Kerjasama semua agensi penting hadapi serangan siber
11th March 2005 (Berita Harian)
BY Hizral Tazzif Hisham

KERJASAMA dan penyelarasan semua agensi kerajaan yang terbabit dalam pengurusan keselamatan maklumat amat penting, terutama ketika berlaku serangan siber untuk melindungi Prasarana Maklumat Kebangsaan (NII) daripada pelbagai kemungkinan sama ada pencerobohan atau serangan virus.

Kerjasama itu semakin penting apabila baru-baru ini, banyak laman web kerajaan diserang oleh penceroboh sistem rangkaian komputer. Antara laman web yang diserang ialah Universiti Sains Malaysia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Jabatan Kerja Raya, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dan Jabatan Haiwan Perak.

Pengarah Pusat Tindak Balas Kecemasan ICT Kebangsaan (Niser), Lt Kol Husin Jazri, berkata sebagai negara yang sedang menuju ke tahap negara maju Malaysia kini semakin bergantung kepada prasarana telekomunikasi untuk semua sektor industri sama ada kerajaan atau swasta.

"Antara sektor kritikal yang memanfaatkan NII ialah bekalan air, pengangkutan, tenaga, perbankan, kewangan, telekomunikasi dan kesihatan awam. NII boleh disifatkan nadi kepada Malaysia yang mana sebarang gangguan terhadapnya boleh menimbulkan pelbagai kesan negatif terhadap ekonomi, masyarakat, kesihatan awam dan keselamatan negara," katanya pada satu pertemuan dengan KOMPUTER di pejabatnya, baru-baru ini.

Beliau berkata, memastikan keselamatan NII daripada pelbagai serangan dan pencerobohan siber adalah matlamat utama yang mana kerjasama erat antara kerajaan dan pihak swasta amat penting bagi memastikan kejayaan pelaksanaan sistem pertahanan siber.

Antara beberapa tindakan yang boleh dilaksanakan ialah:

Pelaksanaan program khusus yang perlu diberi penekanan antaranya ialah kesedaran terhadap keselamatan maklumat dan pembangunan keupayaan. Ini boleh dilakukan dengan proses pembelajaran berterusan bagi membangunkan sumber manusia yang berkemampuan, berpengetahuan dan berkemahiran untuk melaksanakan kerja mereka secara lebih selamat.

Pelan Pengurusan Berterusan Perniagaan atau pelan kecemasan perlu disediakan bagi memastikan perkhidmatan dapat terus berjalan tanpa gangguan walaupun sebenarnya ia sedang diserang.

Program Jaminan Maklumat yang mempunyai tiga strategi utama iaitu pencegahan, pengesanan dan reaksi dengan matlamat utama melindungi sistem maklumat dan maklumat, mengesan ancaman yang mungkin ditujukan khusus kepada sistem maklumat, meminimumkan kerosakan dan memberikan reaksi pantas untuk membaikpulih serta terus beroperasi.

Dengan adanya pelan tindakan yang komprehensif dan menyeluruh, ia memberikan kelebihan kepada negara kerana sudah memiliki pelan tindakan kecemasan seandainya berlaku perkara yang tidak diundang.

"Ini dapat mengelakkan keadaan yang mana kita tidak bersiap sedia apabila munculnya malapetaka," katanya.