Kementerian perlu pantau kes ceroboh laman web
17th March 2005 (Berita Harian)

PUTRAJAYA: Kabinet mengarahkan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi memantau kes pencerobohan laman web yang meningkat sejak akhir-akhir ini kerana dikhuatiri memberi kesan kepada ekonomi negara serta sistem kerajaan elektronik.

Kabinet juga mahu laporan aktiviti pencerobohan laman web dari semasa ke semasa, merangkumi laman web yang dibangunkan jabatan dan agensi kerajaan serta sektor swasta.

Menterinya, Datuk Dr Jamaludin Jarjis , berkata kementeriannya mengesan hampir 200 pencerobohan laman web berdasarkan pemantauan baru-baru ini, terutama ketika isu tuntutan bertindih blok minyak di Laut Sulawesi diperdebatkan.

"Jumlah itu melebihi 18 kes hingga 20 kes pencerobohan yang lazimnya dikesan setiap bulan.

"Bagaimanapun, keadaan reda sekarang apabila kita bekerjasama dengan kerajaan Indonesia yang merayu rakyatnya bertenang serta tidak melakukan perkara negatif termasuk menceroboh laman web," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pasca Kabinet, kementeriannya semalam.

Baru-baru ini banyak laman web kerajaan dilaporkan diserang penceroboh sistem rangkaian komputer. Antara laman web yang diserang ialah Universiti Sains Malaysia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Jabatan Kerja Raya, dan Jabatan Perkhidmatan Haiwan Perak.

Lebih banyak laman web dikatakan diceroboh sejak laporan pertindihan hak kawasan blok minyak di Laut Sulawesi antara Malaysia dan Indonesia disiarkan media kedua-dua negara, terutama media Indonesia yang cenderung menaikkan semangat rakyatnya.

Dr Jamaludin berkata, kementerian menyedari kes pencerobohan siber boleh memberi masalah lebih besar kepada negara termasuk daripada aspek ekonomi.

"Ketika ini, banyak transaksi dilakukan secara elektronik, malah pendaftaran calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) juga boleh dilakukan melalui internet.

Beliau berkata, kementerian memaklumkan kepada Kabinet mengenai perlunya semua pihak yang membangunkan laman web mengambil inisiatif melindungi laman web menggunakan perisian tertentu bagi mengelak diceroboh.

Sementara itu, Dr Jamaludin berkata, Malaysia akan mengemukakan usul mengenai isu pencerobohan siber dalam Sidang Kemuncak Menteri-Menteri Teknologi Maklumat (IT) Asia, di Bahrain pada Isnin ini.

"Apa yang kita mahu ialah mewujudkan jaringan kerjasama peringkat Asia, diikuti Asean supaya setiap negara dapat menangani pencerobohan siber dengan lebih efektif," katanya.

Dr Jamaludin berkata, beliau juga akan merasmikan pejabat Multimedia Development Corporation (MDC) di Madinah, serta membawa peneraju teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) tempatan meneroka pasaran Timur Tengah.

Beliau berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dijangka melancarkan Dasar Bioteknologi Negara pada 28 April ini sempena persidangan bioteknologi diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini.