Jenayah siber berkurangan
19th November 2005 (Berita Harian)
By Hidayah Mohammad

CYBERJAYA: Penggunaan sains forensik dan teknologi tinggi oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya mengurangkan jenayah siber di negara 48 peratus tahun ini berbanding tahun lalu.

Mengikut statistik PDRM, sebanyak 606 kes dilaporkan mengikut Akta Jenayah Komputer 1997, tahun lalu membabitkan kerugian hampir RM2 juta, bagaimanapun bagi 10 bulan pertama tahun ia menurun kepada 283 kes dengan jumlah kerugian hampir RM1.2 juta.

Bagi kesalahan mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 pula, sebanyak 149 kes dilaporkan tahun lalu membabitkan kerugian hampir RM630,000, manakala dalam tempoh 10 bulan pertama tahun ini menurun kepada 58 kes membabitkan kerugian RM294,000.

Timbalan Pengarah II Jabatan Siasatan Jenayah Perdagangan Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner I Mohd Ali Mohd Yusof, berkata penurunan itu berikutan keupayaan Unit Siasatan Jenayah Teknologi PDRM yang dipertingkatkan termasuk menghantar pegawai mengikuti kursus l berkaitan jenayah siber di dalam dan luar negara.

"Kita menggunakan pendekatan tradisional serta sains forensik dan teknologi, selain menggunakan komputer forensik serta mendapat kerjasama Pusat Tindak Balas Kecemasan Teknologi Maklumat dan Komunikasi Kebangsaan (Niser)," katanya ketika ditemui pada Bengkel Penyiasatan Jenayah Siber dan Forensik Digital, di sini semalam.

Seminar anjuran PDRM, Perbadanan Pembangunan Multimedia Sdn Bhd (MDC) dan Microsoft (Malaysia) Sdn Bhd berlangsung selama tiga hari, bermula semalam.

Ia bertujuan untuk meningkatkan lagi keupayaan pihak berkuasa dalam menjalankan siasatan dan penguatkuasaan jenayah siber.

Beliau berkata, kes pencerobohan komputer hanya membabitkan 1.5 peratus daripada jumlah keseluruhan kes siber yang disiasat manakala bagi kes jenayah komputer pula kebanyakannya membabitkan pengeluaran wang tanpa kebenaran pemiliknya melalui mesin juruwang automatik (ATM).

Bagi kes yang disiasat mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 pula, kebanyakan kes membabitkan Seksyen 235 iaitu kerosakan rangkaian, di mana pondok telefon dirosakkan.

Mohd Ali berkata, pada masa depan cabaran akan menjadi lebih hebat dengan adanya teknologi tanpa wayar.

"Kita memberi tumpuan terhadap promosi penggunaan teknologi tanpa wayar kerana siasatan kes membabitkan adalah lebih rumit dan kritikal," katanya.