan menyiasat kes berkaitan e-mel layang yang dilaporkan. Maknanya, pihak yang terbabit menulis dan menyebarkan e-mel layang tidak akan terlepas daripada hukuman. Wartawan HASLIZA HASSAN membincangkan fenomena e-mel layang dan langkah perlu bagi menangani jenayah itu.

FENOMENA menyalahgunakan internet untuk penyebaran maklumat palsu atau surat berunsur ugutan adalah realiti masa kini dan berlaku bukan saja di Malaysia, malah di seluruh dunia.

Berani atau tidak untuk melakukan kesalahan yang dianggap sebagai jenayah itu bergantung kepada siapa yang melakukannya, motif atau tujuan dan peluang yang wujud bagi membolehkan pelaku menghantar e-mel layang.

Penyebaran e-mel layang dengan cerita berunsur fitnah yang semakin galak dilakukan pihak tidak bertanggungjawab itu, jika dibiarkan berleluasa menerusi teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) boleh mendatangkan kesan buruk kepada mangsa.

Antaranya, berita palsu jika dibiarkan boleh menyebabkan hubungan baik antara dua negara terjejas, menimbulkan huru hara dalam negara, menyebabkan syarikat mengalami kerugian besar selain menjatuhkan maruah individu berkenaan.

Tanggapan bahawa penghantar e-mel layang sukar untuk dijejak juga menjadikan pihak yang melakukan jenayah siber, tidak takut menghasilkan cerita tidak benar dan menyebarkannya secara meluas kepada pengguna internet.

Namun, sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga kerana internet juga mempunyai undang-undang dan etika yang boleh dikuatkuasakan.

Oleh itu, sesiapa yang menyalahgunakan teknologi itu jangan fikir akan terlepas begitu saja.

Pengarah Pusat Tindak Balas Kecemasan dan Keselamatan ICT Kebangsaan (Niser), yang beroperasi di Mimos Berhad, Lt Kolonel Husin Jazri, berkata pengguna (mang-sa) perlu bertindak awal dan pantas serta tahu pihak yang boleh membantu mereka apabila menerima e-mel berbentuk ugutan, fitnah atau tohmahan.

Katanya, ada sesetengah mangsa e-mel layang yang tidak pasti apa yang perlu dilakukan atau kepada pihak mana perlu dihubungi bagi mengesan pihak yang bertanggungjawab menyebarkan cerita palsu itu.

"Ada yang ingin membuat laporan polis tetapi tidak begitu yakin kerana ketiadaan bukti kukuh.

"Ada juga mangsa yang tidak begitu mahir untuk menilai kesahihan dan asal usul e-mel fitnah berkenaan.

"Mereka yang mempunyai kemahiran mengenal pasti e-mel dan bukti mencukupi boleh membuat laporan rasmi kepada pihak berkuasa seperti polis atau Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM)," katanya.

Husin berkata, bagi mangsa yang masih ragu-ragu dan tidak pasti tindakan lanjut yang perlu diambil dan ingin mendapat khidmat nasihat profesional, Niser adalah tempat sesuai untuk mengadu dan perkhidmatannya percuma.

Selain Niser, mangsa boleh mendapatkan bantuan daripada penyedia perkhidmatan internet (ISP) masing-masing sebagai alternatif.

Niser membantu mangsa dengan memberikan khidmat nasihat dan melakukan analisis bukti yang dikemukakan mangsa melalui kaedah saintifik tanpa melampaui batas dan etika undang-undang negara dan antarabangsa.

Sekiranya bukti yang dikemukakan ternyata sahih, Niser akan mencadangkan kepada mangsa supaya membuat laporan rasmi kepada pihak polis atau SKMM dengan memberi butiran pegawai penyiasat yang patut dihubungi.

Pihak Niser juga boleh memanjangkan laporan analisis yang telah dibuat kepada polis dan mangsa jika diminta. Mandat yang diberikan kerajaan kepada Niser hanya tertumpu pada khidmat nasihat.

Bagi kes e-mel layang, fitnah dan tohmahan, pihak polis mempunyai kuasa sepenuhnya untuk melakukan penyiasatan dan mengesannya. Sementara, Niser hanya akan membantu jika diminta.

Husin berkata, perasaan ragu-ragu dan tidak pasti sama ada polis boleh mengambil tindakan atau tidak, menyebabkan mangsa e-mel layang tidak bersedia untuk mengambil tindakan undang-undang.

"Sikap tidak mahu memanjangkan isu, takut malu dan hanya ingin tahu siapa yang melakukan kesalahan itu, juga adalah sebab kenapa kes berkaitan cerita palsu dan pencerobohan maklumat organisasi tidak dilaporkan dan dipendam begitu saja," katanya.

Bagaimanapun, katanya, adalah lebih baik mangsa e-mel layang melaporkan perkara itu kepada polis agar siasatan lanjut dapat dibuat dan tindakan undang-undang diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab menyebarkan e-mel palsu.

"Tindakan sebegini akan memberi pengajaran kepada yang ingin mencuba agar membatalkan niat mereka," katanya.

Niser adalah badan khas yang ditubuhkan oleh Majlis ICT Negara (NITC) bagi menangani isu-isu keselamatan sistem komputer di negara ini serta membantu kerajaan menggubal dasar keselamatan ICT.

Niser menawarkan perkhidmatan khidmat nasihat pakar meliputi tindak balas kecemasan keselamatan ICT (respon insiden), amaran awal serangan siber, penilaian dan jaminan keselamatan sistem dan produk serta forensik digital.

Khidmat lain ialah kajian dasar dan strategik; pembangunan dan pelaksanaan polisi keselamatan maklumat serta pembudayaan dan latihan.

Menerusi kerjasama dengan agensi lain, Niser juga menyediakan perkhidmatan pengkhususan keselamatan ICT seperti membantu kerajaan mengenal pasti program yang dapat mengukuhkan keselamatan ruang siber negara daripada ancaman dalaman dan luar.

Husin berkata, pertambahan kegiatan penggodaman, pencerobohan dan penyalahgunaan internet patut menyedarkan pengguna mengenai pentingnya menjaga keselamatan aset maklumat dan mengawal keselamatan di alam siber masing-masing sepanjang masa.

"Negara mempunyai undang-undang siber untuk memastikan hak pengguna serta ekonomi berasaskan teknologi maklumat terjamin.

"Jangan ingat mereka yang bijak mengeksploitasikan teknologi untuk kepentingan tertentu boleh terlepas daripada undang -undang selama-lamanya kerana teknologi ICT juga ada kelemahannya.

"Dengan izin Allah, kita ada cara untuk mengesan dan mengatasi penjenayah siber," katanya.