Web lucah kenakan RM92 untuk tempoh 20 minit
25th January 2005 (Berita Harian)
BY Nurul Hazren Masitom

KUALA LUMPUR: Pengguna internet yang gemar memuat turun laman web lucah tidak sedar mereka 'diperdaya' dengan dikenakan bayaran RM92 dalam tempoh 20 minit sejurus talian penyedia perkhidmatan internet (ISP) diputuskan dan disambungkan kepada laman web lain.

Pengendali laman web berkenaan kebiasaannya mengenakan bayaran pada kadar premium atau antarabangsa tanpa disedari pengguna.

Ia didedahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bahawa aktiviti itu dikenali sebagai 'lambakan internet' atau 'pengumpil modem'.

Ketua Jabatan Komunikasi Korporat SKMM, Adelina Iskandar, berkata laman web seumpama itu mungkin meminta kebenaran pengguna terlebih dulu tetapi ia ditulis dengan huruf kecil bersama maklumat lain tanpa disedari pengguna.

"Pengguna hanya mengetahui mereka dikenakan bayaran apabila menerima bil telefon yang tinggi," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Adelina berkata, kenyataan itu dikeluarkan sebagai peringatan kepada pelanggan talian telefon tetap mengenai masalah lambakan internet yang kian meningkat di negara ini.

"Oleh kerana kebanyakan kes berlaku di laman web dewasa dan hiburan, SKMM menggesa pengguna berhati-hati apabila melayari laman web seumpama itu kerana ia mengakibatkan bayaran panggilan perkhidmatan panggilan terus antarabangsa (IDD) yang tinggi.

"Ibu bapa juga perlu memantau dan membabitkan diri secara langsung dalam aktiviti internet anak kerana mereka sering terdedah kepada bahan tidak sesuai," katanya.

Bagi mengelakkan orang ramai terus menjadi mangsa, Telekom Malaysia Berhad (Telekom Malaysia) dan anak syarikat milik penuhnya, TM Net Sdn Bhd mengambil pelbagai langkah memaklumkan pelanggannya mengenai perkara itu.

Ini termasuk menerusi sisipan maklumat dalam bil kepada 4.5 juta pelanggan, iklan dalam semua akhbar tempatan, e-mel serta taklimat kepada media.

Sebagai langkah mutakhir, Telekom Malaysia menyekat semua panggilan IDD ke Papua New Guinea berkuat kuasa serta-merta dan pelanggan diminta menghubungi 108 atau bantuan telefonis talian antarabangsa untuk disambungkan.

Caj perkhidmatan biasa RM5 setiap panggilan melalui sambungan telefonis ke Papua New Guinea akan dikecualikan.

Sehubungan itu, Adelina berkata, pihaknya mengalu-alukan langkah itu, sekali gus mengurangkan jumlah mangsa.

Selain itu, SKMM menggariskan langkah pencegahan perlu iaitu, membaca terma dan syarat dengan teliti, berhati-hati memuat turun dan memasang fail daripada laman web, menyambungkan semula pendail kepada ISP tempatan, menyimpan fail sejarah internet lebih lama, berhati-hati dengan tetingkap 'pop-up' serta menggunakan teknologi penghalang dan penapisan.