Dunia siber cabar kedaulatan
14th February 2005 (Berita Harian)
BY Hizral Tazzif Hisham

MALAYSIA menghadapi cabaran yang amat besar bagi mengekalkan kedaulatannya dalam dunia siber yang memerlukan usaha bersepadu dalam pelbagai bidang merangkumi politik, sosial, ekonomi, budaya, psikologi, teknologi dan keselamatan.

Hanya dengan pembangunan menyeluruh kedaulatan negara dapat dipertingkatkan sama ada di dunia nyata atau dunia siber. Potensi dan cabaran sebenar yang dihadapi negara di ruang siber meningkat dari tahun ke tahun dan ia merangkumi aspek sosial, ekonomi dan politik.

Pengarah Pusat Keselamatan dan Tindak Balas Kecemasan ICT Kebangsaan (Niser), Lt Kol Husin Jazri (gambar), berkata untuk berdepan dengan cabaran itu, negara memerlukan gabungan semua sumber yang ada kerana hanya dengan pembangunan menyeluruh, kedaulatan negara dapat dipertingkatkan di dunia nyata atau dunia siber.

"Malaysia kini mempunyai rangka kerja pembangunan yang menyeluruh berasaskan Wawasan 2020. Semakin tinggi daya tahan dan kemajuan sesebuah negara dari segi perpaduan, kematangan demokrasi, ekonomi yang dinamik dan makmur, semakin 'berdaulat' sesebuah negara itu.

"Oleh itu, amat penting bagi negara mencapai matlamat Wawasan 2020 seperti yang digariskan kerajaan dengan penuh dedikasi," katanya kepada KOMPUTER ketika ditemui di pejabatnya di Taman Teknologi Malaysia, Bukit Jalil, baru-baru ini.

Beliau memetik laporan Report of the Working Group on E -Sovereignty, National IT Council, Strategic Agenda: Thrust Areas For Governance, March 1999 yang menggariskan politik sebagai cabaran, antaranya:

Mengurus dunia maya tanpa sempadan. Sesebuah negara secara tradisionalnya mempunyai garis sempadan yang diiktiraf oleh masyarakat dunia. Di dunia siber, sesebuah negara berhadapan dengan entiti yang tidak mengenal wilayah dan melangkaui batas geografi. Mengawal wilayah secara fizikal tidak berkesan untuk dilaksanakan di ruang siber.

Kawalan yang terhakis. Kawalan adalah teras dan asas kedaulatan negara dalam mana-mana sistem politik, dan penghakisan atau hilangnya kawalan ini akan menggugat keupayaan sesebuah negara untuk mengurus hal ehwal dalam negeri dan juga keupayaan berfungsi secara optimal di ruang antarabangsa. Secara amnya, daya kawalan sebuah negara boleh berkurangan melalui ruang siber dan dan internet telah memainkan peranan ke arah ini.

Peningkatan Jurang Antara Negara. Kemunculan teknologi komunikasi dan multimedia termasuk Internet melebarkan jurang di antara negara kaya dengan teknologi dan negara yang tidak mempunyai teknologi tinggi. Fenomena ini tidak hanya tertumpu kepada bidang ekonomi, tetapi juga menular ke bidang politik dan ketenteraan atau keselamatan, dan kemudiannya menular ke bidang kebudayaan, nilai dan pengaruh yang akan menjejaskan kebudayaan lain.

Selain itu, Malaysia juga berdepan dengan cabaran keselamatan yang merangkumi antaranya, serangan politik yang serius kerana bentuk serangan yang sukar dikenal pasti, dan sukar untuk meyakinkan orang ramai akan kewujudannya.

"Objektif serangan sebegini ialah untuk memusnahkan apa yang diketahui oleh penduduk sasaran akan keadaan persekitaran mereka. Serangan politik bertumpu kepada pengubahan pendapat umum atau pendapat golongan elit atau kedua-duanya sekali.

"Serangan ini membabitkan diplomasi, propaganda dan kempen psikologi, subversif politik dan budaya, campur tangan terhadap media tempatan, penyusupan rangkaian komputer dan pangkalan data, dan usaha untuk menggalakkan gerakan pembangkang melalui rangkaian komputer.

"Kempen politik sebegini selalunya membabitkan penipuan, maklumat palsu serta manipulasi maklumat di internet untuk menjejaskan kredibiliti kerajaan dan negara,” katanya.

Beliau berkata, hasutan juga adalah satu bentuk khusus serangan politik yang serius kerana Malaysia yang mempunyai masyarakat majmuk amat terdedah kepada serangan yang menyemaikan rasa kebencian terhadap sesuatu bangsa, agama dan kebudayaan yang mengakibatkan musnahnya struktur sosial, politik dan keselamatan negara.

"Serangan ini bukan hanya datang dari negara asing, malahan juga dari laman web yang tidak bertanggungjawab di dalam dan luar negara," katanya.