ISF tangani keselamatan maklumat internet
23rd August 2004 (Berita Harian)

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sudah menubuhkan Forum Perkongsian Maklumat (ISF) dengan pelbagai Penyedia Perkhidmatan Internet (ISP) dan agensi lain bagi menangani isu keselamatan maklumat dan rangkaian di Malaysia.

MMC dalam kenyataannya, berkata forum itu akan mengusahakan senarai pangkalan data bagi alamat IP tempatan yang dianggap bebas spam atau virus, Dasar Penggunaan Internet Boleh Diterima dan Dasar Penelitian Internet bagi ISP untuk diguna pakai.

Usaha itu adalah antara inisiatif bagi menambah baik saluran komunikasi dan persefahaman bersama antara ISP dalam menguruskan insiden keselamatan maklumat dan rangkaian yang jika tidak ditangani akan menyebabkan penyebaran maklumat yang perlahan dan pengendalian tindak balas insiden keselamatan yang tidak efektif di negara ini, kata MCMC.

Mengikut suruhanjaya itu, matlamat ISF ialah untuk mengumpulkan bersama pihak berkaitan ke dalam satu forum bagi berkongsi pengalaman dan kepakaran mereka bagi memberi faedah kepada prasarana rangkaian Malaysia dan membentuk mekanisma perkongsian maklumat yang berkesan.

MCMC menyatakan ia mahu menggalakkan kerjasama antara pemilik dan pengendali rangkaian yang berbeza dan di kalangan komuniti internet bagi tempoh jangka panjang untuk meningkatkan analisis keselamatan, tindak balas serta pemulihan dan yang lebih penting menguruskan rangkaian dengan lebih baik.

"Ia juga menjadi matlamat kami dalam menubuhkan ISF untuk mengurangkan kerugian akibat serangan keselamatan internet kerana ISF akan menjadi satu medan bagi menghalang eksploitasi, kerosakan dan gangguan sistem utama dan bagi memastikan kebolehpercayaan rangkaian dan kesepaduan," kata suruhanjaya itu. - Bernama

Bagi tempoh jangka panjang, MCMC menyatakan ISF akan melengkap dan menyokong satu daripada 10 matlamat negara dalam sektor komunikasi dan multimedia yang digariskan oleh kerajaan bagi memastikan kebolehpercayaan dan integriti rangkaian dan keselamatan maklumat.

ISF diterajui oleh MCMC serta dianggotai Bahagian Keselamatan ICT Unit Pemodenan dan Pembangunan Pentadbiran Awam Malaysia (Mampu), Pusat Tindak Balas Kecemasan Keselamatan ICT Negara (Niser), TIMENet, NTT MSC, Jaring, TMNet, Celcom, Maxis, DiGi dan Malaysian Technical Standards Forum Bhd.