Sistem pertahanan, ekonomi terancam
14th February 2005 (Berita Harian)

SERANGAN siber terhadap sistem pertahanan dan ekonomi juga berbahaya dan mengancam kedaulatan negara kerana ia boleh melumpuhkan sektor pertahanan dan ekonomi negara.

Ancaman ini bukan saja datang dari negara asing bahkan daripada penjenayah dan individu dari dalam negara dan organisasi. Ini termasuk pencurian dan risikan maklumat penting kerajaan dan maklumat risikan di dalam komputer.

Pengarah Pusat Keselamatan dan Tindak Balas Kecemasan ICT Kebangsaan (Niser), Lt Kol Husin Jazri, berkata aktiviti sebegini bukan sesuatu yang baru, malah berlaku sejak berzaman lagi.

Katanya, apa yang berubah kini adalah caranya saja dengan mengambil kira sifat yang ada pada teknologi maklumat masa kini memberi peluang baru dan memudahkan lagi tugas yang ada.

Selain itu, penyebaran maklumat yang memudaratkan keselamatan negara adalah antara cabaran yang perlu diberi perhatian serius. Ini termasuk maklumat mengenai pembuatan bahan letupan, cecacing dan virus serta maklumat yang mengganggu gugat keharmonian kaum

Selain itu, katanya, pencerobohan hak peribadi individu kini menjadi isu utama kerana keupayaan teknologi maklumat untuk menyimpan maklumat yang banyak dan boleh diakses dari pelbagai hala menimbulkan kebimbangan tentang hak peribadi individu yang dieksploitasikan golongan tidak bertanggungjawab.

"Jenayah seperti manipulasi komputer termasuk mencuri dan pemerasan terhadap syarikat melalui ugutan untuk menutup sistem mereka. Menggunakan internet sebagai perantara komunikasi untuk melakukan keganasan pada peringkat nasional dan global turut menjadi tajuk perbincangan yang penting pada abad ini," katanya.

Husin berkata, Malaysia juga berdepan dengan cabaran ekonomi dengan meningkatnya urus niaga perniagaan di ruang siber, negara yang tidak mengambil peluang yang diberikan perdagangan elektronik (e -dagang) akan mengalami kerugian.

"Negara membangun akan dibebani dengan satu lagi halangan dalam mempertingkatkan taraf hidup rakyat kerana ketiadaan pembangunan prasarana teknologi dan multimedia yang berkesan. Jurang ekonomi dan politik antara negara- ini dengan negara maju yang berkuasa di institusi kewangan, ekonomi dan keselamatan antarabangsa, akan menjadi lebih luas.

"Kadar penembusan pasaran di kalangan negara maju dan membangun boleh menjadi tidak seimbang jika tidak diuruskan dengan baik," katanya.

Beliau menjelaskan cabaran budaya juga boleh mengancam kedaulatan negara kerana kebanjiran budaya tidak sihat dari Barat boleh menjejaskan identiti dan kepelbagaian budaya sesebuah negara.

"Kebanyakan negara di timur, termasuk juga negara maju merasa bimbang akan kelunturan budaya mereka melalui pengaruh internet dan media elektronik. Oleh kerana budaya adalah tonggak kepada identiti, negara perlu mengawal cabaran kepada media massa dan saluran hiburan elektronik agar dapat membendung budaya yang tidak sihat ini, terutama kepada generasi muda," katanya

Beliau berkata, budaya dari negara Barat kadangkala bertentangan dengan nilai dan keutamaan budaya di Timur. Penyebaran nilai dan keutamaan mengikut pandangan Barat semata-mata tanpa menghiraukan perbezaan budaya dan konteks masyarakat lain boleh membawa kepada pertembungan budaya dan mampu mengubah pandangan masyarakat kepada nilai yang ada. Oleh itu dasar pendidikan negara perlu mengambil kira keperluan ini dalam mendidik anak bangsa agar mempunyai neraca pertimbangan yang baik untuk mengasingkan budaya sihat dan yang tidak sihat.

"Misalnya, pornografi dan keganasan siber, terutamanya di internet, yang tidak mempunyai pengawalan berkesan, adalah ancaman global terhadap moral, pembangunan peribadi yang sihat, serta struktur masyarakat," katanya.